Belum terlambat sebenarnya jika anda berminat untuk menyertai pertandingan memburu ikan berparuh atau program Royal Pahang International Billfish Challenge (RPBIC) bagi edisi 2018 ini.
Apa yang perlu anda lakukan hanyalah bentuk satu pasukan 3 orang pemancing, sewaan bot memancing bersama tekongnya selama dua, dan daftarkan penyertaan pada 14 September ini di kaunter pendaftaran bertempat di Lanjut Beach & Golf Resort, Rompin.
Ads
Royal Pahang Billfish International Challenge merupakan program yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia bersama Kerajaan Negeri pahang.
Ia merupakan acara tahunan yang dinanti-nantikan ramai penggemar sukan memancing sejati turut menjadi simbolik bermulanya musim memburu ikan berparuh atau billfish di
perairan Rompin, terutamanya spesies ikan layaran yang terkenal dengan tarian akrobatiknya apabila terkena mata kail.
Ads
Tahun ini, RPBIC dianggap istimewa kerana KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Pahang sudi mencemar duli untuk turun padang merasmikan majlis pelepasan peserta di Jeti Pantai Bernas, Kuala Rompin.
Ads
Malah, baginda turut sama mencemar duli bagi menyempurnakan majlis penutup dan penyampaian hadiah yang akan berlangsung pada 16 September (Ahad malam) yang bakal berlangsung di Lanjut Beach & Golf Resort, Rompin.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Paloh, laluan kapal, Zon ZE, Port Klang, Selat Melaka, Pintu Gedung dan line menotok merupakan panggilan lokasi memancing secara sekitar area Selangor membawa ke arah Melaka.
Kawasan pesisir pantai ini adalah sebahagian unjuran laluan Selat Melaka yang paling menyempit.
Teknik berhanyut adalah paling efektif kerana kebanyakan lubuk adalah di celahan laluan kapal dagang yang mundar mandir sepanjang Selat Melaka.
Istilah menotok lebih banyak diguna pakai oleh pemancing otai di kawasan ini kerana ia lebih menjurus kepada situasi dasar berbanding berhanyut yang berkisar di permukaan.
Walau apa pun istilah yang disebut, kini bertambah ramai yang sanggup meredah gelombang dan alun kapal semata-mata ingin merasai keperitan menarik jenahak, merah,
kerapu dan ibu gelama dari dasar manakala talang, haruan tasik, gerepoh, tenggiri pula pasti turut mendapat habuan jika umpan dilepaskan tanpa ladung.
Pada trip ulangan ini cuaca begitu menyebelahi kami kerana beberapa trip sebelumnya terpaksa menempuh alun menggila di pintu keluar kawasan merah yang dikenali pintu air Pulau Pintu Gedung.
Laut yang sedikit beralun membolehkan proses mencari umpan hidup.
Umpan hidup dari hasil apollo lebih diperolehi namun ia sekadar umpan pilihan kedua.
Pilihan pertama masih diterajui sotong kurita menjadi pertaruhan terbaik namun permintaan tinggi dan bekalan sering tidak mencukupi memaksa ramai pemancing mencari umpan alternatif.
Penjimatan masa ke lubuk amat ketara ketika bergerak dalam kelajuan hampir maksima tatkala permukaan laut mendatar.
15 hingga 30 minit diperlukan setiap kali berpindah lubuk. Ikan tidak mendiami lubuk yang sama dan jumlahnya agak menurun.
Kalau disebut kawanan ikan tentu ratusan dan puluhan ekor, tapi di kawasan Zee Selat Melaka ini kawanan ikan biasanya kurang dari 10 ekor mengikut pemerhatian hasil yang dibawa pulang oleh kumpulan pemancing.
Penulis berempat bergerak ke lokasi dengan penuh semangat kerana kedua-dua jenis umpan iaitu sotong kurita dan ikan selar hidup serta tamban yang nyawa-nyawa ikan sudah tersedia untuk digunakan.
Lubuk pertama menjadi persinggahan kira-kira 11 batu nautika dari Pintu Gedung atau lebih dikenali Lubuk 190 darjah berpandukan bacaan kompas dari kuala Pintu Gedung.
Kalau 230 darjah akan melepasi Rumah Api Permatang Sedepa. Kedudukan lubuk hampir melepasi Paloh 3 di mana kawasan laluan kapal melintas Pelabuhan Klang menuju ke arah selatan.
Memandangkan umpan selar dan tamban masih lagi segar hidup, kami mengunjungi lubuk biasa yang banyak menerima strike oleh talang.
