Salam sejahtera salam satu hobi dari kami. Kali ini kami ingin berkongsi pengalaman meneroka lautan Kampung Judan, Mukah, Sarawak. Bandar Mukah terletak di Sarawak cukup terkenal dengan hasil ikan lautan birunya dan makanan kering seperti biskut-biskut kering.
Trip kali ini bersama tekong yang dikenali sebagai Adier Mahathir yang cukup berpengalaman di Kampung Judan, Mukah ini. Bandar Mukah terletak sejauh 157 kilometer dari bandar Sibu.
Ads
Perjalanan kami mengambil masa selama 2 jam lebih untuk sampai di Kampung Judan, Mukah. Trip kali ini disertai sahabat saya Munsang Lo, Zaurony Riki, Sulang, Colin Ah Tey dan Merais. Kami bertolak dari jeti seawal jam 5.30 pagi. Untuk sampai ke destinasi kami memakan masa selama 3 jam. Teknik kami kali ini menggunakan slow jig dan fast jig.
Ads
Kebanyakan hasil laut di sini mempunyai size yang amat kasar beberapa spesies ikan berjaya kami naik kan jig yg kami guna seberat 80g. Mata assist hook kami guna dari jenama Ngejig cukup tajam dan berpuas hati menggunakannya.
Ads
Jig yang kami guna seberat 80g dan 100g
Bermacam-macam spesies kami naikkan. Antaranya size idaman kaki pancing boron berjaya dinaikkan oleh Pashaa Oo Rimbarra Anglers.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Pemancing yang berasal dari Miri, Sarawak dengan nama gelaran Laksamana Tanjung atau Awang Semana (nama Facebook – Lak Samana Lak Samana) sama sekali tidak menyangka berjaya mendaratkan seekor ikan pari seberat 103kg, ketika memancing pada 22 Jun lalu.
Menurut Awang Semana, 34 tahun yang pernah mendaratkan beberapa ekor pari dari berat 15kg hingga 68kg, sudah menjangkakan ia tangkapan melebihi 40kg sejurus ikan pari tersebut melarikan umpan yang dipertaruhkannya.
kekili yang digunakan
“Saya guna reel Wahoo 6000, rod Eupro 15 sec 200gram berwarna kuning, main line 50lb Power Pro dan leader 80lb Sufix.
Arus agak laju jadi saya guna ladung saiz 6 berbentuk anchor. Umpan pula ikan duri yang dipotong ekor senget. Perambut pula saya guna perambut T gantung umpan sedepa.”
Setelah menghela tali keluar dari kekili tanpa henti selama 3 minit, Awang Semana berusaha keras menghentikan lariannya.
Beliau percaya ia adalah pari yang luar biasa besar dan sudah berhadapan dengan pertarungan sedemikian yang mana kesemuanya berakhir dengan kegagalan.
Sepanjang 2017-2019, dia sudah 6 kali bertarung dengan pari gergasi dan kesemuanya putus tali utama dan kemenangan berpihak kepada pari.
Justeru kali ini Awang Semana menggunakan segala pengalaman dan kemahiran yang ada untuk menjinakkannya.
“2 jam 56 minit…!” ujar Awang Semana tentang tempoh waktu pertarungan tersebut. Beliau masih ingat waktu pari itu mengambil umpan sekitar jam 2.00 lebih dan berjaya mendaratkannya pada jam 5.00 lebih.
Sepanjang tempoh hampir 3 jam itu Awang Semana hampir saja berputus asa. Banyak perkara yang bermain dalam fikirannya.
Lokasi sungai Kuala Baram di Miri itu bukanlah lokasi yang selamat. Selain hari yang semakin gelap dengan serangan agas dan nyamuk, ia juga merupakan habitat buaya air masin.
Setelah berjaya mendaratkannya, Awang Semana membawa pari minyak atau pari bulan atau pari Thailand mengikut sebutan tempatan ke perkampungan berhampiran untuk ditimbang. Hampir saja beliau tidak percaya dengan angka terpampang.
Pari 63kg yang dinaikkan sebelum ini
Untuk tempoh 2017 hingga 2019 Awang Semana sudah mendaratkan 4 ekor pari saiz gergasi. Yang pertama seberat 30kg, pari kedua seberat 15kg, yang ketiga seberat 18kg,
yang keempat seberat 63kg dan kini dia mencipta rekod tersendiri apabila berjaya menaikkan pari seberat 103kg.
