Saya pernah terdengar ada pemancing mendakwa menaikkan ikan layaran hanya dengan menggunakan ultra ringan.
Apa pandangan admin dan benarkah ia bukan sembang kosong semata-mata?
JAWAPAN:
Ada sesetengah pemancing begitu berbangga dengan kejayaan mendaratkan ikan layaran dengan menggunakan set pancing ringan.
Malah tanpa sedikit pun rasa bersalah menghebahkan perkara tersebut kepada netizen. Dalam pada masa yang sama dia turut teguh memperjuangkan amalan tangkap dan lepas.
Sememangnya tidak dinafikan ikan layaran boleh dinaikkan dengan menggunakan peralaran ultra ringan apatah lagi peralatan ringan. Tetapi, bagaimanakah caranya?
Tentu saja dengan bersusah payah dan mengambil masa yang panjang. Bagaimana pula dengan tahap survival ikan tersebut walaupun berjaya dilepaskan kembali dalam keadaan selamat.
Selamat pada tafsiran kita, kalau ikan tersebut mampu untuk berenang, maka ia akan selamat.
Sedangkan apa yang terjadi kepada ikan tersebut selepas 5 minit atau satu jam kemudian tiada siapa pun yang pasti dan ambil tahu.
Bagi seorang pengamal sukan memancing atau sport fishing, apatah pendukung amalan tangkap dan lepas, menaikkan ikan layaran dengan menggunakan peralatan ringan atau ultra ringan sebenarnya bukanlah sesuatu yang wajar untuk dibanggakan.
Sebaliknya ia hanya mendedahkan kejahilan diri. Sebenarnya banyak lagi keburukan di sebalik penggunaan set peralatan yang tidak tepat tanpa mengira apa saja spesies buruan.
Sebagai pemancing, kita tidak sewajarnya mementingkan kepuasan diri semata-mata tanpa memikirkan impak negatif terhadap ikan yang dipancing.
UMPAN: Sejak bila memancing dan mula menjadi tekong?
NIK: Mula memancing sejak dari kecil lagi iaitu seawal usia 6 tahun tetapi mula menjadi tekong pada awal 2009. Kiranya baru 10 tahun saya menjadi tekong secara rasmi.
UMPAN: Kenapa anda memilih kerjaya ini?
NIK: Saya memilih untuk menjadi tekong kerana berasa sesuai dengan diri yang memang suka memancing.
Disamping itu ia juga satu kerjaya yang mampu untuk menyara kehidupan untuk tempoh jangka masa panjang jika menjayakannya dengan baik.
UMPAN: Pada pandangan anda, apa kriteria perlu ada untuk jadi tekong candat?
NIK: Pada pandangan saya, kriteria yang perlu ada pada seorang tekong candat ialah perlu tahu umpan yang menjadi pada masa dan tempat yang berkenaan dan juga tempat untuk parking di kawasan kandang sotong.
UMPAN: Apa rintangan yang dihadapi dan harapan anda dalam meneruskan kerjaya ini?
NIK: Rintangan yang dihadapi paling besar adalah ancaman bot pukat tunda yang menceroboh kawasan kandang selain dari itu seperti biasa la rintangan cuaca yang kadang kala mambantutkan trip.
Harapan dalam meneruskan kerjaya dapat menyediakan bot yang lebih selesa untuk penyewa-penyewa.
UMPAN: Ceritakan pengalaman memancing (trip) yang manis / pahit?
NIK: Pengalaman yang pahit semasa trip bot rosak di tengah laut dan ribut yang kuat. Trip yang manis apabila penyewa mendapat hasil yang penuh tong
UMPAN: Berikan sedikit tip untuk memperoleh hasil pada trip anda?
NIK: Tip untuk memperoleh hasil yang lumayan pastikan tarikh untuk trip adalah hari yang terbaik sebaiknya selepas 3 hari bulan penuh.
SOALAN: Admin, saya peminat teknik jigging. Masalahnya saya sering keliru dengan pemilihan warna jig. Boleh berikan tip untuk memilih warna jig?
JAWAPAN: Pemilihan warna jig sebenarnya bolehlah dikatakan agak subjektif. Sehingga kini, tiada satu pun formula yang boleh menetapkan warna-warna tertentu pada jig akan berjaya menjerat sesuatu jenis ikan. Contoh, jig warna hijau akan diambil gerepoh atau warna biru akan diambil spesies jenahak atau sebagainya.
Setiap pemancing mungkin mempunyai pendapat sendiri berdasarkan pengalaman sendiri atau pengalaman pemancing lain. Namun beberapa faktor mungkin boleh diambil kira ketika membuat pemilihan warna jig.
Antaranya ialah spesies sasaran serta keadaan cuaca yang mempengaruhi variasi pilihan warna jig seperti cerah, mendung, posisi matahari, keadaan air dan ombak serta kedalaman air. Perlu diingat warna jig berbeza apabila bertindak balas dengan faktor bagaimana cahaya menembusi air.
Walau bagaimana saya mengesyorkan warna-warna pink, hijau, biru, serta silver harus ada di dalam bekas simpanan jig apabila turun berjigging. Untuk tip tambahan, anda bolehlah bertanyakan pada tekong. Lazimnya tekong ada formula sendiri pemilihan warna jig berdasarkan pengalaman mereka yang terbukti lebih luas.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...