Rohu, rui, atau roho labeo (Labeo rohita) adalah spesies ikan keluarga ikan carp, yang terdapat di sungai-sungai di Asia Selatan khususnya di Pakistan, India, Bangladesh, Mynmar dan Nepal. Ia adalah haiwan omnivor besar dan digunakan secara meluas dalam akuakultur.
Rohu adalah ikan besar berwarna perak yang mempunyai bentuk badan ikan kap yang biasa, dengan kepala yang melengkung. Spesies dewasa boleh mencapai berat maksimum 45kg dan panjang maksimum 200cm tetapi purata sekitar 50cm sahaja dan jangka hayatnya sekitar 10 tahun.
Spesies ini adalah omnivor dengan keutamaan makanan tertentu pada peringkat kehidupan yang berbeza. Semasa peringkat awal kitaran hayatnya, ia makan terutamanya zooplankton, tetapi apabila membesar ia makan lebih banyak fitoplankton, dan apabila peringkat juvenil atau dewasa ia bersifat herbivor, makan terutamanya fitoplankton dan tumbuh-tumbuhan yang tenggelam.
Rohu mempunyai bentuk badan dan sisik yang seakan akan ikan jelawat. Bahagian atas badan mempunyai warna sisik yang agak kehitaman serta putih pada bahagian bawah. Sirip pada bahagian bawah badannya berwarna sedikit kemerahan.
Ads
Tergolong dalam keluarga kap dan ia mudah menyesuaikan diri dalam persekitaran dan cuaca di negara kita. ia dibawa masuk kenegara kita bagi tujuan akuakultur dan pemakanan.
Memandangkan ia merupakan ikan yang boleh dipancing, secara tidak langsung ia ia merancakkan lagi industri sukan memancing. Rohu merupakan salah satu spesies air tawar yang amat terkenal sebagai ikan yang mempunyai daya pecutan yang tinggi apabila memakan umpan di kalangan kalangan kaki pancing. Selain memancingnya di bekas-bekas lombong, ia juga boleh dipancing di kolam berbayar air tawar.
Ads
Hari ini kebanyakan kolam pancing berbayar ikan air tawar di negara kita menggunakan spesis ini sebagai daya penarik kepada kaki pancing disamping beberapa spesies pendatang lain seperti pacu, leekoh, keli Afrika dan tongsan.
Taksonomi:
Kingdom: Animalia
Phylum: Chordata
Ads
Class: Actinopterygii (fish)
Order: Cypriniformes
Family: Cyprinidae
Genus: Labeo
Species: L. rohita
Binomial name: Labeo rohita (Hamilton, 1822)
Common name: Ikan rohu, ara (Malay), Roho Labeo, Rohu & Ruee (English)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Ikan runtu atau haruan runtu, yang dikenali dengan nama umum Baram Snakehead merupakan ahli keluarga snakehead yang unik dan mudah dikenali berbanding spesies Channa kecil lainnya.
Paling ketara ialah corak penampilan badannya. Boleh dikatakannya ia satu-satunya spesies snakehead yang memiliki corak berbintik pada badannya.
Seperkara lainnya, Channa baramensis ini dikatakan hanya boleh ditemui di beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak sahaja.
Channa kecil ini hanya mampu membesar antara 18 hingga 22 cm sahaja. Dan paling menarik, nama umumnya iaitu Baram snakehead dinamakan sempena spesimen yang ditangkap di Sungai Baram, Sarawak.
Menariknya tentang ikan ini adalah, ia memiliki sifat yang cara menyambar hampir sama dengan bujuk dan cara sambarannya agak agresif.
Jika sambaran tidak kena, ia tetap akan menyambar umpan yang dilontarkan di tempat yang sama.
Bila sahaja terkena pancing, runtu akan cuba melakukan lompatan akrobatik ke udara untuk meloloskan diri berbanding bujuk yang kuat menggelupur.
Walaupun mendiami parit yang sama, tetapi runtu ada wilayahnya sendiri iaitu jika runtu ada di satu-satu spot, bujuk dan haruan tidak ada dan begitulah sebaiknya.
Runtu juga pada pengamatan saya mendiami satu-satu lubuk dalam bentuk koloni. Ini kerana, selepas mendapat seekor, baling lagi umpan di lokasi yang sama pasti akan ada 2-3 ekor yang lain.
Untuk mendapatkan lebih potensi tangkapan ialah gunakan umpan yang bersaiz kecil dan jatuhan umpan juga dalam keadaan senyap.
Berbanding haruan, saiz runtu tidaklah terlalu besar. Menurut kaki pancing di sini, anggaran saiz terbesar adalah sekitar 1.5kg sahaja.
Tetapi jika berjaya menemui saiz sebegini, ia pasti akan memberikan tentangan yang amat mendebarkan.
Spesies yang memiliki corak badan berbintik-bintik di badannya, dikatakan memiliki nilai perubatan yang tinggi berbanding haruan mahupun bujuk di kalangan masyarakat tempatan.
