Antara lokasi yang sering menjadi tumpuan kaki pancing di Melaka ialah sekitar perairan Pantai Siring yang terletak dalam kawasan Umbai. Perairan Pantai Siring mempunyai beberapa buah kelong kecil yang sering menggamit kaki pancing untuk datang ke sini.
Menurut seorang tekong, aktiviti casting dan light jigging di sini bermula sudah lama jadi tidak hairanlah perairan sekitar pulau-pulau di Pantai Siring ini mampu menjadi daya tarikan utama bagi kaki casting dan light jigging.
Saya dan beberapa rakan berkesempatan untuk meluangkan masa sehari suntuk menjengah di perairan sekitar pulau-pulau kecil di sini dan melepaskan gian memancing dengan aktiviti light jigging dan mengilat.
Kami mempertaruhkan jig dan sesudu dengan berat sekitar 25gm hingga 30gm sebagai pilihan utama. Selebihnya kami menduga lubuk dengan menggunakan pelbagai jenis gewang. Seperti diduga ketika awalnya, trip terjah kami sedikit mengecewakan.
Ads
Keadaan air yang keruh dan tiupan angin yang tidak menentu sedikit membataskan sesi pancingan. Namun begitu, Tekong Abu yang lebih gemar teknik mengilat berhasil juga menaikkan baby talang dengan sesudu Abu Garcia Koster berwarna perak. Sejurus selepas itu, jig Saira Braid 30gm yang saya gunakan disambar kemas pula oleh seekor baby GT uat pengubat trip terjah ini.
Walaupun terdapat beberapa henjutan selepas itu namun semuanya gagal dinaikkan. Tiada rezeki nampaknya. Sebenarnya, kawasan sektar pulau-pulau kecil ini cukup berpotensi bagi aktiviti light jigging, casting dan juga popping. Perairan tidak terlalu dalam dan muka buminya lubuk berbatu cukup meyakinkan kami ada penghuninya.
Ads
Penggunaan gewang berwarna perak paling efektif di sini untuk teknik mengilat dan bagi teknik light jigging pula penggunaan jig seberat 25gm hingga 30gm sangat efektif dengan pilihan warna yang terang seperti merah atau biru.
Spesies yang sering dinaikkan pula termasuklah GT, talang, kerapu, ebek, sagai dan lain-lain pula dengan berat sekitar 2kg hingga 5kg. Dengan penggunaan set ringan, pasti cukup mengasyikan melayan asakan spesies tersebut untuk dinaikkan.
Ads
Jika air cantik, batu karang dan dasar sekitar Pulau Undan misalnya boleh dilihat dengan jelas. Jangan gunakan jig terlalu berat kerana perairan di sini hanyalah sekitar 15-30kaki. Kaki pancing harus tahu, berapa jig akan jatuh hingga ke dasar sebelum karauan dan unjunan dilakukan. Ini bagi mengelakkan jig mudah tersangkut di karang.
Potensi lain yang boleh dilakukan di sini adalah menggunakan popper kecil dengan membalingnya di kawasan hempasan ombak yang menghempas batuan tebing pulau. Kerap kali sebelum ini, kaki pancing yang dibawa Tekong Abu berjaya menaikkan spesies talang dan juga GT.
Selain itu, dengan adanya beberapa buah kelong di sini juga boleh dijadikan lokasi menginap dan pancingan santai. Jika sudah penat dan rentung dengan casting dan light jigging, boleh juga berteduh menghilangkan penat di kelong yang ada di sini.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Pulau Song Song, terletak di perairan Yan, Kedah merupakan pulau kecil yang tidak berpenghuni.
Selain pulau ini, terdapat lagi beberapa pulau lain berhampirannya Bunting, Tukun Terendak, Telor dan Bidan.
Kesemua pulau ini ada kaitannya dengan legenda setempat yang berkait rapat dengan kisah perkahwinan.
Bagi pemancing tempatan, lokasi pulau-pulau berbatu ini sememangnya ’port’ terbaik casting GT dan ta lang menggunakan umpan bulu.
