Kenali Ikan Malong!!

Share

 

Malong ialah spesies ikan air masin yang licik, berbadan lendir dan sememangnya tidak mampu dikendalikan ketika ia masih hidup dengan tangan. Saya masih ingat apabila ingin merakamkan gambar malong tiada siapa yang berani ketika ia masih hidup kecuali mengunakan pemegang.

 

Jika disimpan di dalam bekas air yang sedikit kita akan dapati air tersebut akan menjadi pekat kerana lendir yang dikeluarkan dari badan malong. Ia juga tahan lasak walaupun dengan sedikit air. Selain itu malong sering didakwa menyerang pemancing apabila ia berada di daratan semata-mata usaha untuk mempertahankan diri.

 

Ia sebenarnya tidak ganas tetapi kes serangan melalui gigitan berpunca dari kelalaian pemancing ketika cuba mengendalikan ia dengan tangan kosong. Bermulut muncung dan bergigi tajam membuka dengan luas serta lincah terutama di dalam sampan kecil boleh mengerjakan betis dan lengan bagi mereka yang lalai.

 

 

Malong bermulut runcing memanjang dikuatkan pula dengan gigi atas dan bawah untuk mencengkam mangsa. Badan licin memanjang dan menirus hingga ke hujung ekor. Sirip dorsal lembut, kecil dan memanjang dari pangkal leher hingga hujung ekor. Badan berwarna kekuningan semakin cerah di sebelah bawah.

 

Tubuhnya membulat walaupun seakan leper jika pandang dari sisi. Barisan gigi sebelah atas berada pada kedudukan sebaris tengah rahang manakala gigi bawah di kiri dan kanan rahang. Jika dilihat barisan gigi malong, selain gigi tajam memanjang, ia turut dibarisi gigi-gigi tajam lecil tersembunyi di bahagian dalam mulut.

 

 

Hujung mulut sebelah atas seperti mengecil terbina sedemikian sesuai untuk membenarkan cengkaman kuat terhadap mangsa. Mangsa apabila dicengkam malong, ia jarang dapat melepaskan diri dengan mudah.

 

Malong banyak menghabiskan masa di dasar sungai atau muara serta didalam lubang perumahnya. Mendiami kawasan yang berdataran samada pepasir halus dan lumpur pada kedalaman dari 10meter hingga 100 meter. Lubang atau sarangnya menyediakan tempat pelindungan paling sesuai dari musuh.

 

Ia keluar memburu mangsa tidak kira siang dan malam yang terdiri dari anak ikan. Berlainan dengan spesies pengacau sesirat yang gemar menggumpal, menyimpul, melendirkan serta memintalkan tangsi, malong tidak bersifat demikian walaupun kedua-duanya berlendir dan memiliki ciri-ciri persamaan habitat dan pemakanan.

 

 

Nama umum: Daggertooth pike conger

Keluarga: Muraenesocidae

Ciri fizikal: Badan memanjang kekuningan seperti belut air tawar. Barisan gigi tajam adalah ciri-ciri yang paling di geruni pemancing

Diet: Ikan dan hidupan krutesia

Habitat: Mendiami lubang dikawasan dasar berlumpur

Taburan: Wilayah Indo-Malaysia, Filipina hingga Selatan Jepun, Indo-West Pasifik. Kebanyakannya di sekitar perairan Selat Melaka, Sarawak dan persisiran Sabah.

 

 

 

Published by
Amang