Penipuan sememangnya tidak dapat lari dari apa juga bidang hobi yang diceburi termasuklah memancing.
Penipuan dalam pertandingan memancing sebenarnya hanyalah salah satu penipuan yang terdapat dalam dunia memancing.
Masih banyak lagi jenis penipuan yang ada dan di sini kami senaraikan beberapa jenis penipuan yang telah dikesan.
TIPU UMPAN
Tipu umpan tidak sama dengan umpan tipu. Jika umpan tipu itu gewang, tipu umpan juga turut melibatkan gewang.
Tipu umpan yang dimaksudkan ialah pemancing yang tidak menyatakan umpan sebenar yang digunakan ketika memperoleh tangkapan bonus.
Terutamanya pemancing kolam air tawar yang begitu taksub pada sesuatu umpan dan sama sekali akan mendedahkan umpan sebenar yang digunakan.
UMPAN TIPU
Sama ada anda setuju atau tidak, hanya dengan menggunakan gewang, ia secara tidak langsung menjadikan anda seorang penipu.
Ads
Iyalah, nama pun dah umpan tipu. Namun, penipuan jenis ini tidaklah dianggap sebagai satu kesalahan dan sama sekali tidak menyakitkan hati mana-mana pihak kecuali ikan sahaja.
TIPU LUBUK
Rasanya semua pemancing sudah faham dengan maksud tipu lubuk. Jika dibuat perbandingan, pemancing yang paling kuat menyembunyikan atau berbohong tentang kedudukan sesuatu lubuk ialah para caster atau pengilat.
Jarang sangat nak jumpa caster yang beritahu secara tepat dan jujur lubuk yang mana dia memperoleh kelah atau sebarau monster.
Ads
TIPU TANGKAPAN
Tipu tangkapan ni memang banyak dilakukan oleh para pemancing. Ada yang mengaku pernah mendaratkan sesuatu spesies itu sedangkan tak pernah dapat strike. Sejenis lagi ialah yang jenis suka bergambar dengan ikan orang lain tetapi claim ikan tu dia yang berjaya tangkap.
TIPU SAIZ
Ads
Tipu saiz ikan ini lebih kurang macam tipu hak milik tangkapan jugaklah. Ia berlaku dalam dua keadaan juga. Yang pertama, dapat ikan saiz curut je tapi sembang kat orang lain macam dapat monster.
Dan yang kedua, jenis yang suka nak menampakkan ikan macam besar melalui teknik fotografi. Rasanya, penipu jenis ini memang banyak jumlahnya.
TIPU JUAL BELI
Jenis kaki menipu dalam jual beli barangan pancing ini pun tidak kurang jumlahnya. Para penipu dari jenis ini bukan saja bijak menipu bahkan juga cekap menghilangkan diri apabila kantoi. Tau-tau hilang begitu saja.
TIPU BINI
Ada tak sesiapa yang tidak pernah menipu isteri untuk pergi memancing? Baguslah kalau tak pernah tipu bini. Tapi, tipu bini untuk pergi memancing itu lebih bagus daripada tak pergi memancing kerana takut bini.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Ikan jelawat merupakan spesies ikan bertulang banyak yang manis dagingnya. Sekiranya memperolehi jelawat bersaiz sederhana kasar (anggaran 500gm seekor), ia saiz yang sesuai untuk dibuat masak tempoyak.
Bahan-Bahan:
2 ekor ikan jelawat saiz sederhana
1/2 cawan tempoyak
10-15 biji cili api (tumbuk halus)
2 biji cili merah (tumbuk halus)
5cm kunyit hidup (tumbuk halus)
2 batang serai (diketuk)
Seikat daun kesum
Cara Penyediaan:
Gaul sebati bahan-bahan tumbuk dengan tempoyak.
Perapkan ikan jelawat yang telah dipotong dengan bahan-bahan tersebut untuk seketika (anggaran 30 minit).
Masukkan ikan dan kesemua bahan ke dalam periuk.
Masukkan air sehingga ikan tenggelam. Hidupkan api dan reneh sehingga mendidih.
Masukkan daun kesum, garam, gula dan serbuk perisa. Reneh sehingga kuah agak pekat.
Dulu-dulu orang memancing dapat ikan. Sekarang kalau tersilap lubuk, memancing bukan dapat ikan tetapi dapat orang. Ini bukan lawak, tetapi kisah benar seperti yang terjadi suatu ketika di Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang.
Seorang nelayan turun ke laut jam 6.30 petang untuk mencari ikan. Sebelum memulakan rutin harian, dia menemui mayat seorang kanak-kanak yang seminggu sebelumnya dilaporkan hilang di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya.
Tidak dapat dipastikan angkara siapa menyebabkan mayat kanak-kanak 6 tahun, yang telah reput terdampar di situ. Apa yang pasti kanak-kanak malang itu bukan yang pertama terapung di situ. Seperti yang dilaporkan media, banyak lagi mayat telah ditemui terapung di kawasan perairan tersebut.
