Selalunya pertandingan memancing diadakan pada waktu-waktu tertentu sahaja, berlainan dengan team Jelajah Joran Otaimer atau dikenali sebagai JJO, mereka mengambil
pendekatan berbeza bagi menyambung silaturahim atau ukhwah sesama mereka dan juga sahabat-sahabat yang sukakan rentapan getaran sang sepit biru.
Udang galah atau Jenggo yang banyak memberi harapan buat para pemancing tegar untuk membawanya pulang sekaligus menjuarai acara yang dipertandingkan.
Buat kali yg ke-3, JJO telah mengadakan acara memancing udang galah dalam suasana raya di bulan Syawal bagi mencari juara di pertandingan tersebut.
Apa yang menariknya tema dan pemakaian mestilah memperagakan pakaian hari raya bagi memastikan semua peserta terasa kemeriahannya.
Seramai 56 orang telah menyertai pertandingan memancing udang galah pada 23 Jun lalu di Batu 3, Batak Rabit, Teluk Intan.
Kemeriahan terasa bila ada peserta yang membawa lemang dan rendang juga kuih-muih juadah raya bagi menjamu sesama pemancing yang menyertai pertandingan.
Pertandingan bermula jam 9.00 pagi itu dimulakan dengan ada yang memakai pakaian raya sampai ke petang. Acara juga tamat pada pukul 5.30 petang.
Ads
Setelah tamat pertandingan segala hasil akan dibawa ke meja urusetia untuk diadili. Kategori yg dipertandingkan adalah; Juara udang galah terberat raya, Juara ikan terberat
raya, Juara tangkapan misteri raya, Juara tekaan di Facebook, Juara pakaian raya terbaik, Tangkapan pecah boll yang melebihi 340gm.
Mengikut kata urusetia pertandingan JJO, En. Mohd Helmi Basir, Ini adalah pertandingan yang ke-35 di Sungai Perak, selain itu kami juga pernah mengadakan pertandingan di Temerloh Pahang.
Ads
Acara ini juga diadakan setiap 2 bulan sekali bagi memenuhi kehendak sahabat2 jenggo yg gigil kata mereka jika tak turun ke sungai.
Berbeza dengan turun berseorangan atau berdua, mereka memilih untuk beramai-ramai di atas sungai sambil menikmati alam sekitar dan juga jumpa kawan2 sehobi yg boleh bertukar idea,skill serta kurangkan stress setelah seminggu bekerja.
Keputusan pertandingan:
Ads
Juara ikan terberat – Zul Metal (715gm)
FB Contest (teka berat udang) – Alimah Reckon (130gm)
Dalam tempoh kurang sebulan, tiket kapal terbang terus ditempah sebaik sahaja Hairie menerima informasi berkenaan lokasi memancing di Kepulauan Borneo, rentetan daripada cerita-cerita hangat berkenaan ikan sungai pergunungan bersaiz mega yang terdapat di Kalimantan, Indonesia terutamanya dari Berau.
Nama daerah Long Bawan terus bermain di fikiran kerana ia akan menjadi lokasi utama tujuan kami. Kami bertiga dari ‘Streik Fishing Adventure’ termasuk saya (Ursin) dan Papa Gmie dengan kerjasama pengeluar gewang jenama Rasengan terus membuat perancangan sebaik mungkin berdasarkan maklumat yang sangat terhad.
Seminggu sebelum bertolak, kami telah mula sibuk memastikan segala keperluan tersedia terutama sekali peralatan memancing yang sebahagian besar ditaja oleh pihak Rasengan yang terletak di Seksyen 27, Shah Alam.
Jauh Perjalanan, Luas Pemandangan
Pada tarikh dan waktu yang telah ditetapkan, kami berangkat dari KLIA2 menuju ke Kota Kinabalu, Sabah. Kenderaan pacuan empat roda yang telah diubah suai sepenuhnya untuk meredah laluan ‘Off Road’ menyambut kedatangan kami.
