Bot jenis fiber bewarna biru putih terikat kukuh di jeti berhampiran chalet Shidah. Kami sampai seawal jam 4 petang, namun Shidah meminta kami menunggu satu jam lagi untuk air pasang penuh. Setengah jam sebelum masuknya waktu asar, kami berenam termasuk tekong bernama Pak Hassan memulakan perjalanan botnya menuju ke perairan Klanang.

Misi kami hanyalah satu, iaitu membawa pulang banyak hasil tangkapan ikan terutama ikan besar yang boleh dijadikan lauk keesokan harinya. Apatah lagi sebelum keluar dari rumah, suami pula sudah berpesan (tetapi separuh menyindir) jangan lupa bawa pulang ikan laut, bukannya ikan pasar.

Perjalanan mengambil masa lebih kurang 45 minit. Aku lihat Mimi dan Zalina memegang erat pada bahagian tepi bot. Nuza pula berlagak selamba. Shidah dan aku asyik memandang suasana sekeliling. Angin laut bertiup agak kencang namun begitu nyaman.

Selepas mendapatkan spot yang sesuai, Pak Hassan memberhentikan bot berhampiran dengan tempat yang dipanggil Klanang. Masing-masing melabuhkan umpan di situ. Umpannya isi ikan kembung dan selar yang dibawa oleh Shidah. Petang itu rezeki kami agak murah. Gelama, siakap merah, daun baru dan ikan tanda menjadi habuan kami.

Asyik benar kami hingga tak sedar suasana sudah diserkup kegelapan malam. Angin yang tadinya bertiup nyaman sudah bertukar kencang. Bot kecil yang kami naiki terumbang-ambing dipukul alun yang membuai kasa. Lantas, Shidah memerintahkan Pak Hassan menghidupkan enjin yang ketika itu turut sama memerhatikan sekeliling.

Ads

Tapi entah mengapa enjin tak dapat dihidupkan. Puas Pak Hassan mencuba tetapi tetap gagal. Di dada langit, kelihatan burung berterbangan pulang. Aku memerhatikan kumpulan burung itu. Bergetar hatiku tatkala melihat di tengahtengah kumpulan burung itu, terbang satu objek menyerupai manusia. Bezanya, keadaannya serba putih seolah-olah mayat berkafan!!!

Aku cuba memberitahu Shidah dengan kerlingan mata. “Jangan tegur apa-apa yang kau semua nampak aneh di kawasan muara yang agak keras. Lagipun dah masuk waktu Maghrib ni”. Hanya itu pesan Shidah. Agak keras dan sinikal. Zalina dan Mimi pula aku lihat sudah pucat. Nuza pula mulutnya terkumat-kamit membaca Ayat Qursi.

“Jem, cuba kau azan”, kata Shidah apabila melihat Pak Hassan seperti sudah putus asa untuk menghidupkan enjin.

Ads

Aku melaungkan azan dengan suara perlahan dan serak-serak basah. Tiga kali melaungkan azan barulah Pak Hassan berjaya menghidupkan enjin bot. Kami semua menarik nafas lega. Ketika bot meluncur laju ke jeti, aku sempat mengerling jam tangan. Sudah pukul 7.30 malam. Sudah masuk waktu maghrib. Sewaktu bot mahu memasuki anak sungai menuju ke jeti, perhatian kami tertumpu pada tebing sungai. Kelihatan rumah-rumah kampung beratap rumbia. Di setiap rumah terpacak jamung. Suasana di kawasan kampung itu meriah seolah-olah ada pesta yang berlangsung.

Peliknya, getus hati saya bila memikirkan keadaan yang seolah-olah kami memasuki pada zaman silam, walhal semasa pergi petang tadi kawasan berkenaan di kelilingi hutan bakau.

Ads

“Kenduri apa pulak ni,” tegur Zalina sebelum sempat aku memberi isyarat supaya jangan menegur apa-apa. Ketika itulah, penghuni kawasan kampung itu seolah-olah serentak memandang ke arah kami.

Mahu menjerit dibuatnya apabila melihat makhluk itu badan seperti manusia tetapi mempunyai tanduk di antara dua biji mata. Mata mereka bersinar seperti mentol lampu yang terang. Zalina menjerit seperti histeria hingga bot yang kami naiki bergoyang ke kiri dan kanan.

Nasib baiklah Pak Hassan berjaya mengemudinya dengan baik. Sebaik sahaja sampai di jeti, kami memapah Zalina ke dalam chalet Shidah. Di sini Zalina diubati seorang ustaz yang dibawa oleh suami Shidah yang sudah dimaklumkan melalui telefon. Jelas ustaz berkenaan, kawasan tersebut memang didiami makhluk halus dan kebetulan waktu berkenaan adalah waktu puncak mereka bertebaran.

Syukurlah tiada apa kejadian buruk yang menimpa kami. Peristiwa ini sudah dua tahun berlalu. Zalina hingga ke hari ini tidak berani lagi turun ke laut. Hanya aku dan Nuza yang rajin mengikut Shidah turun memancing. Mimi pula sejak berkahwin sudah melupakan terus hobi memancing ini. Aku sendiri hanya keluarmemancing pada waktu siang sahaja. Kejadian ini benar-benar menginsafkan aku bahawa selain manusia, ada makhluk lain yang mendiami dunia Allah SWT ini. Wallahualam..

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI