Jenis Snap Yang Padu Tapi Jarang Dipakai

Share

 

Snap adalah perkakasan terminal yang menyambung gewang (atau lain-lain aksesori) dengan peralatan utama pancing. Snap ini dipanggil dengan pelbagai nama. Ada yang memanggil pin dan juga kili atau cili. Namun kili atau cili lebih merujuk kepada swivel iaitu perkakasan terminal kecil yang boleh berputaran bebas. Untuk tidak menimbulkan kekeliruan, saya menamakannya snap atau klip (clip).

 

Hooked snap

 

Snap ini diperbuat daripada pemutaran seutas wayar ringan dengan pembentukan satu gelung bulat dan satu lagi cangkuk berkunci. Cangkuk ini muat-muat masuk ke dalam lubang sarungnya untuk mengunci sistem.

 

Saya masih belum dapat keyakinan untuk menggunakan snap ini tetapi dari makluman penggunaanya, ia pernah mengalami kegagalan beberapa kali yang tidak dapat dijelaskan. Ia cenderung untuk terbuka tanpa sebab dan ia tidaklah kuat.

Ia juga tidak mampu menahan daya sentakan mengejut dari pemangsa yang benar-benar buas. Bagaimana pun ia cukup memuaskan untuk gewang kecil kerana ia sungguh ringan.

 

 

Hawaiian snap

 

Diperbuat daripada seutas wayar berkuatan tinggi yang dibentuk seperti alat pemegang kunci. Memang tidak boleh dinafikan bahawa snap inilah yang paling kuat. Snap ini memang yang terbaik apabila kekuatan dipentingkan untuk apa sahaja, walaupun ia ada beberapa kelemahan.

 

Snap ini tidak didatangi dengan saiz sekecil snap lain dan tak akan muat untuk titik penyambungan yang kecil seperti jighead kerana ketebalan wayarnya berganda pada titik sambungan.

Seperti norman speed clip, jika titik penyambung membabitkan wayar berdiameter lebih halus, ia cenderung untuk terselit di antara lengkok penyambung snap ini dan gewang mungkin tercabut keluar. Pemasangan split ring pada gewang boleh mengatasi masalah. Namun ia lebih sesuai untuk pancingan tugas berat.

 

 

Mustad easy snap

 

Snap mini ini seakan cangkuk yang sangat kecil dengan lengkungan yang membulat. Ia didatangi dengan tiga saiz, namun yang terbesar tetap juga kecil saiznya. Ketebalan wayar setiap snap adalah sama. Cuma saiz fizikalnya berbeza.

 

Anda boleh sambungkannya kepada apa saja, dari soft plastic kecil sehinggalah umpan bulu yang besar. Ia cukup kuat tetapi sangat ringan, malah cukup selamat. Ia seakan tidak wujud biarpun bila disangkut pada gewang paling kecil.

Namun saya tak akan gunakannya kalau pancingan itu memerlukan daya tenaga yang kuat. Beberapa kali snap ini pernah patah akibat tersangkut reba, di mana snap itu sendiri yang diandaikan tersangkut. Lantaran terlalu kecil, agak sukar untuk menanggalkan gewang daripadanya.

 

 

Fas-snap

 

Snap ini berdasarkan prinsip yang sama seperti Mustad easy snap. Namun ia diperbuat daripada wayar yang lebuh tebal dan lebih panjang. Justeru saya rasa ia lebih kuat. Ia digunakan apabila merasakan mustad easy snap tidak sesuai untuk digunakan untuk kegunaan yang lebih lasak.

 

 

Kekuatannya cukup menakjubkan jika dibandingkan dengan saiz dan beratnya. Anda boleh sambungkan snap ini untuk hampir semua jenis gewang. Bagaimana pun oleh kerana ia agak kecil, agak sukar untuk menyarungkannya kepada sesuatu yang menyebabkan ia perlu dikangkang lebih luas.

Tambahan pula disebabkan utas wayarnya cukup kuat, maka gewang juga agak sukar dicabut keluar. Bantuan playar amat diperlukan.

Published by
Amang