Kenali Ikan Kelang!!

Share

 

Juvenil berwarna hijau kekuningan dan berubah kepada hijau gelap apabila meningkat pembesaran. Bahagian kepala membongkok sedikit. Bermulut kecil dan bergigi halus. Ekornya melebar tegap.

 

Boleh membesar sehingga 38cm. Saiz ini melebihi berat sekilogram dan selebar dulang! Namun saiz purata yang dijumpai di kawasan perairan negara ialah 15cm hingga 20cm atau lebih mudah selebar tapak tangan dewasa.

 

Ikan ini tidak bersisik tetapi memiliki kulit yang kesat serta keras. Sirip dorsal dan sirip pelvik adalah keras dan tajam. Duri-duri yang terdapat di atas dan bawah badan mempunyai bisa seperti ikan duri. Mangsa akan merasa panas apabila tercucuk duri atau sengat ikan ini.

 

Ramai pemancing yang tidak tahu di mana sengatnya dan sering terkena ketika cuba memegang seperti mana ikan-ikan lain yang tidak berbisa. Kesannya mungkin akan berpanjangan lebih dari 20 minit atau lebih mengikut daya tahan seseorang itu.

 

Habitat Dan Taburan

 

Ikan kitang gemar bermain di kawasan permukaan air. Mudah ditemui di kawasan muara dan sungai terutama di tepian sangkar ikan, kelong, rumah rakit, tiang jambatan dan objek-objek terapung lama termasuklah bot atau tongkang yang berlumut di bawahnya.

 

Kawasan ini semuanya menyediakan sumber makanan iaitu algae, lumut, rumpai serta krustesia kecil. Selain itu kitang yang hidup di sepanjang sungai adalah penunggu tidak setia tandas awam. Najis manusia juga adalah sebahagian dari diet ikan kitang ini.

 

Walaupun ia dikatakan ikan muara, taburan kitang juga meluas di Samoa, Tonga, Fiji, Selatan Jepun, India dan Bangladesh tentu sekali banyak sesuai dengan kawasan tumpuan utama ikan muara kulit liat ini. Di Negara kita kitang boleh ditemui hampir serata sungai dan muara.

 

Ikan kitang jika diperhatikan ia tidak begitu takut dengan kehadiran manusia. Oleh kerana badannya nipis dan gelap sukar bagi seseorang itu mengenal pasti kitang jika dipandang tepat dari atas. Ketika ia mengutis makanan pada objek terapung, badannya akan mereng dan kilauan cahaya dari lebar badan ketika melintang mudah dikenali.

 

Kita boleh perhatikan ia berenang sambil menikmati makanannya tanpa memperdulikan persekitaran. Jika diacah sepantas kilat ia menghilangkan diri dan muncul kembali menikmati diet hariannya. Kitang Bergerak dalam kumpulan kecil.

Ia boleh ditemui bersama-sama dengan ikan buntal sungai, anak todak dan ikan-ikan pelagik yang turut mendiami muara sungai.

 

 

Ikan jenis lebar apabila ia menelan umpan, pertarungan sungguh menyeronokan lebih-lebih lagi peralatan pancing adalah jenis aksi ringan dan beradu di kawasan terbuka.

Kitang adalah salah satu spesies yang boleh memberikan kepuasan. Ia cukup pada larian serta tekanan yang diberikan ketika merintangi atau miring boleh membuatkan riak wajah ceria, senyum kemerahan di tengah panas.

 

 

Published by
Amang