Ini membuktikan bahawa manusia sudah hilang nilai-nilai kemanusiaan dan menjadi lebih ganas daripada binatang buas. Mereka sanggup membunuh, dan mencampakkan mayat mangsa ke dalam sungai atau laut.
Sekiranya sungai dan laut boleh bercakap, pasti mereka menyatakan keluhan dan sesalan di atas perbuatan biadab manusia. Rupanya semakin tinggi peradaban, dan semakin canggih kehidupan, manusia menjadi semakin singkat fikiran. Semakin bodoh dan zalim.
Sungai dan laut yang sejak azali menjadi sumber utama kehidupan, sudah semacam tidak dihargai. Banyak sungai kita diletakkan pada status tidak selamat sebab airnya telah dicemari oleh pelbagai bahan toksik. Usahkan hendak digunakan untuk minuman, untuk dibuat mandi pun sudah tidak selamat.
Sungai dijadikan tempat buangan sisa industri. Kekotoran kilang dan pembangunan di hulu sungai, akan mencemarkan air. Sebab itu air sungai yang dulunya jernih dan dingin, kini sudah bertukar warna. Ada warna teh tarik, malah ada warna kopi-O. Tidak ada siapa yang berani mandi manda, apa lagi untuk minum air seperti itu.
Tidak sahaja sisa industri, sungai kita juga dicemari seribu satu sampah saraf. Orang kita tidak sedikit pun menghargai sungai. Semua yang tidak dikehendaki akan didamparkan dalam sungai – dari tisu pengelap peluh, kulit pisang, kulit durian, lampin bayi, tuala wanita, coli buruk, seluar dalam buruk, pendek kata apa sahaja dibuang ke dalam sungai.
Malah, akhir-akhir ini sungai juga menjadi tempat membuang bayi! Selalu kita membaca berita mengenai penemuan mayat bayi di dalam sungai. Insan tidak berdosa yang masih bertali pusat itu terapung-apung di dalam sungai. Alangkah zalimnya manusia.
Sebab itu memancing di kawasan yang dulu terkenal dengan pelbagai jenis ikan, kini mungkin tidak banyak ikan seperti dulu. Sepanjang hari memancing, ikan tidak menyambar umpan. Puas dan lenguh – malah ada yang terlena – memegang joran, tidak ada ikan yang sudi menghidu mata kail.
Kalau nasib baik, ada yang menyentap mata kail setelah menunggu sekian lama. Bukan main bersemangat melayan ikan di hujung joran. Terasa seperti menarik ikan besar, mungkin bapak haruan, atau paling tidak pun anak toman.
Rupa-rupanya nasib baik menjadi tidak baik, apabila yang ditarik dan melekat pada mata kail bukan anak toman, jauh sekali bapak haruan, sebaliknya seluar dalam yang koyak dan usang. Ku sangka ikan, rupanya seluar dalam saiz XXL. Kalau seluar dalam wanita boleh juga rendam dan airnya boleh buat ubat jerawat!
Bukan sahaja seluar dalam, ada juga benda-benda lain yang tersangkut pada mata kail, termasuk coli wanita, tuala wanita, lampin bayi. Kulit durian dan baldi buruk pun tersangkut pada mata kail. Puas dan bersemangat menarik joran rupa-rupanya yang melekat pada mata kail hanyalah selipar jepun putus tali. Begitulah kotornya sungai kita sekarang!
Maka teringat saya pada Sungai Ring di kampung saya di hulu Muar. Zaman kanak-kanak dulu sungai ini adalah sumber utama kehidupan seluruh penduduk kampung. Setengah abad dulu kampung saya – juga kampung-kampung lain sejiran – tidak ada bekalan air paip. Sungai inilah sumber air utama.
Air sungai ini digunakan untuk minuman, masakan segala makanan. Air sungai ini juga untuk cucian dan mandian harian. Di sini jugalah saya dan kawan-kawan sekolah menjadi ‘Tarzan’.
Setiap kali pulang dari sekolah, kami berhenti di permandian. Lempar beg sekolah di tebing, tanggal baju, tanggal seluar, berbogel kami terjun ke sungai, mandi dan berendam hingga semuanya kecut.
Kalau nasib tidak baik, apabila terlajak menjadi Tarzan dan tiba di rumah lewat, emak akan berleter. Lebih teruk lagi sekiranya abah tahu, saya akan di sesak dengan tali pinggang atau rotan. Ada amaran dari abah:
“Kalau engkau mandi lagi di sungai tu, aku repot rumah pasung, biar polis tangkap engkau!”
Amaran demi amaran, tetapi saya tidak ambil pot. Pertama, saya tahu mana ada polis yang hendak menangkap budak mandi sungai. Kedua, kalau betul polis tangkap dan dimasukkan dalam lokap rumah pasung (balai polis) mesti tidak cukup lokap sebab ramai budak-budak mandi sungai.
Jadi, walaupun kena rotan, saya tidak pernah serik untuk menjadi Tarzan di Sungai Ring. Airnya yang jernih lagi dingin itu terasa segar betul meresap ke seluruh tubuh. Kalau rasa dahaga ketika mandi, teguk terus air sungai itu, walaupun ada teman-teman berkata:
“Ahhh, engkau minum air kentut aku!”