Rakan kami, Ah Fui yang berasal dari Sabah sememangnya menjadi orang harapan untuk kami sampai ke Long Bawan terus sahaja memandu kereta menuju ke Lawas, Sarawak sejauh 200km. Lawas merupakan bandar terakhir sebelum kami meneruskan perjalanan sepenuhnya melalui jalan balak menuju ke Ba’kelalan sejauh 140km.
Kami tiba di Ba’kelalan pada lewat malam dan terpaksa tidur di tepi jalan memandangkan pintu sempadan ke Indonesia telah ditutup seawal jam 6 petang. Pengalaman tidur di kawasan terbuka dan tinggi tidak dapat dilupakan terutama suhu sejuk hingga menusuk ke tulang.
Hari ke-2, seawal jam 7 pagi kami bersiap meneruskan perjalanan menuju ke Long Bawan. Setelah di periksa oleh pihak tentera kedua-dua negara ketika di pintu sempadan, pemandangan dan perubahan budaya sepanjang perjalanan ke Long Bawan menjadi topik utama perbualan kami.
Kami disambut oleh Philipus setibanya di Long Bawan setelah menempuh perjalanan ‘off road’ untuk lebih kurang 2 jam dari pintu sempadan. Philipus merupakan warga tempatan yang ditugaskan menemani serta menguruskan keperluan kami sepanjang ekspedisi kami di Long Bawan.
Dengan menjadikan pelian sebagai ikan sasaran utama, kami bertolak ke sebuah kampung bernama Long Umung, lebih kurang 15km dari pekan Long Bawan. Long Umung adalah kampung terakhir yang boleh dilalui dengan pacuan empat roda. Kami menginap di rumah Kepala Desa pada malam harinya kerana tiada tempat penginapan lain.
Kami meneruskan perjalanan dengan hanya berjalan kaki menyusur denai pada hari ke-3 bermula dari Long Umung ke kampung Wa’yagung. Khidmat ‘malim gunung’ seramai 4 orang dari suku kaum Dayak untuk membawa segala barangan sangat berbaloi bagi kami untuk perjalanan sejauh 25km merentas kawasan pergunungan.
Kami tiba di tapak perkhemahan di tepi sungai lewat senja. Sangkaan saya sungai tersebut merupakan lokasi pancingan meleset sama sekali, keesokan harinya seawal pagi, kami berpecah kepada 2 kumpulan.
Kumpulan pertama kekal memancing dan menginap disitu manakala saya dan Hairie bersama 3 juru pandu meredah hutan tebal mendaki gunung hingga mencecah 1400 meter dari aras laut menuju ke sebuah kampung yang telah ditinggalkan lebih 80 tahun.
Jarak 15km cukup meletihkan kerana laluan denai tersebut seakan hilang dari pandangan. Hanya bergantung sepenuhnya pada jurupandu yang sesekali mencantas anak pokok membuka jalan.
Long Dango
Kami tiba di kampung tinggal yang dikenali sebagai Long Dango pada jam 3 petang. Keletihan sepanjang perjalanan tersebut hilang sebaik sahaja keindahan sungai yang dipenuhi lubuk berpotensi terhidang di depan mata.
Tambahan pula, kami tiba di lokasi sebenar untuk memancing hanya pada hari ke-4 sedangkan kami hanya merancang 7 hari untuk keseluruhan ekspedisi, bermakna kami hanya ada masa lebih kurang 3 jam utk memancing kerana pukul 6 petang waktu tempatan, hari akan gelap.
Set pancing segera disiapkan dan kami terus mengilat di lubuk berhampiran tapak khemah. Balingan pertama saya terus disambar penghuni lubuk, namun sayangnya gagal didaratkan. Sambaran kedua membuatkan saya lebih berhati-hati.
Sesudu yang dibaling kali ini disambar sang pelian (kelah) yang memberikan tentangan hebat. Lariannya yang kuat serta melawan arus memberikan kepuasan tersendiri berbeza dengan tentangan dari ikan bersisik yang lainnya di sungai-sungai pergunungan.
