Haa, kalau dah Namanya otai, biasanya dia mestilah agak berusia orangnya. Biasa kita tengok muka je dah tau yang otai ni ada banyak ilmu dan pengalaman di dada. Ilmu dia ni tahap power sampailah ikan baru makan umpan dia dah tau ikan apa yang makan tu. Power tak, power tak?
Yang ni pulak kategori budak baru belajarlah. Nubis ni bahasa biasa yang digunakan kaki pancing dan ia membawa maksud ‘newbie’. Biasanya yang nubis-nubis ni akan banyak berdampingan dengan pemancing yang lebih berpengalaman untuk timba lebih banyak ilmu.
Kaki pancing jenis gebang ni pun dah makin ramai. Dia punya sembang kencang macam tornado wa cakap lu! Kononnya, dia lah yang paling power mancing. Dialah yang selalu tarik ikan besar kereta kebal dan sebagainya. Yang jenis macam ni biasanya akan selalu dielakkan oleh kaki pancing yang lain.
Ads
Jenis yang masuk air ni kalau buat kawan memang best! Tak kiralah mancing kat mana, ada je lawak-lawak yang tahap maharaja lawak yang diorang hidangkan kat kawan-kawan. Yang bestnya memancing dengan orang macam ni ialah kita takkan rasa bosan kalau ikan tak makan umpan. Yang tak bestnya, ikan memang takkan makan umpan sebab suara dia je yang menggegarkan seluruh semesta. Ikan pun lari bhai!
Kaki pancing yang jenis makan angin ni biasanya bukan jenis yang minat memancing sangat. Dia keluar memancing pun semata-mata nak menikmati alam semula jadi katanya. Jadi target diorang pun bukanlah nak ikan sangat. Cukuplah sekadar bertapa ambik angin kat laut atau pun melihat kehijauan alam semula jadi.
Ads
Ni pulak jenis menitikberatkan soal pemakaian sewaktu keluar memancing. Dia punya handsome tu memang sampai tahap boleh buat bini was-was lah nak bagi izin keluar memancing.
Ads
Sipoo @ sifu ni biasanya gelaran yang selalu diberi kat kaki pancing yang selalu hanyir. Kejap-kejap, dia je yang selalu tarik ikan. Sampaikan tahap hulur tali dengan mata kail kosong pun masih boleh dapat ikan. Kawan-kawan yang jeles tu lah yang bagi gelaran sipoo ni. Biasanya dalam satu grup tu mesti ada sorang yang akan diangkat jadi sipoo.
Haa, yang ni pulak gelaran kat kaki pancing yang muka dia je yang selalu keluar majalah memancing, surat khabar atau televisyen. Level-level retis ni biasanya jenis yang agak popular lah dalam arena pemancingan ni.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Ketika candat sedang dihenjut, kita akan terasa seolah-olah tarikan kita lebih berat dari sebelumya.
Itu menandakan ada sotong yang telah sudi memegang candat kita dengan jari lembutnya.
Mungkin jenis candat yang kita gunakan telah menarik minat sotong atau cara henjutan kita yang membuatkan sotong tergoda untuk menariknya.
Sotong tidak seperti ikan, tarikannya sangat jujur. Sotong akan menarik pancing kita dalam tarikan lurus mengundur ke belakang berbanding ikan yang membuat tarikan rawak dan lebih menggila.
Jika pancing kita telah mengenai sotong, risiko untuk tersangkut dengan struktur tidak diingini adalah cukup minima berbanding ikan.
Pencandat yang mahir bukan sahaja dapat membezakan antara tarikan ikan dan sotong, mereka juga mampu membezakan tarikan ular laut yang terkena pancing.
Jika sotong yang memegang candat anda bersaiz besar, ia akan membuat beberapa kali benaman ke bawah hinggakan tali pancing tertarik ke luar.
Jika anda menggunakan koyan, anda akan dapat merasa tarikan sotong yang original.
Walaupun anda menahan tali di tepi bot, sotong besar masih mampu menarik tali koyan koyan keluar.
Perlu diingat, jangan sekali-kali mengunci kekili pancing anda. Jika menggunakan koyan pastikan tali anda boleh dihulurkan keluar jika tarikan sotong terlalu kuat.
Pastikan juga tali pancing anda sentiasa dalam keadaan tegang.
Menarik sotong tidak sama seperti menarik ikan. Jangan melayan tarikan sotong seperti anda membuat sentakan ikan.
Jika anda menarik sotong seperti ikan, peluang untuk mendapatkan sotong agak tipis. Mungkin anda hanya mendapat jejari sotong sahaja.
Apabila semakin lama anda mencandat, akan akan faham sendiri seni pancingan sotong ini.
