Perjalanan dari Jeti Kong Kong untuk ke Rakit Pak Abu memakan masa hampir 10 minit. Sepanjang perjalanan kami memang dihidangkan dengan pemandangan memukau hutan paya bakau dan Jambatan Lebuhraya Senai-Desaru yang merentasi Sungai Kong Kong.
Sesampai sahaja di rumah rakit yang berkeluasan 24 x 60 kaki ini sudah mampu menaikkan keghairahan kami untuk memancing. Apatah lagi bila dihidangkan cerita-cerita rakan pemancing yang pernah menaikkan pelbagai ikan gred A seperti merah, kerapu, jenahak, tebal pipi dan senangin.
Sebelum tiba di rumah rakit ini, penulis terlebih dahulu sempat berbual dengan pemilik rakit yang lebih mesra dipanggil Pak Abu. Menurut Pak Abu, rumah rakit ini mula dibina pada tahun 2009. Dikhabarkan ia menggunakan sebanyak 165 biji tong untuk menampung rumah rakit yang mampu memuatkan 10-15 orang pada satu-satu masa ini.
Namun akibat kerosakan yang ketara pada tahun 2013, Pak Abu terpaksa membaiki semula rumah rakit ini dengan kos yang lebih besar. Pada awal tahun 2014, Pak Abu mula menarik rumah rakit ini lebih jauh ke muka laut yang menghala ke Teluk Sengat iaitu berhampiran dengan Jambatan Lebuh raya Senai-Desaru untuk memastikan hasil yang lebih baik buat kaki pancing yang berkunjung ke sini.
Ads
Ini menjadikan Rakit Pak Abu sebagai antara yang terunik di perairan Kong Kong ini kerana ia terletak lebih jauh dan berhampiran dengan laut luas berbanding rumah rakit lain yang kebanyakan terletak di kuala sungai. Tak hairanlah sambutan kaki pancing juga amat menggalakkan terutama di hujung minggu dan cuti umum.
Menurut Pak Abu, waktu terbaik untuk memancing di rumah rakit ini ialah sewaktu air kecil atau air menyorong besar. Ini kerana pada waktu itu arus agak kurang deras dan ikan-ikan banyak bermain di sekitar rumah rakit.
Ads
Namun, malang nasib kami kerana sewaktu kunjungan, kami berhadapan dengan air besar dan sudah tentulah arusnya cukup berdesup pada waktu itu.
Ads
Namun, rezeki tetap masih memihak kami apabila masing-masing dimeriahkan dengan tarikan ikan tebal pipi, duri, gerut-gerut, gelama dan seekor merah tunggal yang membaham umpan udang kopek.
Bagi yang kurang berminat dengan pancingan rumah rakit, jangan risau! Pak Abu juga menyediakan khidmat sewa bot untuk kaki pancing menduga perairan Kong Kong. Dengan khidmat sewa bot ini, pemancing boleh menduga lebih banyak lubuk di perairan Kong Kong dan lebih banyak teknik boleh diaplikasikan sama ada teknik casting, light jigging dan juga bottom.
Ada pelbagai lubuk terbaik untuk memburu ikan-ikan seperti siakap, merah, kerapu, siakap merah dan macam-macam lagi yang boleh anda terokai di sini. Apa yang penting, rajin-rajinkanlah diri bertanya tip dengan Pak Abu ataupun kaki pancing yang biasa memburu di perairan Kong Kong untuk mendapatkan hasil terbaik.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Setelah solat jumaat di Masjid Balok, kami bertolak dari jeti Kuala Kemaman pada jam 3.00 pm dan menuju ke unjam pertama sekitar 3 jam perjalanan.
Tiba di spot yang pertama, apollo dilabuhkan untuk mencari umpan fresh seperti ikan selar, tamban dan lain-lain lagi. Selepas kami mencari umpan segar untuk jadikan umpan bottom, kami terus menuju ke spot yang pertama iaitu sekitar tukun kapal.
