Jenis-Jenis Candat Sotong

Share

Candat atau squid jig merupakan alat yang direka khusus untuk memancing sotong. Justeru apabila menyebut candat maka secara automatik ia akan dikaitkan dengan sotong. Terdapat pelbagai jenis candat yang terdapat di pasaran kita dan masing-masing mempunyai satu persamaan iaitu untuk menjerat sotong pada dawai tajamnya.

 

CANDAT TWIST

Candat twist lazimnya berfungsi sebagai pemberat. Ia diperbuat daripada timah (ada juga yang mengubahsuai batu ladung), dan badannya dibalut dengan kain atau tali sulam yang berkilat terang atau mampu memantulkan cahaya. Ia turut dilengkapkan dengan mata kail candat yang berfungsi sebagai penyangkut sotong. Selain berfungsi sebagai pemberat, ia turut sama berupaya untuk memerangkap sotong dan tersangkut pada mata kailnya.

 

CANDAT MAYAT

Candat mayat lebih merujuk kepada bentuk seumpama bentuk mayat yang dikafankan. Ia lazimnya diperbuat daripada plastik atau getah yang mampu menyerap dan memantulkan cahaya. Badannya dibalut dengan fabrik nipis berkilau dengan pelbagai warna. Ia turut dilengkapi satu atau dua sisir mata kail. Tanpa kehadiran pemberat, ia perlu digunakan bersama pemberat. Candat twist lazimnya digunakan sebagai pengganti pemberat.

CANDAT UMPAN

Candat umpan lebih merupakan alat yang diperbuat daripada besi atau dawai keras sebesar lidi kira-kira sejengkal dan bersisir dengan mata kail dibawahnya. Sepadan dengan nama candat umpan, ia perlu dicucuk dengan ikan sebagai umpan untuk menarik perhatian sotong. Dan penggunaan pemberat diperlukan bagi mempercepatkan proses ia tenggelam ke dasar laut.

 

CANDAT UDANG

Candat udang atau squid jig sebenarnya adalah gewang tiruan berbentuk udang yang dilengkapi mata kail bersisir, yang lazimnya digunakan untuk mencandat sotong mengabang. Dalam masa yang sama ia turut berkesan untuk mencandat sotong torak atau sotong jarum. Namun ia tidak sesuai digunakan secara berangkai (teknik apollo dua atau tiga candat) seperti mana candat mayat berikutan kehadiran pemberat akan menyebabkan ia mudah berpintal dengan perambut.

 

CANDAT IKAN

Candat ikan atau turut dikenali sebagai candat buntal lebih merupakan candat yang direkabentuk seperti ikan. Ia mempunyai ciri-ciri ringan dan tiada pemberat. Badannya pula agak gemuk dan gempal. Berikutan keberkesanannya bergantung kepada kualiti penghasilannya, ia kurang popular dan tidak banyak digunakan. Namun candat mayat yang berkualiti mampu mengatasi keberkesanan candat-candat lain.

Published by
Amang