Umpan selar amat mudah menjerat talang manakala tamban pula menjadi taruhan untuk ikan dasar.
Dalam keadaan laut agak selesa, muka baru yang pertama kali turun nampaknya masih tetap tidak tahan.
Mabuk membawa sehingga seharian di dalam sampan dengan baring sambil melihat rakan-rakan memancing.
Lama-lama nanti pasti akan biasa dengan alun dan akhirnya boleh mengikuti trip di kemudian hari.
Zon penantian bermula beberapa minit selepas semua peralatan pancing ditugaskan melabuhkan umpan selesai.
Pertaruhan umpan selar hidup, sotong kurita dan tamban yang nyawa-nyawa ikan pasti dinilai keberkesanannya merujuk kepada umpan mana yang disambar terlebih dahulu.
Bunyi hon kapal kedengaran apabila dari kejauhan menandakan ada sampan lain yang ketika itu terlalu hampir dengan laluan mereka.
Perkara yang dah biasa buat kami kerana tumpuan utama ke arah hujung joran, menanti lenturan dengan penuh harapan.
Tuah baju kuning, pada hari itu apabila si pemakainya menjadi orang pertama menerima sambaran.
Umpan tamban segar menjadi korban pertama untuk sang jenahak remaja.
Strike kedua di kawasan yang sama turut mengorbankan umpan tamban apabila seekor lagi jenahak tewas dengan joran buatan tangan dengan pasangannya kekili elektrik Shimano Beastmaster 9000.
Umpan selar hanyut di permukaan akhir membuahkan hasil apabila disambar seekor talang. Seronok melayan aksi talang lebih-lebih lagi dengan set aksi ringan.
Dari 4 sambaran talang, pagi itu hanya dua sahaja mengena manakala selebihnya rabut di pertengahan jalan.
50% kadar hook up masih boleh diterima. Desingan kekili Stella 4000 HG pula mencuit tumpuan yang dipacak di hadapan sampan.
Lenturan berterusan menyebabkan joran sukar untuk dikeluarkan dari kedudukan pada larian awal ikan.
Umpan kurita pula tidak mahu mengalah sebagai umpan terbaik apabila empunya joran terpaksa berhempas pulas menangani larian ikan sebelum muncul di permukaan.
Ikan bermasalah, itulah yang digelar kepada aruan tasik. Apabila ia kena sahaja, pasti ia akan mengelilingi sampan apabila muncul di permukaan.
Kekuatan yang dimiliki spesies ini walaupun di permukaan air tidak terdaya lagi ditangani apabila larian kedua begitu kuat sehingga perambut 80lb putus.
Suasana menyepi selepas kehilangan aruan tasik. Beberapa kali lubuk pertama diulangi namun tiada sentuhan kasar.
Hanya tengkerong dan ikan mengkerong pasir yang mencuri umpan yang semakin mahal harganya.
Waktu puncak pertama sudah lepas terpaksa menunggu waktu puncak berikutnya dalam masa 5 jam lagi. Sesi berhanyut sambil merehatkan badan seketika.
Memasuki waktu puncak kedua kami berpindah ke lokasi lain yang terletak kira-kira 6 batu nautika.
Dengan pecutan 24 knot, dalam masa 15 minit akan sampai kerana alun selat semakin mendatar menjelang waktu petang.
Percaturan yang sama seperti sesi sebelah pagi. Cuma tinggal beberapa ekor selar dan kurita sahaja.
Umpan tamban semuanya mati kerana spesies ini perlukan kitaran air yang baik untuk kekal hidup.
Apabila arus semakin lemah, sambutan ikan dasar semakin kerap jika berada di kawasan lubuknya. Petang itu agak menceriakan kami apabila ikan lebih galak.
Semakin lewat petang semakin menjadi pula jenahak menyambar. Walapun tidak kesemua strike berhasil sekurang-kurangnya ada juga kepuasan yang diperoleh.
Lewat petang itu kami pulang dalam keceriaan sambil menyusun perancangan untuk kembali lagi. Jadi pemancing mana pernah puas tidak kira gasak atau digasak.
Kumpau itu sesuatu yang indah untuk dikenang tetapi pahit untuk ditelan.
Kesempatan berhari raya di rumah kakak yang paling sulung atau kak long yang menetap di Kampung Banting, Sabak Bernam saya manfaat sepenuhnya bagi mengisi salah satu hobi yang agak sekian lama terpaksa saya pendamkan berikutan kekangan masa. Saya sememangnya gemar memancing namun jarang berpeluang untuk melaksanakannya. Justeru, apabila beraya di rumah kakak pada hari raya ketiga, saya berpakat dengan kakak nombor dua atau kak ngah dan suaminya untuk beraya di tepi muara yang tidak jauh dari rumah kak long.
