Boleh dikatakan hampir setiap tahun terutamanya kebelakangan ini kami empat serangkai (Fakrul Razi, Khairul Nazmi, Kazrin dan saya sendiri) dari Semenanjung, mengadakan trip memancing ke Borneo khususnya di Bintulu, Sarawak.
Tujuan kami memancing sehingga ke Borneo bukanlah kecewa dengan perairan Semenanjung sudah tidak menghiburkan sebaliknya lebih kepada serampang dua mata.
Selain bertemu dengan sahabat di sana yang kebetulan merupakan seorang operator bot memancing, sudah tentunya untuk menduga perairannya.
Atau dalam erti kata lainnya ia lebih menjurus kepada trip memancing sambil bersilaturahim.
Setelah membuat perancangan dan memilih tarikh sesuai, kami berempat terbang dari Semenanjung dan mendarat di Bintulu.
Kami disambut oleh sahabat merangkap tekong memancing kami, Edel dan menginap di sebuah hotel di Medan Jaya sekitar setengah jam perjalanan ke jeti Tanjung Kidurung.
Bot pancing yang dimiliki Edel selesa jika dinaiki empat orang pemancing.
Trip pancingan kami lebih kepada teknik light jigging dengan menjadikan kawasan pelantar minyak sebagai padang pancing yang memakan masa sekitar dua jam perjalanan dari jeti Tanjung Kidurong.
Ads
Jig seberat 40 gm hingga 80 gm menjadi senjata kami bagi memburu spesies sasaran terutamanya tenggiri.
Namun sesi memancing atau trip hari pertama kami dirundung malang akibat cuaca buruk.
Akibat dipukul ribut, bot terpaksa ditambat pada pelantar minyak dan kami hanya mampu berserah dan pasrah kepada Tuhan.
Apa yang berlaku pada hari pertama tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan sesi memancing pada hari kedua. Alhamdulillah, cuaca pada hari kedua agak baik.
Begitu juga sesi memancing yang berlangsung dengan baik sekali. Seolah-olah penghuni laut kelaparan selepas ribut, kami hampir terduduk kepenatan dihenyak pelbagai spesies ikan sukan atau game fish.
Ads
Saya menjadi pembuka tirai apabila jig seberat 40 gm dihenyak spesies yang tidak dikenal pasti.
Tapi berdasarkan aksinya saya percaya ia bukanlah spesies sasaran kami iaitu tenggiri. Setelah bertarung seketika, akhirnya mangsa memperlihatkan dirinya. Jemuduk!
Fakrul Razi turut sama terduduk dihenyak jemuduk. Namun aksi yang paling mengasyikkan apabila Khairul Nazmi bertarung dengan gerepoh.
Ads
Dalam perjalanan pulang ke jeti pada sebelah malam kami sempat singgah di salah satu pelantar minyak lagi. Kali ini jig-jig kami diserbu gerombolan ikan cupak pula.
Tak menang tangan kami bertarung dan membiarkan sahaja ikan melambak di atas bot.
Sekali gus ia menjadi penamat trip memancing empat hari kami ke Borneo pada tahun ini dan tiada sebab untuk kami tidak kembali pada tahun hadapan.
Kelab Pemancing Wanita atau Women Anglers Club (WAC), sebuah kelab pemancing berdaftar yang ditubuhkan pada 2013, mengorak langkah awal dalam kalendar aktiviti 2018 dengan mengadakan Kelas & Bengkel Asas Memancing (Wanita) khusus untuk para ahlinya.
Kelas dan bengkel memancing anjuran WAC yang berlangsung Ahad lalu di Kompleks 3K Subang Jaya, Selangor ini mendapat kerjasama sepenuhnya dari Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Tourism Selangor, serta disokong oleh PureFishing Malaysia.
Menurut Presiden WAC, Normala Abd Rahman, kelas dan bengkel memancing ini merupakan program kali kedua yang dianjurkan oleh WAC namun anjuran kali ini lebih bermakna kerana berjaya mengumpulkan hampir 80 orang ahli berbanding program kali pertama. Lebih bermakna bagi beliau, program kali ini mendapat perhatian dari kerajaan negeri apabila Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh turun padang merasmikan program ini.
“Pada awalnya saya terkejut apabila dijemput ke majlis ini kerana saya tidak tahu kewujudan kelab seperti ini. Saya juga terkejut dengan sambutan yang diberikan kerana ada peserta datang daripada Sabah, Sarawak malah dari Singapura untuk sertai bengkel ini. Ini jelas menunjukkan terdapat keperluan dan minat khas wanita terhadap aktiviti memancing,” ujar Hannah Yeoh.
