Elakkan dari menegakkan joran secara tegak (90 darjah) ketika meletakkannya pada pancang atau rod holder kerana sentapan kasar ikan boleh menyebabkan tip (hujung joran) patah. Ramai yang tak ambil kisah perkara sebab belum pernah terkena. Dah terkena nanti jangan admin tak ingatkan.
Sebelum membuat balingan, sentiasa perhatikan belakang anda tip joran cukup mudah patah sekiranya mata kail atau umpan yang akan dilontar tersangkut pada sesuatu objek. Biasanya kalau dah nampak ikan timbul atau menyambar, terus jadi gelojoh tak tengok kiri kanan belakang lagi.
Jangan sesekali menarik tali pancing yang tersangkut di dalam air dengan menggunakan joran kerana dengan mudah joran akan patah. Kalau tali yang putus tak mengapalah… tapi lazim tip joran yang akan jadi mangsa.
Seboleh-bolehnya gunakan sauk atau gancu untuk mendaratkan ikan walaupun ikan tidaklah sebesar mana. Jangan terikut-ikut dengan aksi Gong Lei dalam video memancingnya. Dia pun tahu tahap mana kekuatan joran dan ikan sebesar mana yang sesuai untuk jerk ke dalam sampan.
Memang ramai yang malas nak buat perkara ni sehinggalah berlaku kemalangan pada joran. Selepas memancing di laut atau air masin, bilas cincin-cincin joran dengan air paip secukupnya sebelum disimpan bagi mengelakkan cincin berkarat akibat pembentukkan garam.
Sesetengah pemancing memang sudah tahu sop penggunaan joran tetapi sengaja nak test katanya. Sebaiknya elakkan dari mengepam atau menaikkan joran melebihi 90 darjah ketika bertarung dengan ikan bagi memelihara backbone atau tulang belakang joran. Joran mahal tahap bangsawan pun boleh patah.
Berikan perhatian apabila membawa joran terutama joran 1 piece kerana sering berlaku tip joran patah kerana kemalangan di dalam kereta. Malah joran 2 pieces pun banyak patah tersepit pintu kereta kerana kecuaian sendiri.
Pastikan juga berat umpan yang anda gunakan sepadan dengan skala kemampuan joran anda untuk menampungnya. Begitu juga batu ladung yang digunakan. Jangan guna batu ladung yang terlalu berat dan sepadan dengan kekuatan joran.
Ini yang paling susah untuk dilakukan. Nak bagi salah… tak bagi pun salah. Senang cakap… jangan terlalu mudah bagi pinjam pada kawan. Terutamanya joran UL atau kawan yang baru belajar memancing atau mempunyai rekod sering patahkan joran.