Seorang juruteknik dari Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd, Mohd Khairi Hisyam Othman, 32, muncul juara dalam Pertandingan Memancing Terbuka Universiti Malaysia Pahang (UMP) setelah berjaya mendaratkan ikan tengalan seberat 1.62 kilogram sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 di Tasik UMP, Pekan, Sabtu lalu.
Tempat kedua milik Mohd Arif Mohd Azarudin, 20, dari Sg. Soi yang mendaratkan ikan tilapia seberat 0.440 kilogram. Manakala tempat ketiga telah dimenangi oleh Shahrul Nizam Mat Aris, 47 dari Indera Mahkota dengan mendaratkan ikan keli seberat 0.380 kilogram. Pemenang membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan RM1,000.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Sukan & Kebudayaan UMP, Abd Rahman Safie. Terdahulu majlis perasmian pertandingan telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin seawal jam 8.04 pagi.
Menurut Dato’ Dr. Daing Nasir, program ini adalah sebahagian daripada aktiviti menyemarakkan Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia selain berpeluang memperkenalkan kampus UMP kepada masyarakat sekeliling.
Sementara itu, Abd Rahman berpuas hati dengan penyertaan pertandingan memancing pada kali ini mencecah sebanyak 588 melebihi sasaran awal iaitu 500 penyertaan. Berdasarkan penyertaan tersebut, dapat kita saksikan penerimaan pemancing terhadap pertandingan di tasik UMP ini semakin meningkat termasuk dari luar Pahang seperti Melaka, Johor, Kelantan dan Terengganu .
Bagi pemenang pertandingan, Khairi tidak menyangka dengan hanya menggunakan umpan cacing seawal jam 8.47 pagi berjaya memperoleh tangkapan terbesar.
Pertandingan yang menawarkan hadiah keseluruhan lebih RM 16,000 ini dianjurkan Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP dan Pejabat Naib Canselor UMP sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia tahun ini.