Jenis-Jenis Umpan Paling Banyak Diguna Kaki Pancing

Share

 

Banyak lagi sebenarnya umpan yang digunakan kaki pancing namun cukuplah kami senaraikan 10 umpan yang dianggap paling banyak digunakan.

 

Cacing

Umpan paling laris untuk menangkap ikan air tawar. Ia boleh digunakan pada bila-bila masa dan mudah didapati. Antara spesies yang menggemari umpan ini adalah seperti keli, lampam, terbul, susur batang, haruan, puyu, dan banyak lagi.

 

 

Buah Kelapa Sawit

Banyak digunakan untuk memancing kelah bersaiz besar. Cari sawit yang betul-betul masak dan berminyak atau rendam biji sawit selama beberapa hari sehingga ia mengeluarkan bau tengik. Bukan mudah untuk menjatuhkan ego sang kelah. Biji sawit dicangkukkan pada mata kail dan digunakan ketika pemancingan di sungai, hulu sungai atau tasik yang bersambung dengan sungai.

 

 

Ruat

Ruat atau umpun-umpun merupakan umpan yang paling banyak digunakan untuk pancingan muara. Digunakan untuk memancing spesies yang tinggal di habitat berlumpur atau kawasan muara. Ia dapat menundukkan spesies seperti sembilang, gelama, dan udang galah.

 

 

Udang

Salah satu daripada umpan kegemaran ikan. Udang sungai gantung lebih sesuai untuk memancing ikan yang mendiami kawasan sungai pergunungan atau tasik. Udang perlu dicangkuk dengan betul kerana ia mudah mati dan hancur apabila digetu oleh spesies pengacau seperti ketam atau buntal. Banyak digunakan untuk menangkap siakap, jenahak, ikan merah, kerapu, baung, dan banyak lagi.

 

 

Sotong

Sesuai dengan habitatnya di laut, sotong hidup atau hirisan sotong merupakan umpan wajib jika memancing di laut lepas. Tidak kira apa jenis sotong, semuanya amat laku jikan dijadikan umpan.

 

 

Telur Kerengga

Umpan terbaik untuk menjinakkan ikan puyu, sepat atau haruan. Biasanya telur kerengga yang berwarna putih akan dibakar atau direbus. Mungkin pemancing generasi baru saja yang kurang pendedahan menggunakan umpan ini.

 

 

Katak

Umpan terbaik untuk menangkap spesies ikan snakehead. Ikan yang sukakan umpan ini adalah haruan, bujuk, toman dan toman bunga. Selepas memasang katak pada mata kail, cara permainannya adalah sama. Sama ada dibaling tarik atau mengunjunnya pada celahan pokok.

 

 

Belalang

Banyak digunakan untuk memancing ikan air tawar atau ikan sawah. Lokasi terbaik untuk mencari belalang adalah di kawasan pokok keladi atau rumput di tepi parit dan padang. Biasanya kedua belah kaki belalalng dibuang dan dicangkukkan pada mata kail.

 

 

Cengkerik

Mempunyai fungsi yang sama seperti belalang dan lebih mudah didapati. Hanya perlu dibeli di kedai-kedai akuarium sahaja. Banyak spesies juga yang menggemari umpan ini termasuklah ikan pemangsa seperti sebarau dan pacu.

 

 

Gewang

Umpan tiruan dan terbahagi kepada dua jenis, hard lure dan soft lure. Jika pemancingan di laut, kaki pancing menggunakan gewang jenis jig. Berbentuk seperti kebanyakan spesies hidupan laut yang dijadikan umpan. Sesuai untuk menangkap pelbagai jenis ikan pemangsa mengikut rupa bentuk, warna, fungsi, dan masa yang sesuai.

 

Published by
Amang