Apabila kita berjinak-jinak memancing di kawasan muara dan persisiran pantai, ikan duri hampir pasti menguasai setiap pelosok kawasan atau padang pancing, satu spesies yang lumrah dan sukar untuk pemancing untuk menjauhi termasuk saya sendiri.
Namun jika dilihat dari sudut keseronokan memancing ikan duri boleh memberi kepuasan kerana kadar sentapan dan ragutan terhadap umpan lebih tinggi berbanding ikan lain. Kalau tunggu spesies lain, boleh terlelap, adanya duri boleh juga menghindarkan pemancing termenung memanjang menunggu joran melentur.
Begitupun ramai kaki pancing yang saya temui di lembah Kelang mengemari ikan duri pulutan ini kerana isinya lebih sedap berbanding spesies duri yang lain. Ia ada kelasnya tersendiri.
Terdapat beberapa jenis ikan duri yang boleh ditemui di negara kita. Asasnya semua keluarga ikan duri memiliki sesungut atau sesetengah pemancing menamakan janggut atau misai, 3 sengat separa bisa (1 atas badan, 2 di kiri kanan sirip utama).
Separa bisa saya maksudkan ialah kesan bisa tidak lama, kalau tercucuk duri sengatnya paling lama 3 jam denyutan sengal, tapi pengalaman saya kurang dari 1 jam bisanya sudah hilang berbanding sembilang, pari dan depu. Kalau yang dah biasa tercucuk duri ikan ini tentu dan lali dengan kesan kebas seketika.
Duri pepulut atau ikan pulutan dikenali berdasarkan bentuk fizikal berbeza sedikit dengan lain-lain ikan duri yang berada di habitat yang sama. Terdapat tompok hitam pada hujung sirip dorsal kedua. Bentuknya lebih memanjang dan paling ketara di bahagian kepala sedikit leper menirus ke bawah.
Badannya kelihatan gempal terutama yang bertelur tetapi diimbangi dengan panjang. Menurut catatan para saintis dan pengkaji ikan marin, duri pepulut hanya membesar pada saiz maksimum 36cm atau 1.2 kaki. Rekod tangkapan saya sekitar purata 1kg ke bawah.
Yang leceh mengenai ikan duri ini ialah lendir di badan yang melekit dan sukar di tanggalkan apabila melekat pada tangan. Bau hanyir dan lumpur ikan ini juga kuat sekali. Cara mudah gunakan plier muncung panjang untuk memegang atau melepaskan mata kail. Jika tidak mahu ia, buang kembali ke habitat asal tanpa mencederakannya.