Kenali Keluarga Sotong Popular Perairan Negara

Share

 

Secara umumnya terdapat 6 spesies sotong yang cukup popular mendiami perairan Malaysia iaitu sotong torak (torok), sotong ketupat, sotong jarum, sotong mengabang, sotong katak dan sotong kurita.

Mungkin juga terdapat spesies sotong lain perairan negara kita yang tidak diketahui penulis. Manakala terdapat juga subspecies bagi sotong katak dan sotong kurita.

 

Sotong Katak (cuttlefish)

 

Fizikal sotong ini hampir menyamai sotong mengabang. Sotong katak mempunyai tulang yang tebal dan besar berbanding sotong mengabang yang mempunyai tulang seakan-akan plastik. Sotong katak sangat malas untuk bergerak. Wilayahnya tidak jauh.

 

 

Jika terkena pancing, sotong ini hampir tidak melawan. Sotong ini juga mudah terlepas kerana ia tidak mempunyai jejari panjang yang terdapat pada sotong mengabang. Oleh kerana tabiatnya yang agak malas, ia selalu menangkap umpan di bahagian dasar laut.

 

Sotong ini kurang sedap jika hendak dibandingkan dengan sotong-sotong yang lain. Harga di pasar juga lebih murah. Selalunya dakwat sotong katak lebih banyak berbanding dengan sotong-sotong lain.

 

 

Agak sukar untuk memancing sotong ini dalam jumlah yang banyak kerana sifatnya yang suka bersendirian dan jarang bergerak dalam kumpulan. Ketika air surut, tulang sotong ini boleh dilihat bertaburan di kawasan pantai.

 

Sotong mengabang (bigfin squid)

 

Sotong mengabang atau mabang juga dikenali sebagai sotong harimau di sesetengah tempat. Corak badannya yang cantik dan isinya yang sedap merupakan tarikan utama bagi pemancing. Sotong ini selalunya dipancing menggunakan joran aksi ringan dari kawasan berbatu, pulau, pantai dan unjam di tengah laut.

 

 

Sotong mengabang suka mendiami kawasan batu karang. Ia sangat aktif ketika petang dan malam. Air pasang surut juga sangat mempengaruhi keaktifanya. Bulan mengambang merupakan bonus ketika memburu spesies ini.

 

Di pantai biasanya sotong yang ditangkap bersaiz sehingga sekilogram. Di kawasan unjam saiz sotong ini mampu menjangkau sehingga 2kg seekor. Badannya yang bulat dan gemuk memberikan perlawanan yang cukup hebat jika joran aksi ringan digunakan.

 

 

Sotong ini dipancing menggunakan umpan udang tiruan yang banyak dijual di kedai-kedai pancing. Apabila sotong memegang umpan, tegakkan joran. Jangan sekali-kali mengunci kekili. Kekili yang dikunci boleh menyebabkan sotong terlepas. Biarkan sotong berenang sehingga dakwatnya habis dikeluarkan.

 

Sotong Kurita (Octopus)

 

Sotong Kurita merupakan spesies sotong yang mendiamai kawasan berlumpur seperti paya bakau ketika peringkat juvana. Sotong ini selalunya bergerak secara sendirian. Ia mencari makan dengan cara menerkup dan menyamar.

 

 

Tubuh sotong ini lebih fleksibel dari sotong-sotong yang lain. Sotong ini boleh memasuki lubang yang lebih kecil dan sempit untuk mencari makanan. Ia mendiami lubang-lubang ketam yang ditinggalkan dan juga struktur batu karang di laut.

 

Sotong kurita bukanlah sotong yang biasa dipancing tetapi ada juga sotong kurita yang ditangkap menggunakan pancing. Ia boleh ditangkap menggunakan sauk di celah-celah pokok bakau. Selalunya sotong ini dijadikan umpan untuk memancing ikan. Di Taiwan dan China, sotong ini dimakan hidup-hidup.

 

 

Agak sukar untuk menemui sotong ini diperairan terbuka kerana ia pandai menyamar menyerupai latar persekitaran bagi mengelirukan musuh. Sotong ini juga pandai meniru gaya renangan ikan bagi mengelak pemangsa. Di Malaysia sotong ini dijadikan umpan memancing dan sotong masin.

Published by
Amang