Inchthyophobia merupakan satu perasaan takut atau fobia pada haiwan dari jenis. Memang pelik kalau ikan pun nak takut. Namun dalam memancing pun ada jenis takut atau fobia tersendiri. Di sini kami senaraikan pula jenis-jenis penyakit takut yang lain pula dalam hobi memancing ini.
Muntahphobia
Penyakit jenis ini juga merupakan penyakit yang agak meluas bilangannya. Ia jauh lebih serius dari inchthyophobia kerana ada yang sanggup tidak berhadapan dengannya meskipun belum pernah mencuba. Fobia yang dimaksudkan ialah takut mabuk laut atau bahasa saintifiknya `muntahphobia’.
Ads
Wifiphobia
Takut jenis ini merupakan penyakit yang paling kritikal dalam hobi memancing. Namun pemancing yang masih bujang terselamat daripada wabak penyakit ini kerana ia hanya dihidapi oleh pemancing yang sudah berumahtangga. Seriusnya tahap penyakit ini sehingga tertubuhnya kelab PTB iaitu Pemancing Takut Bini. Jika hendak diistilahkan, `wifiphobia’ mungkin paling tepat.
Ads
Shopeephobia
Satu-satunya penyakit yang boleh merosakkan mata (mata pencarian) dan boleh menyebabkan kekurusan melampau pada dompet. Penyakit yang dimaksudkan takut untuk masuk ke kedai pancing. Takut jenis tak boleh mengawal diri dari shopping berlebihan. Malah ada juga yang tidak berani untuk online sosmed kerana takut tak boleh control online shopping pulak.
Ads
Kumpauphobia
Ia merupakan sejenis penyakit atau fobia yang dihadapi oleh hampir semua pemancing. Bohong la kalau pemancing itu langsung tak takut dengan fobia jenis ini. Malah ada yang sanggup tidak pergi memancing semata-mata takutkan penyakit ini. Jika inchthyophobia ialah takut pada ikan, kumpauphobia pula ialah perasaan takut tak dapat ikan atau kumpau.
Kecamphobia
Penyakit jenis ini boleh menyebabkan penghidapnya takut nak memancing. Bukannya takut nak memancing kerana ada hantu atau kejadian jenayah, sebaliknya takut kena kecam oleh netizen. Nak pancing ikan tu takut netizen ni kecam, nak pancing ikan ni takut netizen lain pulak yang kecam. Sudahnya langsung tak memancing dan jadi macam netizen lain yang mengecam pemancing-pemancing.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Penting untuk memastikan ikatan sambungan tali dan leader kuat bagi mengelakkan kes-kes berputih mata.
💡 PERIKSA DRAG REEL ANDA
Drag memainkan peranan penting sewaktu pertarungan dengan ikan. Sentiasalah memeriksa drag anda agar tidak terlalu longgar, mahupun terlalu ketat kerana ini boleh memberi peluang kepada ikan meloloskan diri.
💡 PERIKSA KONDISI TALI PADAREEL
Tidak kiralah sama ada anda mengguna braided atau mono. Pemeriksaan tali memang sangat penting.
Banyak berlaku kes-kes rabut akibat daripada tali yang sudah lama atau reput. Seelok-eloknya tukar tali anda dengan agak kerap mengikut kesesuaian.
💡 BAWA UMPAN DALAM KUANTITIYANG MENCUKUPI
Faktor umpan tak mencukupi memang selalu berlaku ketika keluar memancing. Bayangkan, tengah syok layan ikan, tiba-tiba umpan tak cukup, mesti potong stim kan?
Jadi, sentiasalah bawa umpan yang mencukupi. Berlebihan sikit pun tak apa, asalkan anda takkan putus umpan.
💡 JANGAN BIARKAN ROD TANPAPENGAWASAN
Kes joran terbang ke laut atau sungai, tali habis dan macam-macam lagi memang selalu terjadi bila tiada pengawasan daripada anda.
Jadi, kalau nak jadi pemancing berjaya, sentiasalah mengawasi rod anda, bagi mengelakkan rod anda lebur menjadi tukun di dasar laut, sungai ataupun tasik.