Pancingan 3 Jam yang berbaloi
Memancing di sini sangat mengujakan apabila hampir setiap balingan dibuat akan disambut penghuni sungai tersebut yang semestinya ikan pelian berskala 2-4 kg seekor, sesekali disulam oleh ikan barong (sebarau). Walau hanya 3 jam, kami berjaya mendaratkan berpuluh-puluh ekor pelian yang sebahagian besarnya dilepaskan semula.
Penggunaan sesudu berjaya memikat ikan pelian dengan lebih mudah berbanding penggunaan gewang. Ternyata sesudu dari Rasengan yang dibekalkan (saiz 7, 10 dan 14 gram) tidak mengecewakan kami.
Saya yang turut dibekalkan Joran Abu Garcia Hornet Stinger Baretta 10-20lbs MH6’6” untuk diuji juga dapat mendaratkan mangsa dengan mudah. senang cerita lontarkan sahaja sesudu dan karau secara bersahaja je sudah cukup untuk sang pelian menyambar rakus.
Berbaki 3 hari, bermakna kami harus mengejar waktu atau terlepas tiket pulang yang ditempah awal. Kami terpaksa keluar dari lubuk pelian pada hari ke-5 seawal pagi yang mungkin menuju ke kampung Wa’yagung sebelum meneruskan perjalanan ke Long Umung keesokan harinya dengan menyewa motosikal meredah denai.
Hari yang sama juga kereta dipandu tanpa henti dan tiba di Lawas untuk bermalam. Kami akhirnya sempat pulang seperti dijadualkan. Perjalanan 7 hari pergi dan balik hanya sempat memancing selama tiga jam di lokasi mencatatkan seribu satu kenangan suka dan duka buat kami bertiga sepanjang ekspedisi ini.
Ikan tembaring atau kanai memang spesies yang saya idamkan untuk memancingnya sejak sekian lama.
Namun belum pernah ada kesampaian lagi untuk memancingnya. Kalaulah Sabah tu dekat sahaja dan boleh berkereta dari Semenanjung, tentu sudah lama saya sampai.
Perkenalan dengan rakan dari Sabah, iaitu Ralf dan Alam yang bekerja di Semenanjung telah membuka pintu untuk saya sampai ke sana.
Itupun selepas mereka meracun saya dengan gambar-gambar tembaring dalam trip mereka terdahulu.
Selepas berbincang, lepak di kedai makan dan bersembang di whatsapp, saya akhirnya menjejakkan kaki kali pertama di bumi Sabah atau lebih tepat lagi di Sandakan iaitu di kampung halaman mereka sendiri.
KHAMIS (Day 1/6)
Setibanya di Lapangan Terbang Sandakan, kami bertiga, saya, Ralf dan Alam dijemput oleh adik Alam, Ulek dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda menuju ke Kampung Sugut yang terletak kira-kira 4 jam perjalanan dari Sandakan.
Hari pertama tiba di Kampung Sugut, kami hanya berehat sahaja di rumah dan saya mengambil kesempatan bersiar-siar di sekitar kampung.
Malamnya kami menyiapkan peralatan senjata tempur.
Perasaan saya agak bercampur baur memikirkan bagaimanakah memancing ikan ini. Akhirnya saya terlelap buat kali pertama di bumi Negeri Di Bawah Bayu ini.
JUMAAT (Day 2/)
Selepas bersarapan, kami menuju ke di jeti berhampiran kampung berkenaan. Hanya lima minit sahaja dari rumah Alam dan lokasi pencarian tembaring adalah di Sungai Paitan.
Selain nama tembaring dan kanai, orang di sini juga menyebutnya dengan nama ‘temaing’.
Di situ telah tersedia dua buah bot dan rakan lain yang menunggu kami. Saya, Ralf, Ujang menaiki bot yang dibawa oleh Daus.
Manakala sebuah bot lagi yang dibawa oleh Farhan dinaiki oleh Ustaz Syukri, Alam dan Ulek.
Selepas 30 minit menaiki bot, kami memulakan trolling dan juga casting. Menurut Daus, mereka di sini lebih gemar bermain trolling dan bottom.
