Ikan ubi (ketutu) atau nama saintifiknya Oxyeleotris marmorata merupakan salah satu ikan yang mempunyai nilai yang tinggi dalam pasaran. Spesies Marble Goby ini mendapat permintaan yang cukup tinggi dalam pasaran, namun dalam sektor akuakultur, ikan ini mengambil masa yang lama untuk membesar.
Ikan ubi mempunyai mulut yang lebar dan tinggal di kawasan paya, kolam, sungai dan tasik. Dikenali sebagai ikan yang sangat pasif, spesies ini menggunakan teknik menyedut ketika memakan mangsanya yang lalu di hadapannya.
Di sini antara tip dan teknik yang mungkin boleh membantu anda yang berminat untuk memancing spesies ikan ini:
Set pancing
Gunakan set pancing air tawar yang asas dengan kepanjangan rod yang sesuai, tali dan mata kail. Apa yang penting, anda mampu menjangkau spot yang dirasakan terdapatnya ikan ini dengan set pancing anda.
Umpan
Umpan yang paling sesuai ialah menggunakan cacing atau udang kecil kerana kedua-dua ini merupakan diet utama ikan ketutu. Gunakan umpan udang hidup untuk menarik perhatian itu atau pastikan cacing anda meliang-liuk pada mata kail.
Teknik
Ketutu biasanya hidup di kawasan air tenang atau di tempat yang terlindung dengan struktur pada kedalaman sekitar 1-3 meter.
Apa yang penting, pastikan umpan anda turun ke dasar kerana ketutu hidup di dasar air. Gunakan pelampung untuk lebih mudah melihat sama ada umpan telah diambil ketutu.
Jika pelampung tenggelam, biarkan beberapa saat sebelum menarik rod. Oleh kerana ikan ketutu sangat pasif, pastikan umpan anda diturunkan di spot yang dekat dengan ikan ini.
Umpan Tiruan
Jika anda berminat untuk memancingnya dengan teknik casting, pastikan anda menggunakan gewang yang boleh menyelam rapat ke dasar atau dalam radius kawasan persembunyiannya.
Penggunaan gewang softplastic paling berkesan untuk memerangkapnya. Pastikan gewang digayakan dengan perlahan dan betul-betul di hadapan mukanya.