💡 PASTIKAN TUKANG GANCU ATAUSAUK SANGAT BERPENGALAMAN
Ini juga penting kerana, kebiasaannya ikan akan gemar melakukan kejutan di saat-saat akhir.
Bayangkan kalau tukang tangguk atau gancu anda terkial-kial hendak menaikkan ikan dan ikan memecut di saat akhir. Pastinya ia akan membawa kegagalan buat anda.
💡 PASTIKAN KONDISI SET PANCINGANDA DALAM KEADAAN BAIK
Rod, reel, mata kail dan sebagainya harus sentiasa diambil berat kondisinya. Pastikan set pancing anda disimpan di tempat yang selamat lepas digunakan. Ini bagi mengelakkan ia rosak di kemudian hari.
💡 RANCANG TRIP MEMANCINGMENGIKUT KESESUAIAN WAKTU
Untuk menjadi pemancing berjaya adalah penting untuk anda sentiasa merancang trip memancing anda mengikut kesesuaian musim.
Ambil tahu keadaan tempat memancing, jenis ikan dan teknik terbaik sebelum anda keluar memancing.
Lubuk yang terbaik memang sering menjadi perhatian kaki pancing yang lain. Jadi untuk mengelakkan bersesak-sesak memancing di satu lubuk, adalah baik untuk kita mempunyai ‘back-up plan’ lubuk memancing kita sendiri bila situasi seperti ini terjadi.
💡 PELBAGAIKAN TEKNIK UNTUKHASIL YANG TERBAIK
Kita tidak akan pernah tahu teknik apa yang akan menjadi pilihan ikan pada hari kita memancing.
Jadi, adalah wajib bagi setiap kaki pancing cuba mempelbagaikan teknik yang anda tahu untuk mendapatkan hasil yang terbaik.
💡 PERIKSA KEADAAN CUACA
Ini adalah penting untuk keselamatan anda. Jika keadaan benar-benar tidak mengizinkan adalah lebih baik untuk anda membatalkan hasrat keluar memancing.
Jangan sekali-sekali cuba untuk menggadai nyawa anda keluar memancing sewaktu cuaca tidak mengizinkan.
Rakan baik saya Syamil ajak menjala di Tasik Teja, sebuah tasik yang masih belum tercemar dan terletak di kawasan pedalaman di bahagian utara Semenanjung Malaysia. Kami pergi berempat dengan ditemani Zarim dan Chak.
Pakcik Mat, pemilik bot sudah sedia menunggu di jeti. Rupa-rupanya Syamil telah merancang semua aktiviti menjala dan memancing dengan penuh teliti.
Perjalanan dari jeti ke port pertama memakan masa hampir 45 minit. Spot yang dipilih ini betul-betul terletak di sebuah kuala sungai yang menganjur masuk ke dalam tasik dan kami merancang akan bermalam di situ.
Syamil menyuruh kami memasang khemah dan mencari kayu api untuk persediaan memasak dan membuat unggun api. Saya pula ditugaskan untuk memasak. Memandangkan hari sudah beransur petang, saya terus membasuh beras untuk ditanak.
Lauk untuk malam itu ringkas sahaja. Sambal sardin, telur dadar berulamkan timun Jepun yang dibekalkan oleh isteri saya. Saya juga membancuh air kopi O satu cerek besar yang bakal diminum untuk menahan mata daripada mengantuk. Siap semuanya, barulah saya mengeluarkan jaring dan mula membetulkannya dengan dibantu oleh Chak.
Ketika meranduk tebing sungai sedalam paha untuk mengambil wuduk, saya dikejutkan dengan kehadiran tujuh jenis bunga yang mengalir tenang di hadapan saya. Bunga melur, mawar, kenanga, kekwa kuning, dan tiga jenis lagi yang tidak saya ketahui namanya seolah-olah cuba menarik perhatian saya untuk terus memandang hingga hilang dibawa arus.
Sesaat itu juga saya tercium bau limau purut yang sangat menyegarkan menusuk masuk ke hidung. Saya beristiqfar seketika sebelum meneruskan hajat mengambil wuduk. Tidak saya ceritakan kepada kawan-kawan peristiwa yang baru berlaku itu.
