Pemancing moden kini perlu menguasai pelbagai ikatan mata kail atau penyambungan tali pancing. Ikatan FG atau FG Knot sememangnya satu ikatan penyambungan tali popular masa kini.
Ia merupakan ikatan yang sempurna dari segi kekuatan dan kelancaran tali sambungan keluar dari kekili tanpa tersangkut pada cincin joran. Sekiranya inginkan konsep ikatan yang sama tetapi untuk pancingan yang lebih berat, anda boleh cuba ikatan ini.
Tutorial 1
Potong secara menyerong hujung perambut yang akan digunakan.
Tutorial 2
Pintal hujung tali utama (yang telah dibuat simpulan bimini twist) 4-5 kali pada jari kelingking dan jari telunjuk. Kemudian masukkan perambut di bahagian bawah tali utama antara jari kelingking dan telunjuk.
Tutorial 3
Pusingkan pergelangan tangan agar tali utama melilit perambut. Hasil lilitan pertama dalam keadaan tali utama berada di bahagian bawah perambut. Pusingkan pergelangan tangan ke atas untuk lilitan seterusnya.
Tutorial 4
Dua lilitan yang dihasilkan dan ulanginya sehingga 10-15 kali. Untuk simpulan mati, lilitkan hujung tali utama membentuk bulatan melalui bawah perambut.
Tutorial 5
Kemudian masukkan hujung perambut ke dalam bulatan yang dihasilkan, ketatkan. Ulang 3-4 kali langkah yang sama.
Tutorial 6
Ketatkan simpulan FG dengan menarik kuat tali utama dan perambut.
Tutorial 7
Ulangi simpulan mati berulang kali dengan cara selang seli dari atas dan bawah perambut.
Tutorial 8
Buat simpulan mati terakhir di hujung tali perambut. Untuk lilitan pada tali utama pula, potong simpulan bimini twist agar menjadi tali tunggal. Teruskan membuat simpulan sebagai tali utama melilit perambut ke atas tali utama dan akhir sekali buatlah simpulan mati.
Tutorial 9
Potong lebihan hujung tali utama dan sebaiknya bakar hujung dengan api.