Di sungai itu juga penduduk mendapat sumber protein. Abah memasang lukah sebelah petang – umpannya biji getah yang direbus – dan sebelah pagi sebelum ke sekolah saya mengangkat lukah, gembira sekali melihat haruan, puyu, terbul menggelepar di dalam lukah. Sekali sekala masuk juga ketam air tawar, di tempat saya dipanggil ‘kertah’.
Ada juga yang menjala. Mula-mula taburkan umpan kepala parut yang ditumbuk dan digaul dengan ubi rebus. Campakkan umpan dalam air, sepuluh minit kemudian tebar jala, dan akan tersangkut terbul, tonjeng, anak baung atau sebarau.
Bagi pemancing pula, umpannya cacing atau telur kerengga, pasti tidak akan kecewa. Tidak sampai setengah hari menghulur joran, pasti pulang dengan toman, baung, malah kalau nasib baik dapat pula udang galah sebesar lengan budak.
Sekali turun memancing, cukup makan sekeluarga. Musim air besar, atau bah, ada ikan-ikan besar seperti tapah, ketutu. Tetapi, silap-silap gaya buaya pun ada!
Pendek kata Sungai Ring adalah sumber rezeki untuk penduduk setempat. Itu setengah abad dulu! Hari ini orang gila pun tidak sanggup menjadi Tarzan di situ. Sungai itu telah diluruskan. Pembangunan telah mencemarkan air sungai tersebut. Tidak lagi jernih, airnya kita keruh sepanjang masa, bertoksik dan tidak boleh diminum.
Pelbagai spesies ikan sudah pupus. Jangankan seluang dan kertah, buaya tembaga pun tidak sanggup hidup di sungai tersebut. Kalau ada haruan dan puyu pun warnanya sudah hitam legam seperti besi. Orang tidak berani memakan ikan di situ sebab mengetahui ikan di situ makan sekian banyak toksik.
Saya percaya kalau pasang lukah sekarang tidak ada haruan atau terbul yang masuk. Kemungkinan besar lukah akan dipenuhi lampin bayi, tuala wanita atau coli buruk.
Manusia tidak menghargai sungai, maka sungai pun tidak lagi memberi rezeki. Bayangkan sekiranya satu hari nanti semua sungai dicemari, di mana kita hendak memancing? Fikirkan dengan serius!
Spesies ikan omnivor ini mempunyai nilai pasaran yang tinggi terutamanya untuk dijadikan hidangan makanan. Oleh kerana itu, spesies ini telah dikomersialkan dalam bidang akuakultur. Isi ikan jelawat dikatakan lembut dan manis disertai dengan rasa lemak. Malah ikan jelawat turut memiliki khasiat yang banyak.
KANDUNGAN PROTEIN TINGGI
Protein adalah satu kumpulan bahan makronutrien yang memainkan peranan dalam pembentukan biomolekul. Umumnya jelawat mempunyai kandungan protein yang cukup tinggi antara 8-25% dan terdiri daripada beberapa asid amino. Protein yang tinggi ini akan memainkan peranan dalam membina dan memperkuat jisim otot.
KAYA VITAMIN B1
Tubuh manusia memerlukan pengambilan nutrisi berterusan agak kekal sihat. Ikan jerawat juga mengandungi vitamin B1 yang berguna dalam mengekalkan kekuatan dan dapat meningkatkan ketahanan dalam melawan stres. Vitamin B1 juga memainkan peranan untuk melegakan pening dan keletihan akibat kegagalan kerja.
MENINGKATKAN STAMINA
Stamina adalah tenaga tubuh yang perlu kekal bersemangat bagi menjalankan aktiviti harian. Dengan mengamalkan memakan ikan jelawat, korang tidak perlu mengambil suplemen lain.
MENGANDUNGI IODIN
Iodin sangat penting untuk mencegah beguk atau benguk. Kekurangan iodin yang dialami oleh ibu sejak kehamilan bakal mengakibatkan bayi lahir kronik, dan juga boleh mengalami IQ yang lemah atau rendah.
BAGUS UNTUK KESIHATAN GIGI
Kanak-kanak yang cukup fluorida dalam diet mereka akan memiliki gigi yang lebih sihat. Ikan jelawat dikatakan memiliki fluofrida yang baik untuk menguatkan gigi.
MENGAWAL BERAT BADAN
Bagi orang yang sangat prihatin terhadap penampilan dan sentiasa mahu kelihatan sempurna, maka korang perlu makan ikan Jelawat. Ini kerana kandungan lemaknya rendah dan mudah dicerna. Dalam erti kata lainnya ia dapat mengawal berat badan anda agar tidak menjadi obesiti.
MENGANDUNGI FOSFORUS TINGGI
Kandungan fosforus yang terkandung dalam ikan Jelawat berfungsi meningkatkan prestasi proses pencernaan makanan dan membantu mengawal proses pembuangan sisa metabolik dan bahan yang diperlukan oleh tubuh manusia. Fosforus juga berfungsi untuk memperkuat tulang dan gigi supaya tidak mudah rapuh.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...