Semasa sotong tiba dipermukaan, sotong akan memancutkan dakwatnya ke atas. Oleh itu elakkan dari melihat sotong dalam posisi berhadapan.
Pastikan sotong berada agak jauh dari muka anda dengan cara meluruskan tangan semasa mengangkat sotong. Sotong mampu memancutkan dakwat dan air melebihi ketinggian bumbung bot.
Selalunya sotong torak hanya membuat sekali pancutan yang kuat. Pancutan air juga menunjukkan kedudukan sotong yang sudah berada berdekatan dengan permukaan.
Jika kita menghampiri bot-bot mencandat sotong, kita boleh melihat pancutan-pancutan air yang tinggi.
Pancutan yang kerap memberi gambaran bilangan sotong yang berjaya didaratkan. Jika semakin banyak dan kerap pancutan, maka semakin banyak sotong yang telah dicandat.
Selalunya fenomena sebegini tidak lama, oleh itu pemancing perlu peka kepada perubahan pola ini.
Bagi nelayan tradisional dan pencandat-pencandat hardcore, mereka akan menarik sotong dengan tarikan yang sesuai, memegang badan sotong dalam posisi rendah, mencampak ke dalam bekas sotong dan melepaskan semula candat ke laut dengan muka yang cukup bersahaja.
Semuanya berlaku cukup pantas. Agak sukar untuk melihat sotong yang telah mereka tangkap dari jarak yang jauh.
Walaubagaimanapun, pancutan yang dilakukan oleh sotong dapat memberikan gambaran yang cukup bermakna bagi bot-bot yang baru tiba ke lokasi berkenaan.
Mana boleh kalah sepanjang waktu. Memancing perlu ada pembaharuan, perlu ada revolusi seperti pesisir pantai dataran muara Klang. Dari hanya Pelabuhan Selatan, kemudian Pelabuhan Utara dan seterusnya Pelabuhan Barat.
Ketika pembinaan pelabuhan barat banyak lubuk dan lokasi kapal karam tempat tumpuan memancing dimusnahkan, laluan diperdalam untuk memudahkan kapal dagang masuk ke pelabuhan. Pesisir pantai dan hutan bakau digondolkan dan diganti dengan jeti dan dermaga siap sekali dengan papan tanda “Kawasan Larangan Memancing”. Itu juga satu revolusi!!! Dalam erti yang menyakitkan hati.
Pecah Tabung
Sampai bila nak sewa sampan, kalau diikutkan jumlah sewa yang dileburkan selama ini sudah tentu dapat bayar deposit bot dan enjin baru. Kalau nak keluar seketul duit bukan senang, wang simpanan masih sedikit. Sambil buat perancangan mencari sampan dan enjin sendiri. Aktiviti memancing tebing dilebihkan sambil mengurangkan sewa sampan.
Setidak-tidaknya ada sedikit wang untuk merealisasikan impian kemudian hari. Masa berlalu begitu pantas walaupun kadang kala bosan menghantui ketika menunggu sentapan ikan yang tak kunjung tiba.
Memancing adalah kepuasan minda, bukan kepuasan mata, soal dapat ikan atau tidak bukan perkara pokok, yang penting dapat melapangkan fikiran di hujung minggu setelah otak penat bekerja. Maki hamun, tekanan, perasaan marah dan kejengkelan terhadap boss dari Isnin hingga Jumaat dapat dilepaskan selepas jam 1800 Jumaat.
Minda dah ‘free’ sebaik sahaja minggu kerja berakhir. Persiapan dan perancangan dibuat sehari dua sebelum masuk hujung minggu. Contact dengan rakan sekaki dalam dunia pancing turut dibuat bagi merencana perancangan yang telah dibuat.
Sambil memancing, kepala dok asyik fikir bila nak merasa sampan sendiri pula. Pasal lubuk, selok-belok dah tahu serba sedikit Kemahiran mendayung, menjala dan mengemudi enjin sampan juga dipertingkatkan. Tunggu masa sahaja sementara guna sampan sewa.
Pasang Telinga
Memandangkan tabung tak cukup penuh, pasang telinga di sekitar pangkalan mana tahu ada yang hendak jual sampan dengan enjin. Puas menunggu akhir terungkai apabila ada kaki pancing ingin menjual sampan kayu 17 kaki bersalut fiber dengan enjin 15hp.
Harga agak murah ketika itu. Bila dah kemaruk melanda tanpa usul periksa sambar sahaja. Bila selesai urusan jual beli, tak sabar menunggu saat dan waktu pertama kali untuk menggunakan sampan sendiri.