Menurut Awang Semana lagi, pari itu kemudiannya dilapah dan dibahagikan kepada orang-orang kampung. Walaupun bersaiz gergasi, masih ada bahagian isinya yang sangat lembut dan juga yang liat!
Tanjung Buai yang berada di dalam daerah Kota Tinggi, Johor merupakan kawasan muara yang cukup strategik untuk dilawati kaki pancing seluruh Malaysia Muara Tanjung Buai boleh dilihat dengan jelas dari Jambatan Lebuh raya Senai-Desaru, yang pastinya menggamit pemancing untuk datang bertandang.
Muaranya yang bersambung dengan Teluk Sengat dan Kong Kong menjadi habitat pelbagai spesies hidupan akuatik, khususnya ikan muara. Bagi pemancing, spesies ikan gred A seperti siakap, tanda, siakap merah, merah, kerapu dan tebal pipi merupakan buruan utama, dek kerana harganya yang tinggi dan rasanya yang enak.
Selain popular diterjah melalui kaedah pancingan bot, Tanjung Buai juga popular dengan gugusan rumah rakit milik pengusaha tempatan yang menawarkan harga yang berpatutan untuk sesi pancingan selama satu hari atau lebih.
Salah seorang pengusaha rakit yang popular di Tanjung Buai adalah saudara Rosul. Beliau memiliki beberapa buah rumah rakit di kawasan berpotensi tinggi sebagai habitat ikan.
Setiap hujung minggu rakitnya pasti laris ditempah. Saya bersama Team Redah tidak mahu ketinggalan untuk mencubanya. Trip disertai oleh Amir, Paklang Rahimi, Pakteh Miren, dan saya, berikutan kekangan masa ahli-ahli yang lain.
Kami tiba pada saat air baru bergerak pasang, yang mana menjadi masa terbaik untuk melabuhkan umpan kerana kebiasaannya ikan siakap, jenahak dan tebal pipi sangat aktif pada ketika itu.
Udang hidup, ruat, udang pasar dan ikan tamban menjadi umpan taruhan kami. Udang hidup dan ruat merupakan diet utama kebanyakan spesies gred A. Ikan tamban dan selayang pula sangat sesuai digunakan sekiranya anda menyasarkan spesies kerapu dan pari.
Lebih elok sekiranya pemancing menggunakan umpan seekor ikan kerana lebih besar umpan, lebih besarlah saiz pemangsanya. Udang pasar pula lebih sesuai untuk mencari duri dan gelama sementara menantikan ketibaan spesies gred A yang dicari.
Tidak perlu menunggu lama, joran saya yang berumpankan ikan tamban direntap kasar. Namun kelewatan saya menyentap menyebabkan ikan terlucut. Kejadian yang sama juga berlaku kepada ahli- ahli yang lain. Sehingga ke petang, hanya beberapa ekor ikan gelama yang kami perolehi.
Senja, merupakan waktu efektif untuk mengintai spesies siakap. Umpan udang hidup dihanyutkan menggunakan kaedah pelampung. Selang berapa lama, pelampung yang digunakan Paklang Rahimi tenggelam timbul dilarikan mangsa.
Sentapan yang padu mengukuhkan cangkukan mata pancing, namun keadaan yang kosong ketika proses karauan menimbulkan tanda tanya. Rupanya seekor ikan pecah periuk atau siakap sampah menjadi habuan Paklang Rahimi. Melihat hasil yang memberangsangkan, Amir dan Pakteh Miren menukar kepada teknik yang sama.
Hasilnya, Pakteh Miren pula berjaya menaikkan spesies yang sama namun saiznya lebih besar. Alhamdulillah, rezeki. Ketika air mula bergerak surut, joran Paklang Rahimi pula dihenjut ganas. Sistem tegangan kekili yang diletak ke tahap maksimum tidak mampu menahan asakan, dan akhirnya perambut 80lb yang digunakan putus begitu sahaja.
Melihat kepada corak pemakanan, kami jangkakan suspek seekor kertang, yang saiznya kami agak sebesar pintu kereta kancil. Biasalah, bila ikan terlepas pastinya yang bersaiz besar. Selepas itu suasana kembali sunyi dari ragutan kasar, hanya gelama dan duri yang sudi muncul.
