Biodata ringkas:
Nama saintifik: Trichiurus lepturus
Keluarga: Trichiuridae
Nama Lain: Langgal, setimah, layur
Ciri Fizikal: Leper memanjang, kilauan keperakan dan bergigi tajam
Diet: Anak ikan, krutesia dasar
Habitat: Asasnya hidup di dasar air tapi banyak memburu mangsa di permukaan menjelang malam. Kedalaman air dari 4 meter hingga 100 meter
Taburan: Timur laut Afrika, Laut merah turun ke India hingga Bangladesh.
Tempatan: Hampir sekeliling laut Semenanjug, Sabah dan Sarawak
Dalam kamus ikan terdapat 4 jenis ikan timah di perairan Malaysia, tapi yang difokuskan bulan ini ialah timah dari jenis jenis T. lepturus (largehead hairtail). Selain 3 lagi iaitu Tentoriceps cristatus (crested hairtail), Lepturacanthus savala (savalai hairtail) dan Eupleurogrammus muticus (malayan hairtail). Kesemua lebih dikenali sebagai ribbon fish dalam panggilan global. Jenis ikan timah ini biasanya dibezakan dari segi bentuk kepala, rupa barisan gigi dan saiz badan meleper.
Di pantai barat Semenanjung ikan ini lebih dikenali dengan nama ikan timah. Nelayan pantai timur memanggilnya ikan layur kerana ikan timah adalah satu gelaran spesies ikan berlainan keluarga di pantai timur. Ikan ini banyak dikeringkan memadangkan permintaan lebih tinggi jika dikeringkan.
Ikan timah pada asasnya ialah sejenis hidupan air yang unik dan cukup menarik. Berbentuk leper memanjang, berkulit licin berkilat seperti perak. Ekor halus mengecil di hujung, riben atau sirip dorsal bermula dari pangkal kepala hingga hujung ekor.
Sirip dorsal membarisi bahagian atas badan menghasilkan pergerakan unik ketika ia berenang seperti alunan ombak yang konsistan. Mempunyai gigi tajam seperti ikan malong di mana terdapat dua taring besar tajam membarisi bahagian atas mulut.
Walaupun badannya nipis , mulutnya mampu membuka luas ketika menyerang dan menerkam mangsa. Warna riben lebih gelap sedikit berbanding warna kilauan badannya. Matanya bersinar terang apabila menerima pancaran cahaya di malam hari. Rekod terbesar dilaporkan hingga 4 kaki memanjang. Beratnya hanya boleh mencecah purata kurang 1kg hingga 3 kg.
Boleh dijumpai bermain di kawasan pantai berbatu karang, tompokan batu karang kecil dan kawasan berpasir. Ia tidak mendiami satu spesifik lubuk khusus dan gemar merayau dari kedalaman air 6 kaki hingga 300 kaki atau hampir 100 batu nautika dari pantai.
Timah adalah sejenis ikan yang sering berpindah lokasi ke lokasi berikutnya. Hanya bermain di satu kawasan buruan dalam jangka masa kurang sebulan bergantung kepada pergerakan mangsanya sendiri. Spesies yang kecil gemar memburu anak sotong dan lebih tertumpu di perairan pantai dan air cetek. Ia juga seperti ikan parang yang banyak menghabiskan masa meronda di permukaan air memburu mangsa.
Banyak berlegar di permukaan air sambil memburu mangsa yang turut sama menikmati cahaya lampu. Mata bersinar di air banyak membantu ikan ini memburu pada malam hari sesuai dengan sifatnya bertambah rakus menjelang malam. Waktu dinihari saya sendiri jarang memperolehi ikan ini.
Jika habitat yang didiami adalah air cetek tidak masalah bagi ikan ini meneroka hingga ke dasar, tetapi jika kawasan tersebut mempunyai kedalamana lebih dari 200 kaki, ia banyak menghuni di pertengahan dan permukaan air sahaja.
Ikan timah juga adalah spesies karnibal yang tinggal dan bergerak secara berkumpulan. Ia akan menyerang sesama sendiri di kalangan ahli yang lemah mahupun cedera. Tidak mengenal belas kasihan dalam memperjudikan hidup di dunia bawah air yang kejam. Bila mangsa dalam cengkaman gigi taring hadapan sukar untuknya melepaskan diri lagi.