Hari pertama menggunakan sampan sendiri cukup mengujakan. Buat permulaan hanya kawasan berdekatan dengan pangkalan sahaja yang dikunjungi sementara mengilap kemahiran. Semakin lama semakin memberanikan diri bertandang ke lokasi lebih jauh kononnya. Enjin kecil setakat sekitar Pulau Ketam sahaja yang mampu dikecapi.
Lapuk dek panas, kuyup dek hujan sudah lumrah apabila bersampan tiada bumbung berlapik petak kayu lantai usang sehingga kematu bontot. Tapi sudah cukup baik memancing bersama teman. Biasalah bila menggunakan enjin berserta sampan kecil selalu kena potong, lebih marah bila kena potong tang selekoh anak sungai.
Ini tidak boleh jadi suatu hari pasti nak cari sampan yang gadang sikit. Langit tidak selalu cerah apabila lepas satu persatu enjin buat hal. Ini belum masuk kes sampan hampir tenggelam akibat hujan lebat semalaman. Paling bengang ialah apabila semua barang siap dipunggah ke dalam sampan bersedia untuk keluar memancing, start enjin tak nak hidup.
Berpeluh satu badan hingga terpaksa buka baju di tengah panas mengerjakan enjin meragam. Sampai habis separuh tenaga barulah enjin berkepuk-kepuk hidup. Dalam perjalanan sekali lagi ia mati di tengah laluan bot.
Habis kudrat enjin terus diam sehingga terpaksa ditunda balik ke pangkalan oleh kenalan yang kebetulan baru balik memancing. Kopak lagi duit asyik dok membela enjin yang sudah layak masuk muzium.
Sampan akhirnya reput begitu sahaja apabila menanti spare part enjin yang tidak kunjung tiba. Kos baik pulih pula lebih baik dapatkan yang baru. Pecah tabung lagi apabila mangsa seterusnya ialah sampan gentian kaca berukuran 19 kaki dengan injin 25hp berusia lebih dari 4 tahun. Baru ada semangat sikit, enjin baik sampan dah boleh muat bertiga.
Bumbung berlipat mudah alih juga dipasang bagi memutihkan sedikit kulit yang sudah gelap terbakar oleh sinaran cahaya terik. Kata orang dari tetanda dapat pula jenahak, dari sembilang mengintai gemang, selalu gelama sesekali mengintai temerih. Banyak sikit barang termasuk peti ikan, dapur ketika bermalam boleh dimuatkan dalam sampan.
Kalau setakat Pulau Ketam tu mainan sahaja, minyak satu tong pergi balik pun tidak habis. Lepas ini berani meneroka lubuk-lubuk baru hingga ke Pulau Angsa. Pantang dengar sahaja kawasan ada potensi terus diterjah dengan hati kering. Malah rumah api Permatang Sedepa (One Phantom Bank) juga dilawati dengan enjin 25hp tanpa ada perasaan takut.
Ketika itu berpandukan kompas dan Rumah Api Bukit Jugra sebagai pedoman sahaja. Nak dijadikan rezeki ada kenalan bagi pinjam terus GPS miliknya kerana beliau langsung tak tahu pakai, tahu beli sahaja katanya. Pantang dapat ikan di satu-satu lokasi, kedudukan kordinat berkenaan terus dilog dalam GPS.
Ada GPS tidak akan lengkap kalau tiada sonar. Terpaksalah labur sedikit duit beli sonar hitam putih terpakai asalkan dapat lihat struktur dasar sudah memadai. Ketika itu dah rasa cukup sempurna aktiviti memancing. Pantang ada cuti kawasan Delta Klang dijelajahi bagi memenuhi masa lapang. Sehinggalah enjin 25hp dimamah usia beroperasi, ada tanda-tanda semput.
Beberapa kali turun naik ke bengkel akhirnya tiba waktunya ia terus melekat. Nak baiki mahal, akhirnya timbang kati. Sekali lagi terpaksa menebing sambil memendam rasa sementara mengumpul duit menggantikan enjin yang baru.
Kereta Myvi saya pandu perlahan. Jalan kampung yang muat untuk sebuah kereta sahaja dan laluan yang bengkang-bengkok berbahaya jika memandu laju. Lagipun saya tidak berapa biasa dengan laluan tersebut. Termasuk yang ini, baru kali kedua saya melaluinya. Ada satu lagi jalan baru yang lebih luas tetapi jauh.
Memandu bersendirian, melayan lagu sambil teringatkan aksi pecutan ala torpedo rohu lombong petang tadi. Memang seronoklah. Kalau ada kesempatan mahu saya turun lagi ke sini.
Dumm!
Terkejut dan serta-merta kaki menekan brek. Lampu tinggi saya pasang. Saya terlanggar sesuatu. Lima belas kaki di hadapan kereta berhampiran jambatan kayu, saya lihat seseorang terbaring di dalam semak.