Tanpa buang masa para pemancing terus menurunkan umpan telah dilekatkan pada mata kail. Umpan sotong dan ikan menjadi taruhan kami. Tidak menunggu lama, joran Asmadi direntap kuat oleh penghuni dasar. Menggunakan set kekili Saltiga berjaya menarik ebek anggaran saiz 7kg dengan kepuasan kegembiraan terpancar pada raut wajah Asmadi.
Sebagimana kita tahu perairan pantai timur khususnya Kemaman menjadi lokasi tumpuan pemburuan spesies ebek. Sama ada ebek kapak atau ebek bulat, kedua-duanya menjadi sasaran utama trip kali ini.
Setelah beberapa minit kemudian joran Amir telah direntap oleh penghuni dasar yang tidak pasti sama ada sagai, GT, cupak mahu pun spesies tak bersisik. Dengan daya pecutan dan tekananan daya juang ikan sehinggalah melihat kelibat ebek bulat terdampar di permukaan laut. Kredit kepada tekong kerana sering berpindah lubuk bila tiada sambutan di lokasi.
Pada hari kedua seawal pagi tanpa buang masa umpan dilabuhkan untuk menjerat penghuni dasar, akhirnya joran Nan dan Aril disambut mesra penghuni dasar iaitu ikan bayan.
Menjelang pagi kami mula bertukar lokasi ke yang lain,kerna tiada tangkapan yang besar yang seperti diharapkan. Masing-masing masih ada yang tidur kerana kepenatan berjaga pada waktu malam. Semasa bot mula berangkat menuju ke spot yang lain, ada peserta mengambil kesempatan untuk berehat sementara sampai ke spot lubuk karang.
Organizer Abg Sham memberi tahu kami bahawa sekitar lubuk karang mempunyai ikan gred seperti kerapu bara, jenahak dan merah. Tanpa menunggu lama En. Mahat merentap joran terus sahaja menggulung tanpa tentangan yang berat. Rupa-rupanya seperti yang diberitahu Abg Sham kerapu bara berskala saiz 1kg dinaikkan dengan menggunakan umpan hirisan sotong.
Makan malam kami sediakan oleh Wan Mazhar. Fuhh… sedap beb! Menu ikan masak kari serta ulam dan pulak pekasam ikan tengas dibawa oleh Endy Kubis lagi penambah selera kami di atas bot dan kami berbincang dengan Abg Sham untuk pindah ke seterusnya.
Tidak menunggu masa, aksi joran Aril melentur sehingga mencacah air, fuhh… mesti monster yang ditariknya. Selepas beberapa minit aksi bertarung akhirnya pari 18kg dinaikan dengan menggunakan umpan hirisan sotang.
Selang beberapa minit En. Zam pulak menaikkan pari seberat 16kg selama 30 minit. Fuhh… lamanya. Hahaha… mana taknya habis berbelit tali pancing yang lain.
Pada awal pagi cuaca agak kurang mesra dengan kami, kami menerima alun yang agak tinggi menyebabkan bot terhuyun-hayang. Walau bagimanapun tidak melunturkan semangat kami sebagai pemancing. Kami terima dugaan itu dengan berlapang dada dan bersyukur terhadap Ilahi.
Sekitar awal pagi ikan kacang menjadi ikan pengacau menyebabkan pemancing sering bertukar mata kail dan perambut.
Untuk kali ini kami berjaya menaikkan pelbagai spesies ikan terutama ikan target iaitu ebek. Pada trip ni jugak, ikan terbesar seberat 18kg berjaya dinaikkan oleh Aril. Trip bottom dan jigging kali ni amat berjaya dan nantikan trip seterusnya.
Bukit Merah terletak di utara Perak yang mana di sini terdapatnya sebuah tasik yang menyimpan pelbagai khazanah spesies marin yang dikenali sebagai Tasik Bukit Merah atau lebih dikenali dengan Kolam Bukit Merah oleh warga tempatan di sekitar tasik ini.
