Kelong Retro – Jenahak Makan Siang Kelong Mamod!!

Share

 

Tiba sahaja di Kelong Mamod, keadaan agak meriah. Rupa-rupanya seekor jenahak telah tewas di hujung pancing Wak Din yang naik ke kelong pada pagi tersebut. Jenahak yang beratnya lebih 2kg itu dinaikkan sekitar tengah hari. Agak mengejutkan juga kerana selera jenahak hari itu terbuka menjelang matahari tegak dengan umpan tamban.

 

Di atas kelong, keluarga Abang Mansor dari Jitra sedang sibuk memancing. Abang Mansor datang bersama isteri dan tiga orang anaknya. Menurut Abang Mansor, ini trip bercuti bersama keluarga. Melihatkan aksi di atas kelong, penulis dapat mengagak kesemua ahli keluarga Abang Mansor ini berkongsi minat yang sama.

 

Keluarga Abang Mansor dan Cikgu telah naik ke kelong sejak semalam. Namun hanya pagi tadi, barulah keadaan mula meriah dengan getuan ikan-ikan sekitar kelong. Setelah beberapa ekor talang dan bawal bulan tidak segan menjamah umpan, barulah keadaan di atas kelong meriah.

 

Penulis yang naik ke kelong bersama seorang rakan, Rizal mula menyiapkan set joran masing-masing. Masing-masing jadi bersemangat dengan tewasnya jenahak tadi. Selain umpan tamban dan beberapa ekor sotong kurita yang dinaikkan dengan menggunakan teknik apollo, kami juga menggunakan udang hidup sebagai alternatif umpan.

 

Petang itu, ikan agak galak menyambar umpan. Lebih-lebih lagi apabila mata kail dicangkukkan tamban. Umpan udang hidup ada juga yang sudi menyambar namun, hari itu umpan tamban paling laris. Merangkak ke senja, beberapa ekor anak talang berjaya dinaikkan.

 

Sedang leka mencari tamban untuk dibuat stok umpan pada malam hari, joran Rizal melendut laju ke bawah menandakan umpan tamban yang dihulur tadi sudah dijamah. Rizal tanpa membuang masa mula mengayuh kekili agar tali utama masuk ke gelendong.

 

Setelah beberapa ketika kelihatan seekor senangin dalam anggaran 2-3kg di gigi air. Gancu pantas dihulur ke bawah untuk tugasan akhir. Malangnya, dua kali cubaan mengancu gagal sebelum senangin itu merentap putus perambut Rizal. Masing-masing berpandangan kosong. Bukan rezeki nampaknya.

 

Menjengah ke malam, beberapa kali juga sambaran kuat gagal dinaikkan akibat terputus dan lucut. Pun begitu beberapa ekor jenahak kecil, bawal bulan dan gerut-gerut masih berjaya dinaikkan oleh Wak Din dan keluarga Abang Mansor sebelum ribut datang menyapa. Masing-masing memilih untuk berlindung di bilik memandangkan ikan pun tak menjamah umpan sewaktu ribut.

 

Ribut malam itu membawa sehingga ke awal pagi. Setelah ribut reda dan matahari mula menampakkan sinar paginya, ikan kembali galak menyambar. Seperti semalam, beberapa ekor jenahak berjaya dinaikkan setelah matahari mula meninggi berbekalkan umpan tamban. Padahal waktu malam tadi, agak liat untuk menaikkan spesies ini.

 

Selain jenahak, talang dan todak juga ada dinaikkan pada sebelah pagi hari terakhir itu. Apabila matahari menegak, masing-masing mula berkemas menandakan sesi pancingan trip Kelong Mamod ini semakin ke penghujung.

 

Melihatkan kepada hasil tangkapan yang dinaikkan, boleh dikira berbaloi dan menjadi juga trip kelong ini. Secara keseluruhan, spesies yang dinaikkan termasuklah jenahak, talang, todak, gerut-gerut, bawal bulan dan beberapa spesies kecil. Namun, spesies jenahak yang kerap menyambar umpan pada sebelah siang menjadi tajuk utama perbualan kami semasa pulang.

 

Published by
Amang