Sesekali ada ahli yang menaikkan belut dan sirat dan pemancing itu mendapat malang berganda apabila terpaksa menahan telinga pula daripada kutukan rakan-rakan.
Subuh keesokannya, jeritan kami memecah keheningan pagi apabila Amir pula menaikkan seekor tebal pipi. Hajat isterinya untuk merasa keenakan ikan tebal pipi sebelum trip bermula termakbul akhirnya. Saya hanya mampu memandang dengan iri hati, kerana hanya saya seorang yang masih belum menaikkan sebarang spesies gred A.
Kalaulah saya cepat sedikit, sudah pasti ikan yang terlucut sebelumnya dapat dinaikkan. Kalaulah… dan kalaulah itu berterusan sehingga matahari memunculkan diri.
Kami bersepakat menamatkan trip pada jam 9 pagi. Beberapa minit sebelum bot tiba, joran Lemax Slimmax milik saya tiba-tiba melentur. Peluang yang muncul diambil sebaik mungkin. Selepas beberapa minit bermain tarik tali dengan debaran yang kencang di dada, akhirnya seekor senangin anggaran 1kg dapat juga saya naikkan.
Kini lengkaplah koleksi 4 ekor ikan gred A untuk 4 orang pemancing. Kami pulang dengan senyuman. Sudah ada lauk untuk dibawa pulang dan sudah semestinya, tidak akan ada halangan dari isteri sekiranya ingin turun memancing lagi.
INFO RAKIT ROSUL
Sebarang tempahan atau pertanyaan, bolehlah hubungi saudara Rosul di talian 019-7822775.
Aktiviti perikanan rekreasi di Terengganu sama ada di sistem air tawar dan air masin bolehlah dikatakan seimbang.
Dengan kewujudan sistem empangan di sungai-sungai menjadikan Tasik Kenyir sebagai destinasi perikanan rekreasi popular.
Manakala pembinaan pelantar minyak menyemarakkan lagi aktiviti memancing di perairan Laut China Selatan ini.
Namun kebelakangan ini, apabila salah satu teknik memancing iaitu mengunjun atau jigging kian menular, secara tidak langsung menyaksikan industri memancing di Terengganu semakin meriah.
Dengan peningkatan penggemar teknik pancingan mengunjun dan operator bot memancing menyaksikan perairan Terengganu bermula dari Kemaman hinggalah ke Besut menjadi destinasi memancing pilihan sejurus berakhirnya monsun.
Perairan Marang yang sebelum ini hanya popular apabila tibanya musim mencandat sotong turut tidak terkecuali terkena tempias dalam fenomena ini.
Untuk merasai sendiri bahang fenomena ini, saya sertai satu trip jigging di perairan Marang dengan menggunakan khidmat operator bot jigging tempatan yang tersohor di FB, Seby Shya.
Misi dan taktikal yang dipraktikkan dalam aktiviti memancing adalah memburu spesies tenggiri dengan teknik fast jigging.
Justeru spot memancing yang menjadi sasaran utama ialah unjam-unjam. Berikutan kekurangan spesies tenggiri di perairan Marang, tekong memutuskan untuk cuba nasib di perairan Dungun.
Namun masa perjalanan lebih satu jam dari jeti Marang dengan menjadikan unjam dan barisan paip sebagai spot permainan.
Mengunjun kepingan jig besi seberat 40-60 gm dengan karauan sepantas mungkin di kawasan unjam berselirat dengan rintangan benar-benar memerah kudrat dan pengorbanan.
Pengorbanan yang dimaksudkan adalah bersedia berhadapan dengan situasi kehilangan set jig atau lebih malang lagi putus tali utama akibat mata kail tersangkut pada tali unjam atau apa-apa struktur di kawasan tersebut.
Dan ia bukan sekali dua terjadi kepada kami, bukan sedikit jig kami lebuh menjadi tukun, malah saya sendiri turut kehilangan satu gelendong tali utama.
Di sebalik kehilangan banyak jig dan tenaga, hasil yang diperoleh sebenarnya tidaklah terlalu mengecewakan.
Setelah ditolak penyebab kegagalan mendaratkan spesies sasaran seperti tali kevlar putus, putus tali perambut, split ring melocot keluar, mata kail terkangkang lurus dan beberapa lagi masalah teknikal, kami berjaya membawa dua ekor tenggiri beberapa ekor lain spesies lain seperti tongkol, ebek dan cermin.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...