“Saya melihat ini merupakan aktiviti rekreasi yang baik dan saya telah cadangkan kepada kelab dan peserta supaya melanjutkan program ini untuk belia terutama mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai ketagihan terhadap aktiviti negatif.
“Program berbentuk ‘mentorship’ mungkin sesuai, saya rasa wanita lebih mesra dan pendengar yang lebih baik, mungkin belia semasa memancing akan mula lebih terbuka dan mudah meluahkan apa yang terpendam,” katanya.
Program yang dilangsung bermula jam 9.00 pagi ini mendapat suntikan hebat dari tenaga pengajar profesional, Mejar Ismail Feisol dan pembantunya dari Persatuan Memancing Malaysia (PeMM). Selain ilmu memancing berbentuk teori, para peserta turut mendapat pendedahan berguna secara pratikal penggunaan alatan memancing dengan betul dan tepat.
Majlis penutup dan penyampaian sijil kepada para peserta program disempurnakan pula oleh Noraini Roslan, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Subang Jaya. Dalam ucapan penutupnya, Noraini sempat berpesan kepada seluruh pemancing akan kepentingan pemuliharaan alam sekitar bagi kelestarian ikan-ikan spesies tempatan untuk generasi akan datang.
Port Dickson merupakan bandar peranginan yang terkenal di Negeri Sembilan Darul Khusus. Selain itu Port Dickson turut terkenal sebagai padang pancing yang berpotensi. Sama ada untuk pancingan pantai mahu pun laut dalam. Namun tidak ramai yang menumpukan perhatian pada teknik pancingan eging atau mengilat sotong.
Sebelum ini kami tertumpu di kawasan mengilat sotong mengabang atau eging di perairan pantai Timur. Ketika di sana kami membuat perancangan dan kajian lokasi berpotensi di bahagian pantai barat pula. Port Dickson menjadi kawasan pilihan untuk padang ujian mengilat sotong mengabang.
Pantai Port Dickson menjadi taruhan kerana faktor air laut yang agak jernih, kawasan berbatu dan benteng pemecah ombak serta mudah dikunjungi. Namun begitu terdapat dua lokasi yang disenarai pendek oleh kami sebagai berpontesi untuk mengilat sotong mengabang iaitu di Tanjung Tuan dan benteng pemecah ombak PD Marina. Setelah tarikh percubaan untuk mengilat ditentukan, benteng pemecah ombak PD Marina menjadi pilihan utama kami.
Carta jadual pasang surut air laut di kawasan Port Dickson merekodkan air laut akan pasang penuh dengan ketinggian 3.5 meter pada pukul 8.30 pagi. Kami menjangkakan waktu kemuncak untuk mengilat sotong mengabang adalah pukul 8.45 pagi.
Kami memulakan perjalanan dari Shah Alam seawal 7 pagi dan tiba di kawasan pemecah ombak PD Marina tepat pukul 8.45 pagi. Perjalanan sangat lancar lebih-lebih lagi melalui Lebuhraya Utara-Selatan dan Seremban-Port Dickson amat selesa.
Jalan masuk ke kawasan benteng pemecah ombak PD Marina ini melalui gerai makan Cowboy Palace. Jika mengunakan kereta sedikit kesukaran untuk destinasi yang dituju kerana jalan tanah merah berlopak dan becak sekiranya berlaku hujan.
Kami terpaksa menghabiskan sedikit masa untuk meredah kawasan ini mujurlah tayar kereta tidak terbenam dan tersangkut.
Apa yang kami perhatikan keadaan sekeliling benteng pemecah ombak di PD Marina amat berpotensi untuk aktiviti mengilat sotong mengabang mahu juga ikan. Kami tiba di benteng pemecah ombak pukul 9.30 pagi dan disambut awan mendung dan hujan lebat. Nasib menyebelahi kami hujan lebat berhenti selepas turun dalam tempoh 10 minit sahaja.
Apa yang menarik adalah ombak yang sangat lembut menghentam benteng pemecah. Ini satu petanda yang sangat baik walaupun ditimpa hujan lebat dan awan yang mendung. Peluang ini kami manfaat dengan beberapa balingan kami telah berjaya mendaratkan sotong mengabang.