Suatu ketika dulu, tasik ini sering menjadi lokasi bagi memburu spesies kelisa bergred tinggi.
Difahamkan spesies kelisa yang menghuni tasik ini antara spesies yang terbaik di dunia.
Bagi pemancing yang hendak bertandang ke tasik ini, mereka boleh menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan dan terus ke Bukit Merah.
Tasik ini adalah di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang mana kepada pengunjung yang mahukan khidmat sewaan bot pancing bolehlah terus ke Jeti JPS yang terletak di Kampung Balik Bukit.
Bagi yang mempunyai bot sendiri juga boleh membawa bot sendiri dan dinasihatkan berhati-hati kerana tasik ini dipenuhi dengan batang-batang pokok tenggelam yang sukar dilihat dan juga tali-tali rawai serta pukat-pukat nelayan tempatan.
Sebaiknya, dapatkan maklumat daripada rakan atau penduduk kampung yang telah biasa dengan situasi tasik ini.
Sebagai pemancing saya, saya suka mengingatkan diri sendiri dan juga rakan pemancing yang lain agar sentiasa mengenakan jaket keselamatan ketika berada di atas bot. Ini kerana, malang sentiasa tidak berbau.
Antara spesies ikan yang mendiami tasik ini adalah terdiri daripada ikan-ikan tempatan seperti lampam, terbul, selat, kaloi, dan lain-lain lagi di samping spesies-spesies ikan pemangsa seperti sebarau, toman, kelisa, haruan, bujuk, dan juga kerandang.
Difahamkan, sebelum ini, tasik ini dikatakan pernah dituba/diracun oleh pihak tidak bertanggungjawab pada tahun 90-an dan kesannya banyak spesies-spesies ikan mati ketika itu dan difahamkan lokasi yang terlibat adalah di sebelah Air Hitam.
AIR HITAM & AIR PUTIH
Untuk makluman semua, Tasik Bukit Merah ini terbahagi kepada dua bahagian yang mana dikenali sebagai Air Hitam dan Air Putih yang mananya ia dipisahkan dengan landasan kereta api.
Bagi peminat fotografi, panorama cahaya matahari kemerahan ketika tenggelam di lokasi ini amat ditunggu-tunggu.
Di Air Hitam terdapat beberapa suak dan anak-anak sungai kecil yang patut dikunjungi. Saya pasti, jika tekong yang membawa anda ke spot ini pun, pasti akan berada lama
kerana teruja menantikan bila-bila masa sahaja akan berlaku boiling di sini. Begitu juga dengan tempat yang bernama Air Putih.
Bagi pengunjung yang pernah berkunjung ke Bukit Merah Laketown Resort, pusat peranginan ini terletak di sebelah Air Putih dan Pulau Orang Hutan yang mana ia di bawah pengurusan Bukit Merah Laketown Resort juga terletak di sebelah Air Putih.
Tasik ini dilihat sangat sesuai bagi aktiviti sukan memancing sama ada pancingan dasar, mengilat, dan juga pancingan layang.
Kunjungan saya ke sini mendapati aktiviti pancingan dengan menggunakan teknik mengilat dan juga pancing layang boleh membuahkan hasil.
Saya berkesempatan untuk mencuba dua teknik ini dan hasilnya cukup baik.
Gewang dan lelayang yang sesuai digunakan di sini bergantung kepada spesies yang diburu.
Bagi pancingan layang, tidak banyak yang boleh saya kongsikan kerana, saya cuma berkesempatan mencuba ‘popper fly’ sahaja dan hasilnya beberapa ekor toman remaja berjaya didaratkan.
Kunjungan saya ke sini lebih tertumpu kepada teknik mengilat dan saya amat yakin teknik pancingan layang juga sesuai dipraktikkan di sini.
