Jenggo `Mabuk’ Di Kuala Linggi

Share

 

Pada 13 Jun lalu, penduduk dekat Sungai Linggi di sini, bimbang dengan fenomena ‘udang galah mabuk’ yang dipercayai berpunca daripada pencemaran air sungai.

Penduduk mendakwa kejadian itu dipercayai disebabkan pencemaran racun tuba yang digunakan oleh pencari udang galah selain kesan pencemaran kilang dari hulu Sungai Linggi.

 

Wakil penduduk, Md Isa Adam, 56, berkata, kejadian itu merisaukan penduduk rata-ratanya nelayan yang menjadikan udang galah di sungai itu sebagai sumber pendapatan harian.

 

“Sejak kebelakangan ini, memang air sungai keruh. Saya tidak pasti apa punca sebenarnya, tetapi saya difahamkan disebabkan aktiviti perkilangan yang melepaskan bahan kimia ke dalam sungai.

 

 

“Malah, sikap tamak nelayan sendiri yang menggunakan racun tuba untuk mendapatkan hasil yang banyak menyebabkan air sungai tercemar dan mempunyai kesan toksik.

 

“Saya pernah mengambil udang galah dari sungai dan meletakkannya ke dalam kolam. Saya terkejut apabila melihat air kolam bertukar menjadi hitam dan terpaksa menukar air beberapa kali sebelum ia betul-betul jernih,” katanya.

 

Menurutnya, dia sudah membuat aduan kepada pihak berkaitan dan bertemu pemimpin tempatan untuk mencari penyelesaian bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini namun tiada tindakan diambil.

 

“Saya harap pihak berkenaan tolong periksa dan pantau jika betul ada aktiviti seperti didakwa kerana membabitkan sumber pendapatan dan bekalan air penduduk.

“Saya tidak mahu kejadian yang berlaku kepada Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang terjadi di sini.

 

 

“Saya juga bimbang udang galah yang dijual itu tercemar dan memberi kesan sampingan kepada kesihatan pengguna.

“Kesannya mungkin tidak nampak sekarang ini tetapi pada jangka panjang siapa akan tahu,” katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, Norhazni Mat Sari mengesahkan menerima aduan terbabit dan menjalankan siasatan.

Beliau berkata, data pengawasan Sungai Linggi kelmarin menunjukkan sungai itu mengalami pencemaran kelas tiga.

 

“Berkaitan pencemaran sungai dari kawasan industri, setakat ini ia dalam kawalan JAS dan tiada pengeluaran (bahan kimia dari kilang) secara langsung kepada kes kematian ikan atau udang,” katanya.

 

(Sumber: Berita Harian & Harian Metro)

 

 

Published by
Amang