Sebuah kajian yang dijalankan tidak lama dulu mendapati lelaki yang berkepala botak didapati lebih seksi, maskulin dan setia.
Kajian yang sama turut mendapati lelaki botak yang tidak memakai rambut palsu dan berasa malu dengan imej botaknya itu lebih berkeyakinan dan dominan berbanding dengan lelaki yang mempunyai rambut.
Kajian yang dijalankan oleh American Hair Loss Association ini mendedahkan bahawa 2/3 daripada lelaki akan mengalami masalah keguguran rambut sebaik usia mereka mencecah
35 tahun dan 85% lelaki akan kehilangan rambut dalam jumlah yang besar sebaik saja mereka mencecah usia 50 tahun.
Sekiranya dahulu, lelaki yang mengalami masalah keguguran rambut lebih cenderung untuk menyembunyikan masalah mereka di sebalik kopiah, topi dan rambut palsu, namun kini, masyarakat sudah boleh menerima imej berkepala botak ini.
Namun, itu merupakan kajian lelaki botak secara umum. Tapi bagaimana pula kalau pemancing botak?
Adakah pemancing berkepala botak kelihatan lebih jantan?
Ads
Ya… saya setuju. Memang kelihatan agak jantan la… tapi kuat belum pasti.
Adakah pemancing berkepala botak kelihatan lebih seksi?
Mungkin… itu pun pada mata perempuan sajalah. Di mata lady anglers mungkin… tapi jarang pula bertemu lady anglers berpasangan dengan pemancing botak.
Adakah pemancing berkepala botak lebih setia?
Ads
Ya… mungkin la. Saya mahu percaya juga dengan statement ini kerana kebanyakan pemancing botak cukup setia dengan metod pancingan yang mereka gemar.
Yang pasti… tidak bermakna pemancing berkepala botak tidak akan kumpau!
Blue-ringed octopus atau sotong kurita gelang biru walaupun saiznya sebesar bola golf, namun ia merupakan hidupan laut yang paling beracun di dunia. Ia mudah ditemui di terumbu karang di Australia dan Jepun.
Walaupun nampak comel dan tak berbahaya, anda dinasihatkan tidak digalakkan berada dekat dengan haiwan ini. Racunnya mengandungi tetrodotoxin, sejenis racun yang menyerang sistem saraf yang menyebabkan buta, loya, kerosakan sistem pernafasan, kelumpuhan dan kematian yang menyeksakan. Racun krustasea ini cukup kuat untuk membunuh 26 orang dewasa dalam beberapa minit.
Cone snail
Setitik racun siput kon atau cone snail mampu membunuh 20 orang dewasa menjadikan ia antara makhluk paling berbahaya di dunia. Siput kon menyuntik bisanya dengan menggunakan harpun. Walaupun saiz harpunnya kecil, ia sangat tajam sehingga mampu menembusi fabrik sut selam.
Terdapat kira-kira 600 spesies siput ini dan ia boleh didapati di kawasan perairan tropika di seluruh dunia. Racun siput kon boleh menyebabkan hilang penglihatan, kegagalan sistem pernafasan, lumpuh dan kematian.
Box jellyfish
Obor-obor kotak ini sangat merbahaya kerana badannya lutsinar sehingga ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Ia boleh ditemui di perairan tropika di rantau Asia dan Australia. Ia boleh membesar sehingga 10 kaki panjang dan racun seekor obor-obor ini mampu membunuh 60 orang dewasa.
Sengat obor-obor ini sangat menyakitkan dan racunnya akan terus memasuki saluran darah mangsa. Racunnya meningkatkan tekanan darah yang boleh menyebabkan serangan jantung.
Stonefish / Lionfish
Ikan batu adalah ikan paling beracun di dunia. Ia boleh ditemui di perairan Australia. Tapi jangan fikir anda boleh selamat lepak di tepi pantai sahaja kerana ikan ini boleh hidup di darat selama 24 jam.
