Karim – Guide & Tekong Lejen Tasik Kenyir

Share

 

Bagi sesetengah kaki pancing baru, tidak berapa mengenalinya. Ini kerana orang yang berbadan kurus dan sederhana tinggi ini cukup merendah diri. Tetapi bagi mereka yang gemarkan pancingan teknik casting dan juga trekking ke hulu-hulu sungai, nama tekong Karim tidak perlu dikenalkan lagi, kerana dia adalah salah seorang tekong tersohor di Tasik Kenyir.

 

Apa yang menarik tentang dirinya, adalah dia mengenali semua ceruk tasik buatan manusia terbesar di rantau Asia Tenggara ini. Dia mula bergelumang dengan hutan banat di Hulu Terengganu ini sejak berumur 16 tahun dengan bekerja sebagai buruh Jabatan Penyiasatan Kaji Bumi (kini Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia).

 

Bahkan, dia begitu arif mengenali nama puncak-puncak gunung yang pernah dia jejaki dahulu di seluruh Tasik Kenyir. Selain hutan di Hulu Terengganu, dia juga pernah bekerja dan tinggal di dalam hutan berminggu-minggu lamanya di hutan negeri Kelantan, Pahang, Perak dan Kedah.

 

 

Tekong Karim atau nama sebenarnya Abdul Karim Satar, 53 berkata dia sedikit pun tidak menyangka bahawa suatu hari nanti kawasan tempat dia membesar dan juga tempatnya mencari rezeki semasa usia muda akan ditenggelami oleh air bagi memberi laluan pembinaan Stesen Janakuasa Elektrik Sultan Mahmud.

 

“Untuk pengetahuan, lokasi seperti Terenggan, Cacing, Mentong, Bewah, Kerbat, Petuang, Belimbing, Petang, Melor dan banyak sebenarnya berasal dari nama-nama perkampungan tradisional di Hulu Terengganu satu ketika dahulu.

 

“Hanya nama-nama ini sahaja kekal, sedangkan semua kampung-kampung ini berada di dasar Tasik Kenyir,” katanya ketika ditemui semasa kunjungan penulis ke Tasik Kenyir baru-baru ini.

 

Jom like & See First www.facebook.com/umpanmania101

 

SARAT PENGALAMAN

Menurut anak jati Kampung Dura, Kuala Berang ini lagi, dia mengambil keputusan berhenti sebagai buruh lantaran sudah puas bermain dengan hutan. Sebaik sahaja tamat pekerjaan tersebut, dia bekerja sendiri sebagai seorang nelayan sungai dengan menjual hasil tangkapan ikan di pekan Kuala Berang selain mencari anak ikan kelisa dan kelah untuk dijual. Ada kalanya dia mencari kayu gaharu dan madu lebah di sekitar hutan Tasik Kenyir.

 

Bercakap soal ikan, Tekong Karim memberitahu, ikan di Tasik Kenyir cukup banyak, sehinggakan suatu ketika dulu ikan lain tidak begitu dihiraukan melainkan ikan kelah. “Boleh dikatakan, semua hulu sungai utama di Tasik Kenyir ikan kelah amat banyak, saiznya juga besar-besar. Saya sendiri pernah mendapat kelah hampir 20 kg seekor.

 

“Masa dulu bukan ada ais macam sekarang. Kalau dapat kelah pun kebanyakannya dijual secara salai kerana jarak perjalanan yang jauh,” katanya yang pernah memperolehi ikan tilan sebesar paha orang dewasa.

 

Jom like & See First www.facebook.com/umpanmania101

 

Selepas beberapa tahun menjadi nelayan sungai, pada tahun 2005, Tekong Karim mula beralih membawa boathouse selepas diminta oleh rakannya, seorang pesara Perhililitan, Pok Par, juga seorang tekong terkenal di Tasik Kenyir.

 

“Selepas dua setengah tahun bekerja membawa boathouse Pok Par, saya mengambil keputusan mengikut jejaknya dengan membina sebuah boathouse (no pendaftaran TKP 51) berkongsi modal dengan seorang saudara hasil dari wang simpanan masing-masing serta hasil jualan kayu gaharu,” katanya.

 

URUSKAN TRIP SENDIRI

Di saat ramai tekong yang sama usianya tidak lagi kerap turun membawa sendiri boathouse ataupun trip trekking, Tekong Karim antara segelintir ‘tekong lama’ yang masih lagi kuat mengerah kudrat membawa sendiri boathouse miliknya selain bertindak sebagai guide untuk trip trekking terutama ke Hulu Sungai Terenggan.

 

Jom like & See First www.facebook.com/umpanmania101

 

Untungnya, dia kini telah pun ada pewaris untuk meneruskan pekerjaannya membawa boathouse, iaitu anaknya Mohd Nazrul Hidayat (Yo) yang bertindak sebagai pembantunya setiap kali ada trip memancing.

 

Ujar ayah kepada enam cahaya mata ini, sukar untuknya meninggalkan pekerjaan yang diminatinya buat masa kini, lebih-lebih lagi dia akan berpeluang untuk turun casting bersama kaki pancing setiap kali khidmatnya ditempah pelanggan.

 

“Dahulu saya memang tak suka langsung casting, tetapi bila Baharom (Tekong Siam) ajak saya sama-sama casting, terus ia melekat hingga ke hari ini. Bila sebarau, badong atau toman besar menyambar gewang, itulah saat yang paling menyeronokkan bagi diri saya.

 

“Untuk trip trekking pula mencari kelah, setidak-tidaknya ia dapat mengimbau kenangan saya tinggal berminggu-minggu di dalam hutan semasa usia muda dahulu,” katanya yang bergelar datuk kepada dua orang cucu.

 

Ceritanya lagi, pernah satu ketika dia dan lima orang rakannya sekerjanya terputus bekalan makanan sehingga terpaksa keluar berjalan kaki 2 hari menuju ke Sungai Sephia, Hulu Tembeling, Pahang untuk mendapatkan bekalan makanan sebelum berjalan kaki 2 hari lagi menuju semula ke Hulu Terenggan.

 

Jom like & See First www.facebook.com/umpanmania101

 

PENGALAMAN PAHIT

Mengimbau kenangan pahitnya sepanjang dia bergelumang dengan Tasik Kenyir, Tekong Karim memberitahu dia pernah membawa boathouse tengah malam pulang ke Jeti Jenagor gara-gara ada seorang kaki pancing sakit asma yang teruk.

 

“Bukan perkara mudah membawa boathouse bergerak pada waktu malam, ia cukup berisiko tinggi kerana tidak nampak benda di hadapan, terutama tunggul atau balak hanyut. Syukurlah, segalanya selamat dan dua kali kes tersebut berlaku,” jelasnya lanjut.

 

Perkara yang paling tidak dapat dilupakannya sehingga ke hari ini adalah, dia pernah menyelam ke dasar Tasik Kenyir sedalam 150 kaki menggunakan tong gas bersendirian gara-gara untuk mencari dan mengambil semula enjin bot sangkutnya yang terjatuh.

Disebabkan keberaniannya itu jugalah, Tekong Karim kini orang yang akan dipanggil untuk mendapatkan khidmatnya oleh rakan-rakannya jika berlaku kes seperti itu.

 

Jom like & See First www.facebook.com/umpanmania101

 

“Sebagai seorang tekong, saya harus sentiasa bersedia berhadapan risiko dan mesti berani. Dalam masa yang sama, kepuasan hati pelanggan perlu dijaga. Ada masanya trip memancing dapat ikan banyak, ada masanya kurang. Itu semua rezeki datangnya dari Allah,” katanya lagi.

Published by
Amang