Menggelabah dan berdebar-debar. Saya bergegas keluar. Masih terpinga-pinga, saya meluru ke arah semak. Kaki dan tangan saya menggeletar. Seingat saya tidak ada sesiapa tadi di tepi jalan atau melintas jalan. Apakah saya tidak perasan atau fikiran jauh melayang.
Rasa bersalah menyelubungi diri. Menyesal pun ada. Seorang perempuan dalam lingkungan usia 30-an bangun sambil mengibas-ngibas kain membuang rumput dan ranting kayu yang melekat.
“Kak… teruk ke kak? Saya tak nampak tadi. Maaf kak.. maaf,” Kelam-kabut saya dibuatnya. Yalah aku langgar orang. Kalau langgar kucing pun kita sudah rasa tidak keruan.
“Tak apa, sikit saja dik… tak apa.” Sambil tersenyum wanita itu mula melangkah.
“Err..kak, saya hantar kak ke klinik. Kat mana klinik yang dekat?”
Wanita itu terus melangkah. “ Tak apa, rumah akak seberang jalan sana saja. Akak tak apa-apa. Adik baliklah…”.
Setelah tiga hari peristiwa tersebut saya bercadang pergi ke tempat kejadian mencari rumah kakak tersebut untuk menziarahinya. Jauh tempat kejadian dengan rumah bujang saya, kira-kira satu jam perjalanan.
Sebaik sampai di jambatan kayu tersebut, saya terlihat seorang lelaki sedang menangguk anak udang. Saya berhentikan kereta. Saya bertanyakan lelaki berkenaan perihal wanita yang saya terlanggar beberapa hari lalu, mungkin dia mengenalinya.
Menurut apa yang lelaki itu beritahu saya, rumah wanita yang di seberang jalan itu sebenarnya kawasan tanah perkuburan Islam kampung berkenaan. Tiada rumah di kawasan itu.
Berderau darah saya. Kejadian malam itu sepantas kilat terbayang di depan mata. Patutlah kakak itu bangun selamba tanpa sebarang kecederaan dan kenapa saya boleh tidak perasan, kainnya langsung tidak koyak sedikit pun! Malam itu saya macam terpukau.
Lelaki itu memberitahu saya, pada awal tahun 80-an wanita itu mati dibunuh oleh bekas kekasihnya. Mayatnya dicampak ke bawah jambatan dan penduduk kampung sering bertembung ‘wanita’ berkenaan di sekitar jambatan ini. Seram sejuk tubuh saya mendengarnya. Tergesa-gesa saya meminta diri.
Pada mulanya saya bercadang untuk terus pulang. Teringat pula si Hairul yang rumahnya hanya sekitar 15 kilometer sahaja lagi ke hadapan. Saya terus memandu menuju ke rumah Hairul.
“Lama dah kau tak datang ke mari, apa khabar?,” Soalan cepu emas daripada emak Hairul sebaik saya melangkah masuk ke ruang tamu.
“Saya macam ni lah mak cik. Mak cik sihat?” Memang betul. Hampir 6 bulan saya tidak ke rumah Hairul
“Makcik sihat. Sihat orang tua”. Ujar mak Hairul sambil melangkah ke dapur.
Sedang rancak bercerita kisah-kisah memancing, saya teringat hendak memberitahu Hairul apa yang saya alami sewaktu pulang dari memancing rohu tempoh hari.
“Nasib baik ada lelaki di jambatan tadi yang memberitahu aku siapa sebenarnya ‘kakak’ tu”.
“Ada lelaki dekat jambatan?” Emak Hairul yang menghidang air kepada kami tiba-tiba menyampuk.
“Ya mak cik. Lelaki kurus, rambut kerinting. Tinggi tak tinggi sangat, lebih kurang tinggi saya. Kenapa mak cik?.
“Itu suami perempuan tu. Dia pun sama kena bunuh sekali dengan isteri dia. Dua-dua dicampak ke bawah jambatan kayu tu” jelas mak Hairul.
Herkkk!
“Hairul, aku beransur dululah. Nak rileks kepala aku ni. Malam tu jumpa kakak tu, pagi tadi jumpa suami dia pulak! Berat… berat!”.
Saya meminta izin pulang kerana kepala sudah mula serabut dengan dua kejadian yang menimpa saya tanpa diduga.
“Kau nak ikut jalan kampung ke jalan baru?”
“Kau hulur seratus pun aku tak akan lalu lama tu. Kalau kau ikut sama, boleh”.
Sepanjang perjalanan, kejadian pagi tadi dan malam jumaat tempoh hari bermain di fikiran. “Patutlah tiada kesan calar atau kemek pada bumper depan…” bisik hati saya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...