Perjalanan ke lokasi atau spot memancing haruslah meredah sedikit lorong jalan tanah merah yang berbatu dan sedikit sempit yang ditumbuhi pokok renek meliar yang mampu mencalar-balarkan kenderaan. Sampai sahaja di lokasi memancing, tanpa berlengah saya persiapkan kelengkapan memancing dan segera melontar umpan udang segar ke tali arus muara. Ketika itu arus sedang bergerak surut dengan agak laju juga. Tidak sampai lima minit menunggu, seekor ikan gelama bersaiz kecil berjaya saya naikkan. Tidak lama kemudian seekor ikan belukang dengan saiz yang kecil turut sama berjaya dinaikkan. Kira-kira lima belas minit kemudian, secara tiba-tiba joran direntap kasar. Adrenalina dan keghairahan saya meluap-luap kerana sudah sekian merindui permainan sorong tarik dengan ikan ini. Hasilnya saya muncul sebagai pemenang dan berjaya mendaratkan seekor belukang yang agak kasar dalam anggaran berat satu kilogram.
Melihat pada arus yang semakin surut dan para air yang semakin cetek menjauhi tebing, saya berasa kesal pula tidak datang lebih awal. Sementara hasil pancingan pula terus didominasi ikan-ikan yang bersaiz kecil. Hampir satu jam selepas mendaratkan belukang kasar itu, sekali lagi umpan udang segar yang digunakan direntap ganas. Daya tarikan atau daya juang mangsa yang terperangkap pada mata kail juga lebih padu. Namun saya berjaya mengawal joran dan mengatasi kuasa mangsa dan akhirnya seekor lagi belukang yang lebih besar saiznya berjaya saya tundukkan.
Walaupun hajat sebenar saya ialah untuk memancing ikan sembilang atau gemang tidak kesampaian, namun ia sedikit pun tidak mengecewakan saya. Setelah hampir dua jam kami memancing setidak-tidaknya berjaya juga kami daratkan dua ekor ikan belukang bersaiz kasar, sepuluh ekor belukang saiz kecil, empat ekor ikan duri, tiga ekor ikan gerut-gerut dan lima ekor ikan gelama yang juga bersaiz kecil.
Setelah pulang, semua hasil tangkapan walaupun bukan ikan gred tinggi dijadikan lauk-pauk. Ikan-ikan yang kecil digoreng rangup. Ikan belukang bersaiz kasar dimasak asam pedas dan kari. Rasanya sangat fresh dan langsung tidak hanyir. Dan bonusnya kami dapat menikmati telur ikan belukang yang amat lazat rasanya.
Mencari udang galah ataupun lebih dikenali sebagai jenggo di Brunei sebenarnya tidak banyak bezanya dengan gaya pancingan di Malaysia. Jenggo boleh dipancing sepanjang tahun tetapi ketika awal tahun ialah musim yang terbaik di Brunei. Saya kira ia mungkin sama sahaja di Malaysia juga.
Dalam sesi memancing jenggo, umpan dan faktor air sungai sangat memainkan peranan yang penting. Umpan yang biasa kami gunakan di sini seperti cacing, bangkutut (anak udang), punpun nipah dan jantung ayam. Saya rasa umpan ini juga biasa digunakan di Malaysia.
Sebagai pemancing apatah lagi sebagai seorang tekong, mestilah pandai meliat keadaan air dan menjangka suhu air dan mencari lubuk-lubuk yang berpotensi. Suhu air yang agak sejuk ataupun perjalanan air yang agak laju sukar untuk mencari sepit biru atau jenggo.
Lubuk yang agak dalam dan mempunyai putaran air agak berpotensi disini. Ia sering menjadi lubuk yang sering dikunjungi oleh kami para pemburu jenggo. Harus difahami juga bahawa udang bergerak dalam kumpulan dan jangan berpindah agak telalu jauh.
Keadaan air yang bergerak surut agak mudah untuk mendapatkn sepit biru atau jenggo dan air bergerak naik pasang sukar untuk mencari kerana ia lebih suka bersembunyi dan pemancing perlulah memburu di bawah kayu atau akar-akar nipah.
Saiz Mata kail yang biasa kami gunakan adalah no. 4, 5, 6 dan halus agar tidak selalu lucut. Penggunaan satu mata kail di lubuk yang agak bersangkut dan dua mata kail di lubuk yang kurang sangkut.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...