Jom Menjengggo di Rumah Rakit Temerloh

Share

 

Nama Temerloh memang begitu sinonim sebagai Bandar Ikan Patin. Namun tak ramai tahu, Temerloh juga sedang pesat membangun sebagai antara kawasan ‘angling tourism’ yang berpotensi untuk diketengahkan.

Rumah Rakit Temerloh menjadi salah satu usaha untuk menaikkan nama Temerloh sebagai salah satu spot memancing terbaik di Malaysia.

 

Sedang kebanyakan rumah rakit untuk memancing sambil menginap dibina di kawasan muara yang mengunjur ke laut, Rumah Rakit Temerloh mengambil pendekatan baru

apabila dibina betul-betul di jajaran sungai terpanjang Semenanjung Malaysia, iaitu Sungai Pahang.

 

Mula dibina sekitar bulan puasa 2015 yang lalu, akhirnya pada hari raya ketiga tahun tersebut, Rumah Rakit Temerloh sudah mula beroperasi.

Pada awalnya hanya 1 rakit sahaja dibina, namun atas sambutan yang luar biasa, rakit kedua mula beroperasi pada Oktober.

 

 

Biarpun kelihatan masih hijau, namun ternyata sambutan tanpa henti dari kaki pancing serata Malaysia berjaya menaikkan lagi nama Rumah Rakit Temerloh ini.

Apatah lagi apabila mendapat respon yang sangat positif daripada pengunjung yang pernah menginap di sini.

 

Fasiliti yang ada di sini bolehlah dikatakan serba lengkap. Dilengkapi bilik dengan penghawa dingin dan kipas, dapur untuk memasak, bekalan air bersih dan elektrik menjadikan penginapan memancing di sini benar-benar berbaloi.

 

 

Bila ditanya tentang bagaimana mendapat idea membina rumah rakit ini, pemiliknya yang lebih mesra dipanggil Abang Salleh menyifatkan idea ini datang daripada pengalaman beliau yang kerap ke luar negara.

 

Dari situ, beliau dapat melihat banyak rumah rakit dibina sebagai kawasan pelancongan, yang mana, ia sangat berpotensi untuk diketengahkan.

Selepas sahaja pencen, beliau terus membuat perancangan untuk menaikkan rumah rakit dan akhirnya Temerloh menjadi lokasi pilihan memandangkan ia merupakan titik tengah Semenanjung Malaysia.

 

Ternyata percaturan untuk membina rumah rakit di Temerloh ini benar-benar berhasil dan mendapat sambutan hangat.

Apatah lagi apabila mendapat sokongan tak berbelah bahagi daripada masyarakat setempat di Temerloh, sekaligus menjadikan Abang Salleh terus bersemangat untuk menaikkan industri pelancongan memancing di Temerloh.

 

Abang Salleh

 

Potensi Memancing

 

Nama Temerloh memang tidak asing sebagai antara kawasan tumpuan untuk memancing. Ikan-ikan sungai seperti patin buah, temoleh, begahak dan udang galah menjadi antara nilai tambah yang menaikkan nama Temerloh untuk dikunjungi oleh kaki pancing.

 

Di Rumah Rakit Temerloh ini, anda boleh terus memancing dari kawasan anda menginap. Dari sini sahaja anda boleh mendapat hasil seperti udang galah, lais, lampam dan baung.

Tetapi untuk hasil yang lebih mantap, Abang Salleh turut menyediakan khidmat sewa bot untuk anda menjelajah sekitar kawasan Sungai Pahang dan mencari lebih banyak lubuk yang boleh menjanjikan hasil yang terbaik.

 

 

Bagi yang baru pertama kali ke sini, penulis mencadangkan agar anda mengambil sekali khidmat guide kerana jika anda kurang ‘familiar’ dengan lubuk di sini, pasti agak sukar untuk anda mendapatkan hasil yang lumayan.

 

Jadi, untuk anda yang dah lama teringin merasai tarikan ikan-ikan Sungai Pahang, marilah berkunjung ke Rumah Rakit Temerloh ini.

Di samping dapat mencari ketenangan dan menghilangkan stress di tempat kerja, mana tahu rezeki anda juga untuk mendapat ikan-ikan sungai yang harganya semakin tinggi di pasaran masa kini.

 

 

Pakej sewa & penginapan:

 

Sewa bot :

Bot 5hp (RM80) / 15hp (RM100) untuk 24 jam

 

Rumah rakit:

Rumah rakit aircond : RM250

Rumah rakit kipas (lantai hijau) : RM150

Rumah rakit ada 2 bilik tidur dan selesa untuk 12 orang

Bilik bajet : RM50 selesa 4 untuk orang.

Umpun-umpun: RM10 sebekas

 

Bagaimana ke sini:

 

Jika anda dari ibu kota dan melalui Lebuh raya Pantai Timur (LPT), ambil susur keluar ke Temerloh.

Kemudian anda hanya perlu mengikut tanda arah ke Bera dan cari Kampung Pangsenam.

Rumah Rakit Temerloh terletak di KM 4, Kampung Pangsenam. Hanya lebih kurang 10 minit dari susur keluar Temerloh tadi.

 

Published by
Amang