Sebenarnya, hajat untuk menduga spesies menyambar GT dan Talang di sekitar perairan Pulau Song Song, Kedah telah sudah lama dipendam.
Asyik tertahan je nafsu melihat gambar-gambar dari handphone Cikgu Anamis.
Dua tiket bas dari Shah Alam ke Alor Setar lantas dibeli untuk dua orang. Segala kelengkapan cuba disiapkan sebaik mungkin, terutama rod dan kekili.
Malangnya saya tidak ada rod casting yang sesuai iaitu 7 kaki, sebaliknya hanya ada 6 kaki setengah.
Dek kerana kesuntukan masa, peralatan lain apa yang ada dalam kotak pancing diselongkar dan apa yang dirasakan sesuai itulah yang dibawa.
Bertolak pukul 10.00 malam dari Shah Alam dengan menaiki bas Transnasional, kami tiba di Terminal Bas Shahab Perdana Alor Setar sekitar jam 5 pagi.
Setengah jam kemudian, kami berdua dijemput berkereta oleh tekong Abang Din seorang tekong yang handal memburu GT, talang, tenggiri di sekitar perairan Pulau Song Song.
Abang Din kemudian menuju ke rumah rakannya Cikgu Wafi, di Alor Setar untuk kami tinggalkan beg pakaian dan mandi serta mengambil seorang lagi pemancing, Wahid untuk turut serta.
Wahid sebenarnya pemancing dari Sarawak yang juga rakan baik Cikgu Anamis, tekong dan juga Cikgu Wafi.
Yang respeknya, Wahid sanggup terbang dari Kuching ke Pulau Pinang, sebelum dijemput Cikgu Wafi ke Alor Setar hanya semata-mata gilakan casting GT, talang guna bulu ayam.
Bukan sekali tapi dah banyak kali dia berkunjung ke sini. Semuanya gara-gara terkena racun bulu ayam ’hand made’ Abang Din, tekong casting tersohor di perairan ini.
Wahid telah sampai dua hari awal dan dia telah pun memancing sehari awal sebelum kami.
Selepas membeli bekalan ais kami terus ke Kuala Yan dan tiba di Jeti Pantai Murni, sebelum jam 7.00 pagi.
Sebelum itu, sempat juga beli kuih-muih buatan Kedah dan nasi lemak buat sarapan.
Selepas memunggah barang, kami mula meninggalkan jeti. Walaupun air masih lagi surut, berkeladak dan beralun kuat, tapi atas kepakaran Abang Din, bot akhirnya berjaya juga melepasi halangan.
Pulau pertama yang kami tuju adalah Song Song, merupakan sebuah pulau berbatu, tidak berpenghuni.
Menghampiri sahaja kawasan berbatu, Abang Din memberi isyarat kami sudah boleh mula casting ke arah batu-batu yang ketika itu dihempas ombak.
Ujar Abang Din, ikan seperti GT, talang, bluefin trevally, jemuduk, cencaru kuda akan berlegar di kawasan berbatu ini.
Tapi dalam hati penulis, tak kisahlah ikan apa pun yang naik, janji nak kena karan bulu ayam.
Maklumlah ini kali pertama casting guna kaedah ni. Kalau kena tenggiri sesat, kira satu bonus, walaupun tenggiri sebenarnya tersangat kurang berlegar di kawasan berbatu ini.
Arus kuat
Benarlah kata pepatah, hari ini, rezeki kita, esok belum tentu. Kunjungan saya sebenarnya pada hari yang agak ’kurang tepat’ sebab menurut Abang Din angin barat masih belum berakhir dan sebab itulah arus agak kuat, dan laut beralun serta kucah.
Kesannya ombak begitu tinggi membadai tebing berbatu sehingga air menjadi keruh.
Menurut Abang Din, waktu terbaik terbaik untuk memikat spesies pelagik yang gemar mengejar umpan bulu ini waktu pagi sebelum matahari memancar terik (antara jam 8 hingga 10.30 pagi) dan lewat petang (jam 3.30 petang hingga lewat senja).
