Apabila seorang sahabat yang juga kaki pancing dan tekong meminta khidmat nasihat serta menguji bot pancing yang ingin dibeli, tentu saja ia bukan saja permintaan yang harus dihampakan. Tambah pula penjual dan bakal pembeli masing-masing meminta agar saya dapat membuat penilaian dan cadangan sebelum urusan jual beli termeterai.
Mulanya hanya merancang untuk test run sahaja tapi timbul pula idea alang-alang pandu uji kenapa tak bawak pancing sekali, mana tau kalau tangan gatal dapat celup tali ke air pun jadilah. Kata sepakat test bot sambil layan jigging.
Menurut penjual, ketiadaan spot pancing serta masalah tekong yang kurang berani menerjah lokasi Zee Zone menjadi salah satu penyebab kenapa bot ini ingin dilepaskan oleh pemiliknya. Malah beliau turut memiliki 5 buah sampan berenjin 30 hingga 60 kuasa kuda dikira sudah memadai untuk memancing sekitar Kuala Lukut hingga ke Jimah Power Plant.
Pembeli baru pula bercadang untuk memindahkan bot dari Kuala Lukut ke lokasi baru di Pantai Timur. Sesuai atau tidak trip ujian bot ini bakal menjadi kata pemutus.
Setelah muatan barangan selesai, pemilik bot terus mengemudi bot dengan lancar menyusuri sungai Lukut hingga ke muka kuala. Kami berenam bergerak dengan kelajuan 22 knots menuju ke destinasi yang masih dalam samar-samar, atau kata lain hentam saja.
Pertama kali bersua dengan pemilik bot sudah nampak keramahan beliau dan kemudiannya membuka soalan “Kita nak ke mana ni?” Beliau tiada koordinat atau jigging spot di kawasan sekitar kerana aktiviti pancing dasar tepian jeti Jimah dan Shell lebih menjadi kepuasan buat dirinya.
Dengan bantuan GPS Maps kami terus pandu uji bot hingga sejauh 25 batu nautika iaitu kira-kira sejam perjalanan. Tatkala hampir melepasi laluan kapal hala ke Utara, kami terserempak dengan longgokan rumpai hanyut sepanjang susur arus pasang. Ia berkemungkinan berpecah beberapa bahagian setelah dilanggar kapal dagang yang lalu lalang.
Setelah menghampiri kelihatan beberapa bayangan ikan di celah longgokkan rumpai hanyut tersebut. Saya kemudiannya memberi isyarat kepada semua untuk bersantai dengan sampah laut sekejap. Bayangan ikan pecah periuk jelas kelihatan sedang berselindung di bawah celahan rumpai hanyut.
Nasib baik ada beberapa ekor anak ikan tamban untuk dijadikan pembuka selera buat pecah periuk. Sementara para jigger tegar pula menggunakan jig ringan yang dilekatkan octopus skirt pada mata kail. Si pemilik bot yang pertama kali berpeluang merasai teknik memancing di sampah hanyut agak teruja kerana sesuatu yang baru buat dirinya.
Setelah diajar serba ringkas mengenai teknik menjerat pecah periuk, tamban yang dikerat-kerat dilontar di bawah apung rumpai. Kejap sahaja nampak bayangan pecah periuk datang mendekati umpan kemudian terus meragut dan melarikan ia di bawah celahan rumpai laut. Saat bila umpan mula tidak kelihatan, tali pancing mula menegang barulah joran disentap.
Leka bermain dengan pecah periuk dan pandu uji bot, sedar tak sedar jam sudah menghampiri 3 petang. Waktu keluar dari jeti sudah melepasi jam 10 pagi. Masa cepat berlalu dan kali ini beri peluang pula kepada member yang berhajat untuk jigging. Tanpa koordinat dan pengalaman memancing di kawasan ini tentu sedikit kesukaran timbul mencari spot jigging terbaik.
Ketika itu kami berada di laluan utama kapal dagang. Sasaran diamati dan menilai faktor keselamatan terutama kawasan yang agak jauh dari alun kapal. Berpandukan kepada GPS Maps kawasan bertubir menjadi pilihan untuk kaedah slow jigging.
Dengan masa yang terhad, kami teruskan jigging sambil membiarkan tekong gelama dan pembantu menghulurkan umpan tamban ke dasar. Banyak juga yang harus dipelajari oleh tekong gelama untuk teknik berhanyut secara berkesan.
Mungkin selepas ini akan dibuat lawatan susulan agar ilmu memancing disalurkan dengan tepat dan meningkatkan lagi kepakaran mereka pada masa mendatang. Teknik dasar lawan teknik slow jigging di kawasan padang pancing yang tidak pernah dikunjungi sebelum ini. Perbandingan boleh dibuat sekiranya ada tanda-tanda ketukan ikan di dasar, sama ada jigging atau tamban mati.
Masa berlalu, sambil berjigging dan menunggu sentapan ikan, pandangan masing-masing lebih tertumpu arah mentari condong ke Barat sambil tekong pula memandang arah selatan di mana kelibat kapal dagang menghala ke arah kami.
Sehingga jam 7 petang, teknik dasar dan slow jigging gagal membuahkan hasil. Umpan dan jig 160, 180, 200 dan 250 gram silih berganti dengan pelbagai warna, tapi ia bukanlah prasyarat untuk ikan meragutnya.
Kami terima hakikat lokasi berkenaan ikan ‘berpuasa’ seketika. Senja semakin menghampiri memaksa kami untuk menamatkan misi tanpa berbelah bagi. Bot meninggalkan destinasi dalam keadaan samar-samar malam menuju jeti berada kira-kira sejam perjalanan.