Kalau tidak disebabkan muncung yang tirus memanjang, ramai yang tidak mengenali ikan landok terutama ketika dinaikkan.

Sesetengah orang sukar untuk membezakan di antara landok (longface emperor), seronceng (starry pigface emperor – microdon) assoh (thumbprint emperor – Lethrinus harak dan tambak. Tambak sendiri terdapat 5 jenis.

 

Keempat-empat jenis ikan ini adalah ikan karang yang biasanya aktif pada waktu malam, boleh dijumpai di dalam kawasan yang sama (bercampur) dan memiliki diet dan bentuk fizikal yang hampir sama.

 

 

Landok memiliki muncung yang paling panjang dalam keluarga ikan yang bergelar ikan maharaja atau emperor fish ini.

Ia bersisik agak tebal dan keras tetapi tidak berskala besar, memiliki corak warna yang menarik ketika berada di dalam air (seperti corak batik) dan sebaik saja didaratkan ke atas bot.

 

Bibirnya tebal memanjang dibarisi gigi-gigi halus dan kasar di hadapan bahagian mulut. Warna kulitnya bercampur di mana warna kemerahan pada bahagian atas badan dan sirip dorsal pertama.

Warna coklat gelap bertompok-tompok keputihan di bahagian bawah garisan lintang.

 

 

Bahagian muncung mempunyai jalur putih membawa ke arah mulut. Pangkal ekor agak tegap dan padu untuk memberi daya seimbang kepada ekor bercabang besar. Lelangit di dalam mulut berwarna merah atau oren.

 

Habitat Dan Taburan.

Ikan landok seperti mana ratusan marine fish yang lain mudah ditemui di perairan yang mempunyai karang di dasar pada kedalaman 20 kaki hingga melebihi 140 kaki.

Tidak kira gugusan karang tersebut besar (terumbu karang) malah ikan karang ini didapati meronda di kawasan pantai atau perairan yang mempunyai tompok-tompok karang kecil (spot reef).

 

Waktu siang banyak dihabiskan berehat di celah-celah karang dan mundar-mandir di kawasan sekitar tidak keluar dari gugusan karang.

Jangkaan rondaan pada sebelah malam pula agak luas di mana kawasan perairan cetek (pantai) juga dijajahi ketika memburu makanan.

 

 

Taburan tempatan lebih ketara di sebelah Malaysia Timur, terutama Sabah. Itupun kalau pihak berkuasa sempat dan mampu menangani ‘pengebom ikan’ di kawasan pantai.

Jika kemusnahan kawasan karang berleluasa, suatu hari nanti spesies ini sukar diperolehi seperti mana terjadi di kawasan Pulau Besar, Melaka dan Pulau Sembilang, Perak, Pulau Angsa di Selangor yang musnah akibat berleluasanya pengunaan pukat harimau.

 

Di Semenanjung pula lubuk terbaik memburu ikan ini ialah di sebelah Pulau Aur, Pulau Pemanggil, Pulau Dayang dan Pulau Tinggi. Karang Emas di Johor, Pulau Tioman, Karang Luas, Karang Tinggi di Pahang dan gugusan Pulau Redang, Pulau Bidung, Pulau Karah dan Pulau Yu di Terengganu.

 

 

Kawasan lain seperti kepulauan Spratly, Terumbu Layang-Layang dan Lucornia dikenal pasti taburan ikan ini memang banyak, namun jarak, masa dan kos membatasi pemancing untuk memburu ikan ini.

 

Profil Ikan Landok

Nama saintifik: Lethrinus olivaceus

Famili: Lethrinidae

Nama lain: Pelanduk, luping (Sabah)

Ciri fizikal: Mulut runcing memanjang seperti muncung. Badan bertompok coklat dan putih, sisik keras dan putih-keputihan di bawah perut.

Habitat: Dasar berkarang, kawasan tukun dan batu karang.

Taburan: Selatan Jepun hingga Australia, Lautan Hindi dan kepulauan Solomon.

Tempatan: Pantai Timur, Utara Semenanjung, Sabah