Kami masih terus mencuba walaupun ketika itu arus laut sudah mula bergerak surut. Dua jam kami luangkan masa untuk mengilat sotong mengabang dan hasil yang didaratkan juga sangat menggembirakan.
Apatah lagi ia adalah percubaan kali pertama di kawasan ini. Ternyata kawasan pantai barat juga berpontensi untuk aktiviti eging sotong Mengabang. Dengan meluangkan masa membuat kajian lokasi-lokasi tertentu di pantai barat anda juga berupaya menemui lubuk-lubuk sotong mengabang.
Hutan simpan Temenggor di Perak merupakan salah satu lokasi atau lubuk pancing tumpuan bagi kaki pancing. Keadaan hutan dan sungai pergunungan yang masih baik menjadikan Temenggor sebagai salah satu lubuk pancingan hebat. ebarau, tengas, dan raja sungai iaitu sang kelah masih boleh ditemui di sungai-sungai pergunungan di sini.
Beberapa kali kunjungan penulis ke sungai pergunungan di Temenggor tidak pernah mengecewakan. Namun, apa yang sedikit mengecewakan ialah ikan target utama iaitu kelah yang agak sukar kerana beberapa masalah yang timbul.
Bersama Kelab Raja Rimba Adventure, kami mengatur pelan sekian kalinya untuk mencari sang kelah sebagai tangkapan utama. Kunjungan atau trip kali ini betul-betul untuk mencari ikan. Setelah beberapa minggu merancang, hari yang ditunggu tiba dan kami masuk ke Temenggor dengan kelengkapan pancing yang ada dengan menaiki lima buah kenderaan pacuan empat roda.
LUBUK SIRA DINDING
Untuk memaksimumkan masa memancing, kami bertolak masuk ke Hutan Temenggor sekitar jam 1.00 pagi. Beberapa masalah teknikal pada kenderaan tidak dapat dielakkan, namun sekurang-kurangnya kami meminimakan masalah yang timbul dengan meminimakan jumlah pacuan.
Setelah tiba di kem utama di Sira Dinding, kami mengambil keputusan untuk bermalam dan akan trekking ke lubuk bahagian hulu. Pada malamnya, kami menyiapkan pancing dan barangan keperluan untuk hari esok. Sempat juga kami menghulurkan umpan di kem utama hasilnya beberapa ekor tengas daun berjaya menjadi santapan kami sebelum tidur.
Awal pagi keesokannya, setelah bersarapan dan berkemas mana yang patut, kami mula trekking menuju ke hulu sungai.
Setelah hampir 2 jam berjalan kaki melalui trek di tepi sungai dan sesekali mendaki bukit, kami akhirnya tiba ke satu kawasan yang kami rasakan sesuai untuk mendirikan khemah sebagai kem untuk bermalam.
HENJUTAN PENGHUNI SUNGAI
Setelah siap mendirikan kem khemah untuk bermalam dan berehat seketika, kami bergegas mencapai set pancing dan mula mengikat mata kail serta bersiap apa yang perlu. Kami berpecah kepada 3 kumpulan kecil memilih lubuk yang berlainan bagi melabuhkan umpan. Penulis dan 2 orang lagi rakan memilih kawasan yang mempunyai lubuk yang agak dalam di bawah kawasan berarus laju.
Pilihan umpan yang ada ialah cengkerik dan kelapa sawit selain lipas batu yang boleh ditemui di bawah batu-batu lembab di tepi sungai. Setelah umpan dilabuhkan, kami tidak perlu menunggu lama. Rod Berkley Cherrywood penulis yang berumpankan cengkerik melentur laju ke bawah menandakan ada yang melarikan umpan. Dengan pantas penulis menyambar pancing yang hampir terjatuh dan terus mengepam laju kekili Shimano Aernos yang digunakan sebagai padanan rod tadi.
Ahhh, larian ikan dalam arus deras begitu mengasyikkan, tambahan pula melihat hujung rod yang meliang-liuk melentur menahan asakan. Seketika kemudian seekor tengas bersaiz 800 gram dinaikkan. Ini petanda baik.
Sedang gembira menaikkan ikan pertama, tiba-tiba rod Ayie pula melentur. Apa lagi, terus saja Ayie membalas dan memulakan aksi karauan. Tali yang memenuhi gelendong setelah dikarau akhirnya menampakkan seekor tengas daun di hujung kail. Selepas itu, berselang seli antara kami bertiga melayan larian ikan terutama spesies tengas. Sesekali tengas daun juga berjaya mencuri umpan.