Paling penting, ikan hanya aktif pada air yang jernih dan gemar membuat serang hendap di kawasan berbuih, iaitu sebaik sahaja, ombak memukul batu dan tebing.
Mengelilingi Pulau Song Song, Cikgu Anamis yang menggunakan kekili Shimano Sahara 2500 dan rod keramatnya Viper Venom 10-20lb 7’ setengah mendapat strike pertama.
GT dalam anggaran 600 gram berjaya dibawa naik. Saya yang berbekalkan Shimano Symetre 2500 dan Viper Venom 10-20lb 6’ berjaya menaikkan bluefin trevally.
Riuh rendah Abang Din mengarahkan kami segera melontarkan umpan bulu sebab jika terdapat seekor sudah naik, akan ada gerombolan lain di bawahnya.
Katanya bukan selalu spesies sirip biru ini muncul di sini.
Kami kemudiannya bergerak menuju ke Tukun Terendak, sebuah pulau berbatu paling kecil. Difahamkan, Tukun Terendak sebenarnya sebuah pulau yang besar.
Tetapi selepas dibedil berkali-kali oleh roket pasukan Tentera Australia semasa mereka mendiami Pulau Bidan sekitar tahun 1980-an , pulau ini hancur dan yang tinggal hanyalah pulau batu yang begitu kecil saiznya.
Jelas nasib tidak berapa menyebelahi kami, hanya bersaiz juvenil berjaya dinaikkan. Langsung tiada kelibat GT 2kg ke atas.
Cuma Cikgu Anamis berjaya merasai tarikan ikan yang bersaiz bagak, kerana tali dalam spool Sahara miliknya menjerit nyaring ditarik keluar tanpa dapat ditahan.
Sayangnya, ikan berjaya menyelinap ke kawasan berbatu dan berjaya memutuskan perambut 30lb Xzoga. Aduh sayang sekali.
Kata Abang Din lagi, Tukun Terendak jarang memberikan kehampaan. Ia antara port terbaik GT bersaiz 2 hingga 5 kg.
Wahid pula berkata, semalam juga arus agak kuat, tapi masih ada saiz sekilogram berjaya dinaikkan.
Keadaan alun yang kuat jelas menjadi faktor mengapa ikan tidak berkumpul lama di sesuatu tempat.
Kerapu oh kerapu
Menjelang tengah hari, tiada kelibat GT dan tiba masanya untuk memancing kerapu. Terus sahaja, gewang-gewang selam dalam jenama Halco yang bermacam warna seperti pink, purple, termasuklah warna ’Elton John’ dikeluarkan.
Alamak saya hanya mampu keluarkan gewang main sebarau, mujur ada warna fire tiger. Maklumlah jarang sekali casting di laut. Selalunya hanya main sebarau, toman.
Tapi mungkin juga sebagai salam perkenalan, akhirnya ada juga kerapu dalam anggaran sekilo membedal gewang selam dalam Storm ThunderCrank Flash saya yang juga satu-satunya kerapu tunggal hari ni.
Bila matahari mula bersinar terik, kami mendarat ke Pulau Bidan dan menjamah bekalan nasi yang dibawa.
Kami kemudiannya mengambil kesempatan bersiar-siar melihat persekitaran Pulau Bidan, terutama melihat kesan tinggalan kem tentera Australia sebelum ia diambil alih pihak Tentera Malaysia.
Sayangnya, kawasan bersejarah ini tidak dijaga. Tidak banyak kesan yang masih tinggal, hanya runtuhan bangunan, serpihan pecahan bumbung bangunan dan pokok kelapa yang tumbuh meliar.
Sempat juga, tekong memetik beberapa biji kelapa muda untuk menghilangkan dahaga.
Sekitar jam 3 petang, kami menaiki semula bot dan cuba beberapa kali casting kerapu, sayangnya sang kerapu enggan menyambar puluhan kali gewang yang kami lontarkan. Agaknya kerapu masih tidur kot dalam lubangnya.