Sesekali sahaja melakukan kaedah casting. Namun pagi tersebut, kami kumpau sekumpaunya.
Selepas solat Jumaat, kami sekali lagi turun ke lokasi tidak jauh dari susur sungai yang pertama tadi.
Hasilnya kami berjaya memperoleh siakap merah, kerapu, baby GT dan juga anak alu-alu. Tiada tembaring berjaya di perolehi.
Setibanya dia sebuah persimpangan sungai yang agak strategik dengan keadaan struktur kayu bakau dan nipah yang tenggelam kami memberhentikan sampan.
Menurut tekong, inilah lokasi di mana banyak tembaring bersaiz mega pernah dinaikkan.
Apa lagi tanpa membuang masa saya dan Ralf memulakan sesi casting. Setelah lama memujuk penghuni dasar tiada seekor pun yang sudi menjamah.
Kami meneruskan sesi trolling di kawasan tersebut. Baru seminit Ralf menunda rod Megabass Destroyer dipadankan dengan kekili Shimano Exsense DC telah menerima sentapan kasar.
Gewang Zerek saltwater series dengan kekuatan tali sulam 40lb berserta tali perambut Sufix 50lb ditekan ke bawah.
Keadaan menjadi kelam kabut disebabkan tali keluar mencurah-curah. Hanya beberapa minit bertarung ikan berjaya melepaskan diri.
Kami melihat kesan ragutan ikan memang sah ini tembaring. Jelas tertera gigitan bersaiz 1 inci seperti pontianak bak kata tekong kami. Anggaran saiz dalam 3 kilo ke atas.
Di penghujung waktu petang, saya dikejutkan bunyi sambaran yang kuat oleh bot di sebelah. Rupa-rupanya Ustaz Syukri yang melontarkan gewang pensil ke arah tebing, telah mendapat satu sentapan kuat.
Saya melihat bagaimana Ustaz Syukri bergasak menahan tali dari terus keluar dari spool kekilinya.
Disebabkan setup yang digunakan oleh Ustaz Syukri agak kasar, iaitu rod PE 1-3, kekili Penn Conflict 4000, tali braided 40lb dan perambut 50lb, akhirnya tembaring seberat 3.7 kg memihak kepadanya.
Kami semua tumpang gembira dengan tangkapan tersebut, lebih-lebih lagi empunya diri yang baru berjinak dengan teknik casting.
Ini menambahkan lagi semangat kami yang tengah berkobar-kobar memburu ikan pujaan kaki casting Lewat petang, kami pulang semua ke jeti Kampung Sugut sambil memujuk hati saya, “esok masih ada”.
Pucuk dicita ulam mendatang, hujan dicita banjir mendatang. Hampir kesemua ahli Alucast yang menyertai Megatrip menaruh harapan bakal bertemu dengan monsun gelombang kedua. Doa dan harapan seperti termakbul apabila beberapa hari sebelum bermulanya trip, hujan mula turun di pantai timur.
Bahkan lebih dari yang diimpikan apabila monsun yang dicita, bah pula yang mendatang. Lantas, cabaran dan halangan pun turut sama menjelma apabila beberapa tempat dan jalan ke Tasik Kenyir dinaiki air. Dan terpaksalah menempuh lencongan demi lencongan untuk sampai ke destinasi.
Ironinya, setibanya di Pangkalan Gawi pada petang harinya cuaca baik-baik saja. Seolah-olah monsun belum tiba di Tasik Kenyir. Cuaca yang baik memudahkan urusan ahli trip yang tiba awal dalam urusan loading barangan dan bot laju masing-masing sekadar dibasahi peluh.
Ternyata cuaca tidak kekal lama. Menjelang senja, hujan turun dengan lebat dan berhenti untuk seketika saja membawa ke malam hinggalah keesokan harinya. Tatkala kesemua ahli megatrip seramai 69 orang dengan 33 buah bot laju yang majoritinya bot aluminium berserta 3 buah boathouse bersedia untuk memulakan trip, hujan masih turun merengek seperti tiada mahu berhenti.