MALAM PESTA BAUNG
Sebelah petang kebanyakan spesies didominasi oleh tengas. Saiznya pula boleh tahan sekitar 1 kg. Namun, hentaman kelah masih di nanti. Umpan yang sering dijamah dengan cukup laju ialah cengkerik dan lipas batu. Habis batu-batu di sekeliling kami selak untuk mendapatkan lipas batu. Umpan sawit pula sedikit perlahan namun masih dijamah oleh ikan.
Beransur ke malam, baung mula menunjukkan diri. Apabila hari sudah gelap, kebanyakan umpan yang dilabuhkan disambar baung. Tengas semakin kurang dan bertukar kepada baung. Sekitar jam 10 malam, tiba-tiba kekili Shimano Aernos menjerit membuatkan kami yang agak santai menjadi kelam kabut.
Dalam samar-samar cahaya, AJ bergegas mencapai rod dan mengetatkan drag secepat mungkin. Tak sampai 5 minit, tali mono kekuatan 20lbs tiba-tiba putus ketika menahan asakan tersebut. Kami berpandangan dengan perasaan bercampur baur. Kami yakin jeritan kekili tadi akibat henjutan kelah kerana rod tersebut dicangkuk umpan sawit. Paling tidak pun, tengas bersaiz besar.
LENGGOK SANG KELAH
Awal pagi, kami mendapat khabar rakan kami di bahagian atas sudah mendaratkan kelah. Terus cerah mata dan kembali bersemangat menghulur umpan. Tidak sia-sia kerana tiba-tiba kekili Ryobi Navigator milik AJ menjerit minta dikarau. Pantas AJ mula mengepam laju dan bergerak ke arah yang lebih terbuka bagi mengelakkan sebarang masalah.
Tali dipam masuk dan sesekali drag diketatkan sambil menahan asakan larian ikan di hujung kail. Tak lama kemudian muncul si sisik merah dengan lenggok perlahan di gigi air dan sesekali cuba melakukan henjutan akhir ke tengah namun tak terdaya. Akhirnya seekor kelah hampir 2 kg berjaya didaratkan. Kepuasan jelas terpancar pada raut wajah kami terutamanya AJ yang berjaya menaikkan kelah tersebut.
Setelah itu beberapa ekor tengas lagi berjaya dicungkil keluar dari dalam air. Ayie yang pula yang tidak jemu menghulur umpan dari semalam akhirnya mendapat sambaran yang agak luar biasa. Kamera di tangan diletakkan dengan pantas dan tangan beralih pada pancingnya.
Penantiannya berbaloi apabila seekor lagi kelah yang lebih kecil kelihatan setelah bertarung menahan asakan dari dalam air. Jeritan kepuasan kedengaran walaupun sedikit tenggelam dengan bunyi larian air sambil mengangkat ikan ke udara.
PULANG DENGAN KEPUASAN
Sekitar jam 4 petang, kami berkumpul dan berkemas untuk trekking ke kem utama kami di bahagian bawah sungai. Setelah dikumpulkan hasil tangkapan, spesies tengas paling banyak dan 5 ekor sisik merah atau kelah berjaya dinaikkan. Setelah berkemas lebih kurang dan membersihkan kawasan khemah, kami mula trekking pulang.
Hampir jam 7 malam, kami tiba di kem utama. Malam terakhir kami makan malam dan kelah stim menjadi hidangan utama bersama-sama beberapa ekor tengas. Setelah makan malam dan berehat ala kadar, kami mengambil keputusan untuk terus keluar ke jalan utama pada malam itu juga memandangkan perancangan kami sedikit lewat dari jadual asal.
Selepas membersihkan kawasan persekitaran dan mandi di sungai yang begitu dingin airnya, kira-kira jam 9 malam kami terus bergerak keluar.
Dalam keadaan penat begini, pastinya lewat tiba di luar nanti dan esok belum tentu boleh terus memandu ke Lembah Klang akibat kepenatan. Namun perjalanan malam ini tetap kami teruskan dengan senyuman kepuasan dek lenggok si sisik merah dalam trip kali ini.
Tiga tahun mengejar ilmu, akhirnya aku lulus semua ujian ku. Bulan depan aku akan memiliki ijazah sarjana muda ekonomi perniagaan. Sementara itu aku cadang...