Ia mendapat permintaan yang tinggi di kalangan pesakit yang baru selesai menjalani pembedahan mahupun selepas bersalin.
Runtu akan dibuat sup ataupun masak rebus sahaja sebagai hidangan untuk tujuan perubatan.
Khasiat daripada isi dan sup ikan ini dipercayai mampu menyembuhkan luka selepas bersalin mahupun pembedahan dengan lebih cepat.
Di Malaysia selain sektor akuakultur, ikan kaloi juga mendapat tempat di kalangan peminat sektor ikan hiasan. Antara tarikan ikan kaloi ialah merupakan spesies yang tidak mudah mati selain mempunyai jangka hayat yang panjang sehingga melebihi 20 tahun. Selain itu juga ikan kaloi juga mempunyai personaliti yang unik di mana dalam satu jangka masa dibela, spesies ini mampu mengenal pemilik yang membelanya.
Ikan kaloi merupakan antara ikan yang dikatakan mempunyai rasa yang enak untuk dibuat hidangan makanan. Malah di beberapa buah negara termasuk Australia, spesies ini merupakan antara spesies penting dalam sektor akuakultur di mana spesies kaloi diternak secara besar-besaran untuk tujuan stok makanan.
Dalam aspek taksonomi, ikan kaloi dikelaskan berada dalam keluarga besar Osphronemidae, di bawah genus Osphronemus dengan nama binomial Osphronemus goramy. Membawa nama umum giant gourami dan kaloi menurut panggilan tempatan, merupakan spesies ikan natif Asia Tenggara iaitu memang berasal dari kawasan perairan Asia Tenggara.
Secara amnya pola taburan spesies kaloi banyak tertumpu di negara Asia Tenggara didapati di Lembangan Mekong hingga ke Mae Khlong di Thailand, sepanjang perairan di Semenanjung Malaysia dan Indonesia.
Dalam morfologi luaran spesies kaloi, ikan ini mempunyai bentuk badan agak leper atau disebut perciform atau perch like. Jumlah sirip dorsal berduri antara 12 hingga 14 manakala sirip anal berduri pula antara 9 hingga 13. Bagi juvenil O. goramy, fasa warna badan biasanya mempunyai 8 hingga 10 bar menegak yang berwarna hitam dan warna ini akan hilang apabila mencapai tempoh matang.
Sirip dorsal lembut spesies ini memanjang dan berbentuk bulat menirus atau truncate, memanjang hingga ke atas bahagian sirip kaudal. Begitu juga dengan sirip anal ikan ini yang semakin melebar atau membuka ke belakang. Sirip pektoralnya agak bulat sementara bentuk sirip kaudalnya pula agak bulat atau disebut obtusely rounded.
Spesies ini merupakan spesies ikan gourami yang mampu membesar melebihi spesies gourami yang lain. Spesies ikan kaloi sebenarnya mampu hidup dalam keadaan air tawar dan air payau. Begitu pun, spesies ini dilihat lebih cenderung untuk memilih kawasan perairan air tawar sebagai habitat hidupnya.
Ekosistem habitat semula jadi ikan kaloi biasanya di kawasan paya, terusan, tasik dan juga sungai. Habitat kaloi sering kali tertumpu di kawasan yang berarus perlahan. Selain itu, kawasan perairan yang dipenuhi dengan tumbuhan vegetatif akuatik juga menjadi pilihan kepada spesies ikan kaloi untuk dijadikan habitatnya.
Di Malaysia, spesies ikan kaloi boleh ditemui di kawasan sungai-sungai besar dan sederhana utama seperti di Perak dan Pahang. Biasanya kawasan sungai atau habitat yang mempunyai banyak struktur kayu dan tumbuhan akuatik termasuk kawasan saliran yang agak kotor. Ikan kaloi juga mampu untuk mengambil udara secara terus seperti spesies ikan snakehead. Oleh itu, spesies ini mampu hidup agak lama biarpun di luar kawasan air.
Giant gourami atau ikan kaloi merupakan spesies ikan omnivor. Ikan ini memakan apa sahaja seperti rumpai air, ikan kecil, katak, cacing, organisma akuatik yang kecil malah hidupan akuatik yang telah mati juga dimakan oleh ikan kaloi.
Begitu pun, diet spesies ini lebih cenderung kepada tumbuhan. Dalam sektor akuatik, spesies kaloi juga digunakan sebagai haiwan pengawal rumpai air kerana keupayaannya untuk memakan dan mengawal tumbuhan vegetatif akuatik dan alga yang tidak dikehendaki. Ini kerana, ikan kaloi yang dewasa mampu untuk memakan tumbuhan akuatik yang bersifat fiber secara terus.
Peminat sukan memancing di Malaysia wajib tahu dan kenal spesies ini. Spesies pemangsa air tawar ini bolehlah ditabalkan sebagai pemangsa teratas dalam rantaian makanan dan antara spesies air tawar yang kuat dan ganas.
