Kelong yang didirikan di muara Kuala Lukut oleh Koperasi Bukit Pelandok pada sekitar tahun 1996 ini diselia dan diselenggara oleh Mohd Fauzi Mohd Zainal (Pozi), warga tempatan berasal dari Bukit Pelandok yang mana keluarga beliau juga merupakan ahli koperasi. Dari situlah para pemancing lebih gemar menamakannya sebagai Kelong Pozi saja.
Sebelum kelong didirikan, tapak kelong dan kawasan persekitarannya yang agak cetek dengan kedalaman kurang 10 kaki, berbeting dan banyak ditumbuhi karang, merupakan spot menarik untuk memburu spesimen berkualiti tinggi seperti kerapu dan jenahak.
Kawasan berbeting dan dipenuhi karang sertai rumpai laut itu bukan sekadar menjadi nurseri ikan-kecil malah turut selamat dari pukat dan jaring nelayan. Sekali gus membantu populasi ikan untuk dipancing oleh pemancing-pemancing yang berkunjung ke Kelong Pozi.
Bahkan, tukun-tukun turut diturunkan berdekatan kelong bagi menarik minat lebih banyak kawanan ikan memasuki persekitaran kelong.
Kelong berukuran 30meter panjang dan kelebaran 10meter ini menganjur di muara Kuala Lukut ke arah Port Dickson dan berhampiran pantai berdekatan dengan Glory Beach Resort. Perjalanan dari jeti dengan menggunakan bot fiber yang disediakan pihak kelong memakan masa tidak lebih dari 10 minit.
Berbanding kelong-kelong seumpamanya, ia didirikan dengan menggunakan tiang konkrit yang dipacak menegak. Hanya sebilangan kecil saja tiang nibung yang digunakan untuk menyokong struktur kelong.
Tiang-tiang konkrit ini bukan sekadar menjadikan struktur kelong ini teguh berhadapan dengan ribut, bahkan mengurangkan risiko tali pancing putus atau berbelit ketika bertarung dengan ikan yang dipancing.
Sepadan dengan status kelong bajet, Kelong Pozi hanya menyediakan keperluan asas seadanya seperti 5 bilik tidur, dapur gas untuk memasak, bekalan air bersih mengikut keperluan, dan bilik air yang mana bekalan air adalah dari tadahan air hujan.
Jika keberatan untuk memasak sendiri, makan minum juga boleh dipesan dari kedai makan yang turut dimiliki oleh Mohd Fauzi yang terletak berhampiran jeti tanpa cas penghantaran.
Kelong Pozi yang mampu menampung 35 orang pemancing pada satu masa ini boleh dikatakan sesuai untuk memancing tanpa banyak dipengaruhi oleh pasang surut air laut.
Terletak dalam kawasan berteluk membuatkan arus yang merintanginya agak lemah sama ada ketika air surut mahupun ketika air pasang besar.
Sebagaimana keadaan di laut lepas juga, ikan-ikan agak galak menyambar ketika air mula bergerak pasang dan kembali surut. Untuk memancing secara berkumpulan yang besar atau ‘tapau’ satu kelong.
Kelong Pozi turut menyediakan pakej memancing yang diuruskan oleh Encik Sabri dengan pakej-pakej yang menarik untuk menguji tarikan ikan jenahak yang menjadi buruan utama di Kelong Pozi.
Pakej Memancing
RM 1000 untuk 10 0rang
(Untuk pemancing tambahan perlu bayaran tambahan RM 60 bagi setiap orang)
Kemudahan:
– Bot pergi hantar dan balik
– 5 bilik tidur
– Umpan udang hidup / pumpun / cumit segar
– Apolo secukupnya
– Kolam takungan umpan
– Pam untuk umpan hidup
Pakej Ekonomi
RM 600 untuk 10 orang (Tambahan RM 40 untuk pemancing tambahan)
Terbuka untuk hari biasa sahaja iaitu Ahad, Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis (tidak termasuk hari cuti umum)
Kemudahan:
– Bot pergi hantar dan balik
– Bilik dan lampu
– Tiada makan dan umpan
– Tiada guide
(Rujuk pemilik kelong untuk mengetahui harga pakej semasa)