Malam itu saya memasang jaring di beberapa lokasi yang dicadangkan oleh Syamil dengan menaiki bot. Aktiviti menjala tidak dapat dilakukan kerana kawan-kawan berasa letih dan mengantuk. Malam itu saya bermimpi jaring yang saya pasang berjaya ‘menangkap’ seorang puteri jelita yang sedang mandi-manda di sungai itu bersama beberapa dayangnya.
Tuan puteri itu menangis-nangis merayu agar saya melepaskan dia. Katanya, andai saya membantu dia, dia berjanji akan memberikan saya sesuatu yang berharga.
Saya tersentak daripada tidur dan terus mengucap dan beristiqfar. Sempat saya memandang jam. Tepat jam dua pagi. Saya mengambil keputusan untuk mengambil wuduk kembali dan saya memberanikan diri memeriksa dua jaring yang saya pasang.
Saya mendayung perlahan bot dengan bantuan lampu suluh. Pada jaring pertama, kosong. Tiada langsung ikan mengena. Pada jaring kedua pula, saya temukan seekor ikan kecil bersisik emas yang tidak meronta lagi. Seolah-olah sudah pasrah dengan nasib yang menimpa dirinya. Saya mengambil keputusan untuk melepaskan ikan kecil bersisik emas itu.
Keesokan harinya, saya terkejut apabila melihat dua jaring yang saya pasang penuh dengan ikan kelah, sebarau dan baung. Kami seolah-olah berpesta ikan hingga penuh tong ikan yang kami bawa.
Saya juga menjumpai sebentuk cincin berbatu hijau di dalam perut ikan kelah yang saya bersihkan untuk dijadikan hidangan makan tengah hari. Lebih mengejutkan cincin itu memang sesuai dengan jari manis saya.
Perjalanan menuju ke port idaman dengan berjalan kaki dari tempat letak kenderaan mengambil masa hampir dua jam. Setelah bermandi peluh mengangkut barang-barang perkhemahan, barulah tempat yang dianggap strategik dijumpai. Kami terus memasang khemah dan menyediakan umpan bagi memulakan misi pemburuan. Saya memang gemar dengan kaedah casting.
Tidak kira ikan spesies apa, yang penting kaedah casting ini memang menjadi ‘makanan’ saya. Lebih-lebih lagi bila ikan sebarau yang menyambar umpan. Terasa feel yang menakjubkan tatkala ia menyambar gewang.
Petang itu, kemeriahan memang terasa di port kami. Lauk untuk hidangan malam pastinya ikan baung rebus asam dan ikan sebarau panggang cicah dengan kicap bersulamkan cili api.
Berbaloi rasanya trekking jauh ke tengah hutan, mendapat pot yang bagus dan dapat membaling gewang dicelah-celah bongkah kayu hingga berjaya menaikkan sebarau seberat 1-2 kg setiap seekor. Saya terasa bagaikan seorang sniper!
Malam itu, hujan turun renyai-renyai. Kami berempat mengambil keputusan untuk berehat sahaja di dalam khemah. Tetapi Asmadi yang terkenal dengan gelaran Madi Ayam mengambil keputusan untuk memasang jerat bagi menangkap ayam hutan yang dikatakan banyak terdapat di situ.
Sahabat saya, Aidil bercadang untuk mengikut Madi memasang jerat. Shahril yang tidur di sebelah saya sudah lama berdengkur di buai mimpi setelah membelasah tiga pinggan nasi panas akibat penangan baung masak asam.
Cuma saya yang terkebil-kebil sejak Madi dan Aidil meninggalkan khemah setengah jam yang lepas. Puas saya mengiring ke kiri dan kanan sambil memujuk mata ini supaya terpejam lena namun tahap mengantuk saya masih lagi sifar. Akhirnya saya duduk bersila di dalam khemah sambil mata memandang cemburu ke arah Shahril yang tidur berdengkur-dengkur sejak tadi.
Sayup-sayup di telinga, saya terdengar bunyi riuh rendah suara orang berbual-bual. Saya cuba picingkan telinga untuk mendengar dengan lebih jelas. Sah, di luar kawasan khemah saya bagaikan ada keramaian yang sedang berlangsung dalam keadaan meriah.