Lewat petang, kami sekali lagi menyusuri Tukun Terendak dan Pulau Song Song. Hasilnya naik jugalah beberapa ekor lagi GT dan bluefin trevally. Sekitar jam 7.00 malam, kami mengakhiri trip dengan perasaan puas.
Bagi mengeratkan ukhuwah di antara pemancing yang menggemari spesies haruan sebagai mangsa pertarungan, satu pertandingan secara tertutup telah diadakan bagi mencari siapa juara. Acara yang julung-julung kali diadakan ini mendapat sambutan dari 40 orang peserta yang hadir dari sekitar Lembah Kelang dan juga Perak.
Terusan sawah padi di Kampung Parit 3 Timur, Sungai Besar menjadi lokasi pertarungan antara ahli Kum Kum Caster yang di terajui oleh Mazli atau lebih dikenali sebagai Pak Su ini amatlah sesuai kerana musim padi yang telah tamat dituai membuatkan ikan-ikan di dalam sawah turun ke terusan utama.
Walaupun haruan yang berjaya didaratkan bersaiz sederhana tetapi pengalaman memujuk spesies ini antara yang paling menarik. Ini kerana format pertandingan melarang penggunaan umpan katak hidup, sebaliknya hanya umpan tiruan seperti jump frog, soft plastic ataupun gewang sahaja yang dibenarkan.
Pertandingan yang bermula jam 8.00 pagi pada awalnya menyaksikan cuaca yang cukup cerah namun sekitar jam 10.00 pagi hujan turun di kawasan pertandingan dan memaksa peserta mencari tempat berteduh.
Pertandingan tamat pada pukul 12.00 tengah hari menyaksikan tangkapan terkumpul hanya 6 ekor disebabkan ikan terlalu culas membaham umpan. Hanya yang banyak kes rabut yang membuatkan ikan tidak lekat pada mata kail.
Menggunakan format ikan terpanjang sebagai pengukur saiz 35cm menduduki tempat pertama setelah tiada lagi yang berjaya memintas. Waktu ini sebenarnya terusan sawah berada pada saat akhir sebelum sesi menanam padi bermula dan spesies haruan juga hampir habis dan menunggu kitaran air baru untuk sesi tumbesaran yang seterusnya.
Bagi saudara Edi Nor Hisyam yang juga tulang belakang kepada program mengucapkan tahniah kepada pemenang dan berharap acara ini akan diteruskan pada tahun hadapan bagi mengeratkan ukhuwah persahabatan sesama pemancing.
Hadiah untuk para pemenang telah disampaikan oleh Ketua Kampung Parit 2 & 3 Timur, Haji Ahmad Sabree.
Jika dipancing dengan cara biasa yang anda maksudkan itu ialah pancingan dasar atau bottom fishing, jawapannya ialah boleh.
Secara umumnya, apa saja spesies ikan yang menyambar gewang boleh dipancing dengan teknik konvensional ini.
Ini kerana konsep asal penciptaan gewang adalah meniru morfologi dan aksi ikan, udang atau serangga yang menjadi diet sebenar ikan-ikan pemangsa ini.
Sebaliknya ada beberapa spesies ikan yang boleh dipancing dengan teknik konvensional ini tidak boleh dipancing dengan menggunakan gewang.
Selain pancingan dasar menggunakan pemberat, ikan sebarau dan peacock bass juga boleh dipancing dengan teknik apungan.
Atau lebih mudah untuk difahami dengan menggunakan pelampung sama ada kekal di suatu tempat ataupun dihanyutkan.
Sementara umpan yang sama boleh digunakan bagi kedua-dua teknik ini.
Sebarau dan peacock bass ialah spesies karnivor iaitu haiwan yang memakan benda hidup seperti ikan kecil atau haiwan lain.
Jadi, umpan terbaik untuk memancing kedua-dua spesies ini ialah anak ikan atau kecil yang hidup di habitat yang sama.
Selain anak-anak ikan atau ikan kecil, sebarau dan peacock bass juga boleh dipancing dengan menggunakan anak udang, cacing, cengkerik dan serangga lain.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...