Belakang ikan ini mempunyai 13 duri yang akan menyuntik racun ke dalam badan mangsa. Kebanyakan kes keracunan ikan batu disebabkan terpijak haiwan berkenaan. Racun ikan ini menyebabkan bengkak, kelumpuhan dan sudah tentu kematian. Racun ikan batu sangat menyakitkan sehingga ada kes mangsa merayu doktor untuk memotong kakinya.
Indian red scorpion
Kala jengking ini amat mudah ditemui dan kebanyakannya tinggal di India, Pakistan, Nepal dan Sri Lanka. Ia didakwa kalajengking paling berbahaya di dunia dan bertanggungjawab dengan kes kematian yang banyak setiap tahun melibatkan kanak-kanak.
Satu sengatan kala jengking ini mampu menyebabkan berpeluh tidak menentu, muntah, mulut berbuih dan pitam. Jika tidak dirawat serta-merta, racun kalajengking ini akan menyerang jantung dan paru-paru sehingga menyebabkan kematian.
Bila sampai di rumah atok di kampung, saya terfikir akan kawasan paya yang terletak hanya 500 meter sahaja. Petang itu juga saya mengajak Bad dan Khalid untuk meninjau lokasi kawasan. Bad dan Khalid merupakan anak buah isteri yang baru berusia 16 dan 17 tahun.
“Bagaimana bang? Kita nak pancing ke… menjala, tahan lukah, pasang bubu atau memukat aje?” Tanya Khalid sambil memandang tepat ke arah saya.
“Kita pancing dengan menjalalah,” jawab saya pendek. Sebenarnya dalam bonet kereta saya dah lengkap semuanya!
Budak-budak kampung ini memang dah biasa memancing ikan puyu dan sepat di sini. Sekarang kerja kami tinggal mencari umpan sahaja.
Dengan menggunakan parang, saya mendapatkan hampir satu tempurung cacing pisang khusus untuk memikat sepat siam di batang pokok pisang yang telah ditebang bersebelahan rumah atuk serta tidak dilupakan cacing tanah yang dikorek di kawasan agak lembap. Sekarang misi boleh bermula!
Apabila ternampak muncung kecil ikan ini berhampiran pokok kiambang, saya menghulurkan tali pancing ke situ. Saya duduk mendiamkan diri kerana saya tahu ikan sepat siam sensitif dengan bunyi bising.
Baru sejam duduk di tepi paya, hampir 20 ekor ikan sepat siam ini tumpas di tangan saya. Gembira rasanya. Saya memandang Khalid dan Bad yang duduk tidak jauh dari situ. Mereka juga sedang khusyuk melayan aksi ikan-ikan ni berentap. Bukan ikan sepat siam sahaja yang menjadi mangsa umpan saya, haruan, keli dan belut juga turut memakan umpan. Wah, macam pesta pula rasanya di tepi paya besar ini.
Disebabkan seronok mendapat ikan, saya tidak perasan hari sudah pun remang-remang senja. Burung pun sudah mula terbang pulang ke sarang. Saya, Bad dan Khalid seperti ‘sayang’ mahu meninggalkan kawasan paya itu. Tidak seorang pun daripada kami bertiga yang mahu mengajak pulang.
Masing-masing asyik melayan joran yang dimakan umpan selang tidak sampai sepuluh minit. Sayup-sayup saya terdengar bunyi beduk dipalu dari surau berdekatan menandakan waktu Maghrib sudah tiba.
Serentak saya memandang ke arah tempat Bad dan Khalid duduk. Bagai terhenti denyutan jantung saya apabila melihat mereka berdua tiada. Baldi berisi ikan dan joran terletak elok di atas tanah. Saya cuba memanggil nama mereka berdua namun tiada sahutan.
Pelik bin ajaib, baru seminit dua tadi saya nampak mereka berdua ada di situ tetapi sekarang sudah ghaib entah ke mana.
