Kenali Jenis Batu Ladung Dan Kegunaannya

Share

 

Terdapat pelbagai jenis batu ladung yang ada di pasaran masa kini. Walau bagaimanapun, masih ramai lagi kurang arif mengenai kesesuaian penggunaan batu ladung ini sama ada bentuk, saiz ataupun beratnya.

 

Batu Ladung Leper

 

Ia merupakan pemberat yang paling sinonim dengan pancingan dasar laut dalam. Dan bolehlah dianggap pemberat yang paling sesuai dengan jumlah berat maksimum sehingga 1kg dihasilkan.

 

Dengan bentuk seperti empat segi dengan lengkungan separa bulat pada bahagian bawah memboleh batu ladung leper ini menjunam ke dasar dengan lebih laju dan mampu membelah arus dengan baik.

 

 

Ia penting bagi membolehkan umpan yang didasarkan tidak kesasar jauh dari lubuk sasaran. Selain itu ia juga mampu melekap atau kekal pada dasar dengan lebih kukuh melawan tolakan arus pada dasar laut.

 

Batu Ladung Berlian

 

Berbanding batu ladung seangkatan dengannya, batu ladung berlian merupakan pemberat yang paling bercorak dan aerodinamik. Sebagaimana bentuk berlian, pemberat ini dibentuk sedemikian rupa dengan tujuan tertentu.

 

 

Ia sesuai untuk kegunaan pancingan air tawar dan juga air masin. Dengan reka bentuk sedemikian rupa membolehkan ia dilontar ke lubuk dengan lebih tepat dan menerjah ke permukaan air dengan riak yang minimum dan menjunamkan ke dasar bersama bentukan buih dan mampu membelah air dengan baik.

 

Batu Ladung Silinder

 

Ada yang memanggil pemberat ini sebagai batu ladung J sebab ada cop huruf J pada badannya. Ada juga yang memanggilnya ladung torpedo kerana reka bentuknya seperti bom torpedo. Yang penting, batu ladung silinder ini antara pemberat terbaik untuk pancingan dasar laut dalam.

 

 

Reka bentuk dan campuran logam menjadikan pemberat ni terasa lebih mampat berbanding pemberat lain dalam skala berat yang sama. Ia membolehkannya turun ke dasar dengan kelajuan yang stabil dan mampu memegang perambut dan umpan dengan baik.

 

Batu Ladung Bertali

 

Saya jarang menemui pemberat jenis ini di pasaran terutamanya kedai-kedai pancing Lembah Kelang. Namun saya pernah melihat para tekong dan awak-awak di Pantai Timur menggunakan batu ladung ini ketika mencandat sotong atau memancing tenggiri menggunakan koyan.

 

 

Uniknya pemberat ini ia didatangkan dengan jalinan tali tangsi sebagai ganti gelung atau cincin yang biasa terdapat pada batu ladung mati. Saya percaya ia adalah pemberat custom yang membolehkan ia disambung dengan set perambut atau tanduk buatan sendiri yang tidak menggunakan swivel penyambung.

 

Batu Ladung Bertangkai

 

Pemberat jenis ini hampir sama bentuknya dengan batu ladung leper, panjang atau silinder kecuali pada bahagian atasnya disambungkan dengan gelung atau cincin bertangkai panjang. Ia juga hampir menyamai batu ladung sauh tetapi tidak memiliki kaki labah-labah.

 

 

Ia dipercayai lebih banyak digunakan dalam pancingan surfcasting sebagaimana batu ladung sauh. Memandangkan dawai tangkainya diperbuat daripada logam yang mudah karat, saya percaya ia lebih sesuai digunakan untuk pancingan air tawar yang luas seperti tasik atau lombong.

 

Batu Hidup Lonjong

 

Pemberat atau running sinkers yang mirip batu ladung biji kana pada asasnya direka bentuk untuk konsep pancingan yang sama. Secara teori pula pemberat jenis ini lebih efektif berbanding batu ladung biji kana bagi mengurangkan tali utama bersimpul. Bentuknya yang dipanjangkan itu mampu menyelamatkan perambut dari diputuskan ikan bergigi tajam. Selain itu ia juga lebih baik dari aspek lontaran yang lebih jauh serta boleh digunakan sebagai pemberat tambahan pada gewang.

 

Published by
Amang