Kenali Ikan Potok!!

Share

 

Terdapat pelbagai nama tempatan bagi spesies ini iaitu potok, belida selat, selat mahupun tongkos. Walau bagaimana pun ia lebih popular sebagai ikan potok dengan nama Inggerisnya Asiatic knifefish atau common knifefish. Namun tidak banyak yang diperkatakan tentang ikan ini dalam media cetak mahupun media elektronik.

 

Secara fisiologi, ikan potok tidak banyak beza dengan saudara rapatnya dalam keluarga Notopteridae. Kesimpulannya, perbezaan antara ketiga-tiga spesies iaitu belida sungai, belida bintik dan potok hanya boleh dilihat pada corak badan serta saiz maksimum ikan ini.

 

Ikan potok mempunyai warna badan sekata seperti belida namun ia tidak mampu membesar sehingga besar maksimum ikan belida lainnya. Ada yang mengatakan ikan potok tidak memiliki badan yang bongkok seperti belida.

 

Namun ia agak sukar untuk dibuat perbandingan ini pada pandangan mata kasar kecuali dapat meletakkan dua spesies yang sama saiz bersebelahan.

 

Spesies belida terkecil dalam famil Notopteridae ini mudah ditemui dalam kepelbagaian habitat dan perairan negara. Ia bukanlah spesies buruan pemancing sukan sebagaimana ikan belida sungai dan belida bintik.

 

Tentu saja ikan potok tidak menjadi spesies sasaran dalam memancing berikutan saiz yang kecil. Ia biasanya terpancing dengan tidak sengaja, lazimnya ketika memancing ikan-ikan kecil lainnya seperti sepat atau puyu.

Published by
Amang