Aksi ganas, kekuatan dan stamina ikan ini cukup membuatkan kaki pancing berpeluh untuk mendaratkannya.
Dengan bentuk kepala seperti ular yang besar, spesies Channa micropeltes atau giant snakehead merupakan spesies yang cukup sinonim dengan kebanyakan kaki pancing di Malaysia.
Tidak syak lagi sesiapa saja yang mempunyai hobi memancing atau mengilat ikan air tawar, pasti akan kenal dan sedia maklum akan kerakusan sang toman dalam pertarungan.
Secara global, ikan toman lebih dikenali sebagai giant snakehead. Tergolong dalam famili Channidae, sama sebagaimana haruan dan bujuk namun toman mampu membesar sehingga saiz trofi.
Ikan toman juga merupakan salah satu spesies natif atau spesies ikan asal di Malaysia.
Taburan spesies
Taburan ikan sangat meluas terutama di kawasan Asia Tenggara. Bagi kebanyakan lokasi di Asia Tenggara, ikan toman merupakan spesies natif kepada tempat ini.
Lembah Sungai Mekong dan Chao Phraya, Semenanjung Malaysia, Borneo dan Sumatera merupakan antara kawasan yang mempunyai taburan ikan toman.
Selain itu, ikan toman terdapat di Eropah dan Amerika Syarikat walaupun bukan merupakan spesies asal.
Oleh sebab kesan daripada aktiviti manusia yang memperkenalkan spesies ini ke perairan mereka, beberapa tempat dikatakan telah didominasi oleh spesies ini.
Antara kawasan tersebut termasuklah Wisconsin, Maryland dan Virginia.
Habitat dan ekologi
Ikan toman merupakan spesies yang hidup di persekitaran air tawar. Toman biasanya boleh dijumpai di sungai-sungai bertanah rendah, paya, tasik dan terusan.
Bagi toman juvenil, biasanya akan bergerak dan memburu makanan secara berkumpulan.
Bagi kebanyakan kaki di Malaysia, lokasi utama mencari toman ialah seperti tasik semula jadi, tasik buatan, sungai-sungai, lombong atau paya yang terbiar.
Toman juga gemar pada kawasan berarus perlahan dan dalam.
Morfologi dan biologi
Seperti ramai yang sedia maklum, anak-anak toman atau fri toman berwarna merah dan bergerak berkumpulan.
Pergerakan ini biasanya oleh sepasang induk toman atau lebih bagi mengelakkan anak-anak ini menjadi mangsa serangan kepada ikan atau pemangsa lain.
Selepas lebih kurang dua bulan, warnanya akan berubah menjadi oren dengan jalur hitam akan muncul pada garisan lateral.
Apabila semakin membesar, ikan toman akan kehilangan warna merah dan jalurnya akan pecah dan akan menghasilkan corak seakan batik pada badannya.
Warna merah pada badannya akan hilang dan akan menjadi warna biru kehitaman pada bahagian atas ikan ini.
Ikan toman merupakan spesies yang paling agresif berbanding 35 spesies snakehead yang lain. Spesies ini juga boleh membesar sehingga mencapai panjang lebih 2 meter dan berat mencecah 20 kg.
Selain mempunyai barisan gigi yang tajam seperti pisau, ia turut memiliki rahang yang sangat kuat. Paduan gigi dan rahang toman ini merupakan senjata yang menggerunkan.
Ikan toman biasanya memburu ikan yang lebih kecil daripadanya sebagai diet makanan utama.
Selain ikan, toman juga kadangkala menjadikan krustasia dan haiwan amfibia sebagai dietnya.
Apabila musim mengawan, ikan toman akan memilih kawasan yang mempunyai tumbuhan akuatik yang agak banyak sebagai tempat melepaskan telur.
Pemburu berkepala ular yang agresif
Ketika memburu mangsanya, toman akan membengkokkan dirinya seperti huruf S sebelum melakukan pecutan dengan menghentam mangsanya.
Mulutnya yang siap dengan barisan gigi tajam akan membaham mangsanya. Kekuatan rahangnya juga memberikan impak yang lebih kuat semasa membaham mangsanya.
Secara kasarnya, ikan toman boleh memberikan satu imaginasi yang agak menakutkan. Dengan sepasang rahang kuat dan dibarisi dengan gigi tajam serta berbadan tegap dan
padu, cukup memberikan impak sebagai pemangsa yang rakus. Apatah lagi dengan kepala berbentuk ular dan corak pada badannya menambahkan lagi kegerunan pada spesies ini.
Walaupun terkenal dengan kerakusan dan sifat agresifnya, ikan toman merupakan induk yang sangat baik.
Sepasang induk (kadangkala lebih) akan menjaga sarang tempat penetasan telur dan akan menjaga serta mengawasi anak yang baru menetas.
Induk ini akan menyerang dan bertindak lebih agresif ketika proses menjaga anak-anaknya.
Ia akan menjaga sehingga anak-anaknya cukup dewasa untuk hidup sendiri atau sehingga musim mengawan berikutnya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...