Kenali Ikan Tenggiri Batang

Share

 

Bagi pemancing global, spesies ini dikenali dengan nama Spaniards, merujuk kepada nama Spanish mackerel. Spaniards yang tangkas ini mampu membesar sehingga 50 kg dan mencapai panjang maksimum sekitar 2 meter.

Begitu pun, saiz tipikal bagi tenggiri ialah sekitar 8-12 kg di kebanyakan tempat dan jika terdapat saiz melebihi 25 kg, spesimen tersebut dianggap bersaiz mega.

 

Kebiasaannya, tumbesaran panjang badan bagi Spanish mackerel yang besar akan terhenti apabila berat mencapai sekitar 25 kg.

Sebaliknya tumbesaran akan beralih kepada bahagian saiz badannya di mana akan menjadi lebih tebal dan tegap menyerupai spesies dog tooth tuna.

Spesimen begini dikatakan memberikan kepuasan total kepada pemancing dalam pertarungan.

baca juga cencaru lubuk tenggiri

 

 

TABURAN SPESIES DAN HABITAT

 

Tenggiri atau nama binomialnya Scomberomorus commerson merupakan ikan mackerel dalam keluarga Scombridae.

Spesies ini boleh ditemui dalam lapangan yang luas berpusat di Asia Tenggara, merangkumi barat dan pantai timur Afrika.

Spesies ini juga bertaburan di Timur Tengah di utara Lautan Hindi sehingga ke barat daya Lautan Pasifik.

 

Spesies S. commerson juga cenderung untuk berenang di kawasan pesisir dan juga laut lepas di kawasan yang mempunyai sistem terumbu karang atau berstruktur sedikit berbatu.

 

 

Kawasan kedalaman air sekitar 10-50meter merupakan habitat pilihan bagi pemangsa ini. Torpedo laut ini juga gemarkan kawasan yang menjadi tumpuan ikan kecil atau ikan umpan serta mempunyai arus yang agak deras.

 

MORFOLOGI

 

Dalam morfologi, spesies narrowbarred boleh dikenal pasti melalui bentuk badannya. Bentuk badannya berbentuk tipikal bagi ikan mackerel di mana badannya agak panjang

dan berbentuk torpedo serta mempunyai garisan hitam berbentuk bar dari atas badan hingga ke bahagian abdomen.

Warna badannya pula ialah hijau kebiruan dan bahagian abdomen lebih kepada tona warna putih keperakan.

 

 

Spanish mackerel mempunyai gigi yang cukup kuat dan tajam. Gigi ini merupakan senjata utamanya selain daripada ketangkasan dan kekuatan renangannya.

Ketajaman gigi ini digunakan untuk memburu mangsanya malah mampu mencederakan pemancing jika tidak dikendalikan dengan betul.

 

Terdapat spesies yang hampir menyerupai spesies ini iaitu broad-barred mackerel. Kedua-dua ikan mackerel ini kelihatan hampir sama terutamanya ketika masih juvenil.

Namun perbezaan dapat dilihat pada bahagian sirip anal dan sirip dorsal kedua bagi spesies ini.

 

baca juga rahsia speed jigging tenggiri

 

Narrowbarred mempunyai sirip anal dan sirip dorsal kedua yang lebih kecil berbanding broad-barred Spanish mackerel.

Selain itu, bagi spesimen matang, terdapat kehadiran dominan bar hitam pada badan narrow-barred berbanding spesies broad-barred.

 

BIOLOGI DAN DIET

 

Tenggiri atau spesies mackerel ini dikenali sebagai spesies ikan epipelagic serta spesies neritik yang merupakan spesies migrasi mengharungi garisan renangan yang panjang.

Begitu pun, terdapat juga kalangan ikan ini yang menjadi residen tetap kepada sesebuah lokasi.

 

Bergantung kepada suhu sesuatu kawasan, musim mengawan bagi ikan ini agak bervariasi.

Di timur Afrika, biasanya berlaku pada bulan Oktober hingga Julai, Disember hingga Februari di sekitar Madagascar dan Mei hingga Julai di kawasan Madras (Chacko, Thomas & Pillay, 1968).

Menurut dapatan daripada Lewis, Smith & Kearney, 1974, musim mengawan bagi mackerel di kepulauan Taiwan dan New Guinea pula sekitar Julai hingga Disember.

 

 

Seperti kebanyakan spesies dalam genus ini, S. commerson menjadikan ikan yang lebih kecil sebagai diet utama baginya.

Ikan seperi sardin, spesies carangidae yang lebih kecil serta udang juga turut menjadi antara mangsa yang diburunya.

Tenggiri memburu mangsanya sepanjang hari, tidak kira pada waktu siang atau malam.

 

Taksonomi

 

Kingdom: Animalia

Phylum: Chordata

Class: Actinopterygii

Order: Perciformes

Family: Scombridae

Genus: Scomberomorus

Species: Scomberomorus commerson (Lacépède, 1800)

 

baca juga cara nak layan tenggiri

 

Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!

Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan

Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan

Published by
Amang