Suara budak berlari, menjerit, suara wanita berbual sambil ketawa, semuanya jelas pada pendengaran saya. Sesaat itu juga, bulu remang saya tegak di tengkuk. Darah saya bagaikan berhenti mengalir dan badan mula berasa seram sejuk.
Teragak-agak saya sama ada mahu keluar dari khemah atau duduk membatu di dalam. Saya perhatikan Shahril yang masih lagi ‘pengsan’. Tidak teragak langsung untuk mengejutkan Shahril bagi menemani saya keluar dan memeriksa apa yang sedang berlaku. Semuanya bagaikan blur pada saya. Namun atas desakan naluri yang kuat, saya mengambil keputusan untuk keluar melihat.
Sebaik sahaja zip khemah saya kuak, terbentang di hadapan saya satu pemandangan yang luar biasa. Saya kini berada di tepi khemah orang kahwin yang berhias cantik. Terdapat pelamin indah yang dihiasi dengan daun kelapa yang dianyam dan bunga-bunga segar berwarna merah dan kuning. Namun tempat duduk untuk makan di dalam khemah beratapkan nipah itu hanyalah bongkah kayu yang dipotong bulat.
Budak-budak berumur lima enam tahun berlari-lari anak di dalam kawasan khemah dengan riangnya.
“Assalamualaikum sahabat,” tiba-tiba bahu saya disapa lembut dari belakang. Saya sedikit terpinga-pinga.
Huluran tangan seorang lelaki berjubah putih, berserban kemas dan mukanya yang jernih saya sambut dengan jawapan salam.
“Silakan menikmati makanan yang ada. Jangan risau. Semuanya halal dan berada dalam pemeliharaan Allah SWT,” kata lelaki itu sambil tersenyum. Tangannya memegang tasbih yang sentiasa bergerak.
“Jangan risau. Kamu dan kawan-kawan selamat di sini selagi tidak mengganggu kawasan kami,” terang lelaki itu lagi seolah-olah menjawab soalan yang terdetik di dalam hati saya.
Saya dibawanya duduk di dalam kawasan khemah sambil menikmati nasi, lauk daging yang amat lazat rasanya berserta ulam-ulam hutan yang saya sendiri tidak kenal.
Setelah perut terasa kenyang, barulah saya meminta diri untuk pulang. Lelaki itu melepaskan saya setelah kami bersalam dan dia mendakap saya dengan erat. Bau lelaki itu sungguh wangi bagaikan memakai minyak atar.
Saya melangkah pulang mengikut kabus yang datang tiba-tiba. Sebaik kabus menghilang, saya sudah berada di tepi kawasan khemah. Saya ternampak tiga orang sahabat saya sedang sibuk mencari sesuatu.
“Kau orang cari apa?” tegur saya. Shahril yang melihat saya terus meluru lalu memeluk saya dengan matanya yang merah. Begitu juga dengan Madi dan Aidil. Mereka bagaikan sudah bertahun-tahun tidak berjumpa dengan saya!.
“Kenapa ni?” tanya saya. “Kau tahu berapa lama kau tinggalkan khemah ni?” tanya Madi. Saya menggeleng. Seingat saya, mungkin tidak lebih satu jam.
“Kau tahu dah pukul berapa sekarang?” asak Aidil pula. Saya masih menggeleng bagaikan orang mamai.
“Dah pukul tiga petang Din. Mana kau pergi dari malam tadi?” sekali lagi Madi menyoal saya.
Sekali lagi saya terperanjat mendengar jawapan Madi. Khemah sudah dikemaskan. Begitu juga dengan barang-barang yang lain. Tidak sampai lima belas minit, kami sudah meninggalkan pot sebarau dan baung itu.
Hanya di dalam kereta, saya bercerita tentang pengalaman aneh yang saya alami. Sesungguhnya di dalam dunia yang nyata ini, masih ada lagi dunia ghaib yang hanya dapat dirasai oleh orang-orang yang ‘terpilih’. Wallahualam.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...