Info ringkas
Nama Saintifik: Croaker (terdapat 24 nama saintifik) dan jewfish
Keluarga: Sciaenidae
Nama Lain: Lebih kurang 15 Jenis gelama dan pelbagai nama gelama selain dari nama seperti tengkerong, san gaa, jarang gigi, selampai, tirusan, ibu gelama.
Ciri Fizikal: Terdapat perbagai bentuk, saiz dan warna dari perak, coklat, keemasan atau perang.
Diet: Perumpun, udang, anak ketam, ikan kecil, bilis, cabuk, sotong, algae dan sebagainya.
Habitat: Boleh ditemui di kebanyakan tempat, air cetek atau dalam, air payau, muara, sungai dan laut.
Taburan: Kebanyakan pantai semenanjung, Asean dan Asia, selatan Australia.
Sebut saja nama spesies ini ramai yang terbayang sejenis ikan kecil yang paling banyak diperolehi di kebanyakan kawasan memancing berwarna silver putih, mulut kecil dan mengeluarkan bunyi lebih halus sedikit dari gerut-gerut apabila dinaikan.
Memang ramai pemancing tidak gemar memancing gelama kerana kebanyakan yang diperolehi adalah dari jenis yang kecil dan kurang enak isinya. Ia juga biasanya dijadikan umpan hidup terutama saiz sebesar dua hingga tiga jari orang dewasa untuk memancing spesies yang lebih besar.
Umpan memancing juga akan cepat habis dibelasah oleh spesies gelama yang menyerang secara berkumpulan ini dan dikatakan mudah membiak.
Morfologi
Gelama mudah dikenali walaupun terdapat 15 jenis yang terdapat di perairan negara kita berpandukan kepada sisik yang terdapat pada badannya yang halus. Jenis yang dibezakan untuk spesies ini berpandukan kepada bentuk pada bahagian mulut, gigi serta badan.
Yang pasti sisik untuk setiap jenis gelama yang wujud hampir sama dan isinya lebih sedap dari spesies biasa seperti gelama papan, gelama dada kuning dan gelama bongkok. Gelama berbadan gempal di bahagian kepala dan tirus memanjang hingga ke ekor seperti gelama tirus dan gelama panjang.
Gelama yang lebih gempal dan badan yang pendek seperti gelama cherua, gelama batu, gelama keling, gelama hitam dan gelama janggut. Ada juga yang agak slim dari badan hingga ekor seperti gelama jarang gigi, san gaa atau lebih dikenali tiga gigi (dua atas dan satu bawah).
Satu lagi spesies yang dikatakan dari keluarga gelama yang biasa diternak melalui sangkar ialah gelama Taiwan (red drum). Namun spesies ini dikatakan diimpot dari luar sebelum ada yang terlepas dari sangkar dan membiak di kawasan perairan negara kita terutama sekitar Selangor dan Singapura.
Saiz Dan Habitat
Ikan ini dikatakan adalah jenis hidupan marin tapi kebanyakan boleh ditemui di kawasan muara sungai. Hampir keseluruhan spesies gelama tertumpu kepada kawasan dasar berpasir, lumpur, berselut di bahagian dasar untuk mencari makanan.
Ia mudah diperolehi di kawasan muara dan jarang berada di kawasan batu karang. Gelama juga mudah diperoleh di sekitar tiang-tiang jeti, jambatan dan kelong. Kemampuan sesetengah gelama menyesuaikan diri di air payau dan boleh memburu mangsa di air yang agak keruh.
Ini menunjukkan gelama tidak begitu memilih keadaan air kerana keadaan muara di negara kita yang sentiasa berubah kejernihan air. Gelama boleh dijumpai samada di air dalam mahupun cetek.
Gelama yang paling besar dalam keluarganya dikenali sebagai ibu gelama yang boleh mencecah hingga 120cm.
Ibu gelama banyak terdapat di Laut China Selatan terutama di Serawak dan gemar kepada kawasan dasar berlumpur / pasir yang mempunyai kedalaman air sekitar 60 meter. Ikan ini biasanya dikeringkan di kebanyakan tempat di Sabah untuk pasaran.
Gelama secara keseluruhan adalah spesies yang berkelompok dan bergerak secara berkumpulan yang banyak terutama spesies yang kecil saiznya.