Hati saya mula rasa cemas. Mungkin mereka berdua sudah pulang ke rumah sebaik sahaja terdengar bunyi beduk diketuk tadi? Tapi tak mungkin mereka tinggalkan saya begitu saja tanpa memberitahu. Ah, pening saya dibuatnya. Saya mengambil keputusan untuk pulang ke rumah.
Sampai sahaja di rumah, terus saya bertanya kepada isteri tentang Khalid dan Bad. Puas kami berdua mencari, bayang mereka berdua memang langsung tiada.
Saya berwuduk dan terus mengerjakan solat Maghrib. Selepas solat, barulah saya menceritakan apa yang berlaku kepada ayah mertua saya, Haji Mat Zain.
Kami mengumpulkan jiran saudara yang terdekat dan gerakan mencari mula dilakukan. Kawasan paya itu agak gelap pada waktu malam. Kami memanggil nama Khalid dan Bad berulang-ulang kali namun kelibat bayangnya pun langsung tidak kelihatan.
Sebelum itu, saya berpesan kepada isteri untuk cuba mencarinya di rumah kawan-kawan rapatnya namun hampa. Bad dan Khalid tiada di situ. Ikhtiar terakhir kami lakukan ialah memanggil Haji Harun dari kampung sebelah.
Haji Harun merupakan guru tahfiz di sebuah madrasah di situ. Lama Haji Harun duduk bertafakur sambil bibirnya membaca ayat-ayat suci Al Quran dengan suara yang perlahan. Tiba-tiba saya lihat air di permukaan paya mula berombak kecil, seolah-olah ada orang yang sedang meranduk atau berenang di dalamnya. Hati saya bergetar.
Antara rasa takut dan seram serta rasa ingin tahu yang amat sangat apakah yang akan berlaku seterusnya. Tiba-tiba saya terdengar bunyi seperti suara ungka yang saling bersahutan. Tingkah meningkah dalam keadaan yang sungguh bising. Haji Harun bangun lalu berjalan ke tebing paya.
Dia berdiri menghadap kiblat dan saya seperti terdengar dia berbual-bual dengan seseorang. Namun tiada kelihatan kelibat yang diajak berbual. Haji Harun menggamit saya. Dia meminta saya melepaskan semua ikan sepat siam yang ditangkap petang tadi. Saya akur dengan permintaannya. Semua ikan tadi saya buang kembali ke dalam paya.
Selepas itu, suasana kembali hening. Tiba-tiba saya terdengar bunyi orang batuk di sebelah saya. Sebaik sahaja saya menoleh, kelihatan Bad dan Khalid sedang duduk mencangkung dalam keadaan lemah. Menjerit saya memberitahu semua orang tentang keadaan itu. Biarpun kejadian ini sudah dua tahun berlalu, ia tetap terpahat kukuh di dalam ingatan saya.
Semenjak hari itu saya tidak lagi menjejakkan kaki ke paya tersebut. Kejadian ini membuatkan saya terfikir tentang kewujudan makhluk ALLAH yang sama-sama berkongsi tinggal di dunia ini.
“Mulai hari ini dan kehadapan, aku tidak menyabung lagi, dan aku, anak isteri aku, cucu cicit aku, piyat-piyut, empas-empas endaun, entahkan ia entahkan bukan tidak boleh makan, menganiaya atau mengkhianati akan ikan Tapah. Barangsiapa melanggar sumpah aku, akan mendapat sakit gatal, melecur dan bengkak-bengkak, kiranya tahan badan tidak selamat hidupnya….!”
Begitulah kisah sumpah Pak Kaduk yang diketahui ada kaitan dengan lagenda ikan tapah sehingga kini.
Ramai diantara kita sudah mengetahui cerita Pak Kaduk yang telah menang dalam perlawanan sabung ayam tetapi kampung halaman serta anak isterinya tergadai. Tetapi ramai yang tidak sedar cerita ini ada kaitan dengan segolongan masyarakat Melayu, khususnya penduduk-penduduk di negeri Perak yang pantang makan ikan tapah.