Trip selama 5 hari 4 malam ini merupakan penyertaan kedua buat saya atas tajaan Hasya Joran yang merupakan penaja hadiah bagi trip memancing kelab pemancing terbesar tanah air ini. Kali ini saya berpeluang pula rakan casting kepada Nik Ammar, pemilik Hasya Joran Kota Bharu yang pernah menghiasi muka depan Majalah Umpan.
Namun secara peribadi, seperkara utama kenapa saya begitu teruja untuk menyertai megatrip ini adalah inilah peluang untuk bertemu, memancing dan menuntut ilmu dari otai-otai dan sifu-sifu seperti Azuan Man, Azman Din, Rosli Rod, Abang Enal, Haji Md Nor, Haji Din Koko dan ramai lagi.
Tak ketinggalan selebriti dunia memancing tanah air, Nasir Yusof… Kebabomm! Hari pertama lebih kepada sesi pemanas badan yang sememangnya perlu dipanaskan lantaran seharian casting di dalam hujan. Ekoran yang berterusan juga, mana-mana pemilik bot laju yang tidak memiliki bilge pump atau beroperasi secara manual terpaksalah bersengkang mata bagi mengelak bot daripada karam.
Hari kedua, kawasan taman negara khususnya di Gua Bewah menjadi padang casting dan trolling. Perubahan warna dan paras air di Tasik Kenyir mula ketara. Kejadian tanah runtuh dan gelinciran tanah dapat dilihat di merata pulau dan tanah besar. Begitu juga dengan kesan-kesan kejadian kepala air.
Dan ditambah dengan hujan turun dengan lebat, harapan untuk berpesta sebarau ternyata tidak kesampaian. Walau bagaimana pun faktor itu semua tidak menjejaskan Ah Biau, ahli trip undangan mendaratkan seekor siakap seberat 14.9 kg hasil casting di belakang Gua Bewah.
Hari ketiga, situasi dan keadaan cuaca masih sama. Hujan seperti tidak mahu berhenti dan ingin menenggelamkan Tasik Kenyir. Namun semangat ahli-ahli trip untuk keluar casting sedikit pun tidak luntur.
Meskipun ada sebahagian kecil ahli yang mana tapak kakinya mula diserang kutu air akibat berendam dan kebasahan sepanjang hari. Lantaran hujan berterusan yang mengakibatkan banyak lubuk berpotensi menjadi keruh dan berkeladak, pencarian sebarau bertambah sukar.
Maka pulau-pulau yang ditenggelami air dan suak-suak yang tidak terlalu keruh menjadi spot terbaik menerima strike dari sebarau.
Hari keempat juga tiada banyak bezanya. Malah situasi di Tasik Kenyir semakin menyedihkan dan menakutkan. Saya sendiri berhadapan dengan situasi yang mendebarkan. Tatkala sedang asyik menerima strike demi strike di sebuah sebuah suak, tidak semena-mena ada balak tumbang ekoran gelinciran tanah.
Bahkan banyak lubuk yang tidak selamat untuk diuji ekoran banyak pokok balak yang menanti waktu untuk tumbang. Malam keempat yang merupakan malam terakhir adalah malam yang dinantikan. Malam penganugerahan kepada ahli-ahli yang memperolehi tangkapan terbaik, penghargaan kepada ahli terbaik tahunan, serta cabutan bertuah berupa barangan pancing dari penaja-penaja.
King Of Sebarau disandang oleh Haji Din Koko dengan tangkapan seberat 1.95 kg, King Of Toman disandang oleh Chor Norzaili dengan tangkapan seberat 4.15 kg dan King Of Siakap dijulang oleh Ah Biau dengan tangkapan seberat 14.9 kg. Manakala Man Of Alucast disandang oleh Rosli Rod, otai rod crafter.
Hari kelima yang juga hari keberangkatan pulang, cuaca bertukar baik sebaik-baiknya. Awal-awal pagi lagi matahari bersinar terang. Tentu saja ia dimanfaatkan sepenuhnya sambil bergerak pulang ke Pangkalan Gawi.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...