Pantang larang memakan ikan itu ada kaitan dengan cerita Pak Kaduk yang membuat sumpahan tidak membenarkan keturunannya memakan ikan tapah. Sehingga kini sumpahan itu dipercayai belum berakhir. Orang-orang yang kononnya pantang makan ikan tapah itu berasal daripada keturunan Pak Kaduk serta kaum kerabatnya.
Manakala bagi orang luar yang berkahwin dengan anggota keturunan Pak Kaduk ini juga akan terkena sumpahan itu.
Keturunan Pak Kaduk kebanyakannya berada di Lambor Kiri, Lambor Kanan, Pulau Tiga dan Bota yang terletak dalam daerah Perak Tengah.
Mereka yang termasuk dalam golongan itu kononnya akan terkena penyakit kulit yang disebut semali iaitu pecah-pecah kulit dan berair serta terasa gatal-gatal sehingga ke tulang jika termakan ikan tapah. Di samping itu, kulit mereka seperti melecur,sakit sendi dan tulang.
Menurut Haji Daharun bin Haji Yajit, peristiwa Pak Kaduk itu berlaku ratusan tahun lalu di kampung Lambor Kiri iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Iskandar Syah Almarhum Aulis Allah Geronggong Perak.
Menurut seorang daripada keturunan ke-9 Pak Kaduk, Hajah Asmah bt Pandak Logam, ada menyimpan khazanah Pak Kaduk iaitu tiga butir kerongsang atau kancing emas yang dijadikan penawar penyakit sumpahan itu.
Katanya lagi, kerongsang tersebut sepatutnya di simpan oleh adiknya, Izham bin Pandak Logam,yang merupakan pewaris terdekat dan menetap di Selayang Bahru, Selangor.
Sementara Haji Daharun yang menetap di Kampung Tua, Lambor Kanan bersetuju dengan tindakan tersebut supaya memudahkan pesakit pulang ke kampung halaman untuk berubat. Katanya lagi, seboleh-bolehnya emas kerongsang tersebut tidak di bawa keluar dari Lambor Kanan.
Dalam temubual dengan Hajah Asmah di rumahnya di Kampung Tua, Lambor Kanan, beliau mendakwa kerongsang itu telah mengubati ribuan orang yang terkena penyakit Semali berikutan termakan ikan Tapah.
Katanya, penyakit tersebut berupa melecur kulit, sakit sendi dan tulang, akan hilang apabila meminum air yang direndam dengan tiga butir kerongsang tersebut.
Tiga keping kerongsang emas itu berbentuk potongan wajik, ukurannya dua inci bertatahkan batu delima yang dikatakan telah berusia lebih 900 tahun, Ini adalah satu daripada tiga barang emas kepunyaan Pak Kaduk diperbuat daripada emas urai yang dijumpai oleh Pak Kaduk dalam perut ikan Tapah.
Menurut Hajah Asmah, tidak ada syarat yang dikenakan bagi mereka yang berubat. Mereka cuma dikehendaki minum air rendaman emas itu ataupun mandi dengan air itu supaya badan yang melecur terubat.
“Kerongsang emas itu dikatakan tidak boleh digadai dan diperbuat sebarangan seperti dipinjamkan kepada orang lain”, katanya.
Kebanyakan yang datang berubat termasuk orang dari Johor, Pahang, Kuala Lumpur dan lain-lain mereka adalah keturunan Pak Kaduk yang telah berhijrah ke tempat lain.
Hajah Asmah juga memberitahu hanya kerongsang itu sahaja yang boleh mengubati penyakit sumpahan ikan Tapah dengan izin Allah s.w.t.
Beliau menceritakan tentang seorang wanita dari Perak yang terkena penyakit semali telah berubat dengan doktor, tetapi keadaan kulitnya yang melecur tidak boleh diubati selama hampir tiga tahun.
Bagaimanapun, keadaannya dikatakan pulih setelah wanita itu datang berubat dengan meminum air rendaman kerongsang emas itu.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...