Bagi kaki casting, berdasarkan pengalaman saya ketika berkunjung ke sini, gewang-gewang selaman dalam yang berprofil bulat (gemuk) amat efisyen untuk memintas toman yang naik mengambil udara.
Lontaran tepat ke arah selaman toman mampu memberi sambaran. Seperkara lagi, peralatan ‘lure retriever’ jangan dilupakan lantaran dasar tasik di beberapa lokasi mampu membuatkan anda kehilangan gewang kesayangan.
KEPELBAGAIAN JENIS GEWANG
Selain daripada gewang selaman dalam, toman-toman di sini juga menggemari gewang permukaan.
Bawalah sebanyak mana yang anda mahukan. Lain orang lain gewang ‘ong’ nya kan. Bagi saya jika berkunjung ke sini, ‘jump frog’ jangan dilupakan, amat rugi jika tidak membawanya.
Di sini ia sangat-sangat lagu untuk menjerat beberapa spesies kepala ular di sini seperti toman, bujuk, dan juga kerandang.
Di Tasik Bukit Merah memang memiliki ikan kelisa, dahulu sebelum terdapatnya kolam ternakan komersial ikan kelisa, orang kampung mencari anak-anak kelisa di tasik ini dan dijual kepada pengusaha ikan berkenaan.
Sehingga kini, aktiviti tersebut masih lagi dilakukan. Bahkan semasa kunjungan saya ke tasik tersebut baru-baru ini turut menemukan dengan spesies kelisa hijau.
Tetapi bukan hasil pancingan tetapi kelisa yang mabuk dan berjaya ditangkap oleh nelayan tempatan.
Kelisa ini dilihat bukan sahaja mabuk tetapi sudah tidak bermaya. Mungkin kerana jala yang digunakan memberi kesan kepada ikan ini.
Tidak mustahil suatu hari nanti akan ada pemancing yang bertuah akan memperoleh spesies ini.
Bagi penggemar sebarau, sesudu kecil antara 5 – 7 gram sesuai digunakan berbanding sesudu dan gewang bersaiz besar.
Mungkin diet sebarau di sini lebih kepada anak-anak udang dan anak-anak ikan kecil yang menyebabkan sebarau di sini lebih menggemari sesudu.
Gewang juga boleh digunakan dan masih boleh mendapat sambaran tetapi saya lebih menggemari sesudu sekiranya bertandang ke sini.
Untuk pengetahuan semua, di tasik ini, sama seperti tasik-tasik lain yang mana setiap spesies ada masa ‘frenzy’ nya.
Ketika musim air tinggi, toman mudah dicari di samping sebarau yang mengendap anak-anak toman.
Musim sebarau adalah ketika air separa surut dan sebelum surut sepenuhnya. Apabila air surut sepenuhnya tibalah musim haruan, bujuk, dan kerandang.
Walaupun begitu, spesies-spesies ini masih boleh dipancing pada bila-bila masa dan yang penting tahu tempat persembunyiannya, teknik yang sesuai dan sentiasa berhubung
dengan tekong bila waktu yang ikan Tasik Bukit Merah mulai galak menjamah umpan tipu anda.
“Obor-obor beracun (Portuguese Man O War) dikesan di pesisir Pantai Paka. Pengunjung dinasihatkan berhati-hati kerana difahamkan racunnya masih aktif walaupun sudah mati.”
Tampak comel namun sengatannya boleh membawa maut jika tidak dirawat segera. Obor-obor jenis Portuguese Man o’War atau nama saintifiknya ‘physalia physalis’ masih beracun walaupun sudah mati. Saiznya yang kecil dan berwarna lutsinar membuatkan haiwan itu sukar dilihat serta boleh mengundang bahaya kepada orang ramai.
Dipanggil Portugese Man O’ War kerana sifat tubuh badannya seakan kapal perang yang sedang berlayar di lautan, Spesies ini sentiasa disalah tafsirkan sebagai jellyfish walhal ia sebenarnya siphonophore, haiwan yang terdiri daripada koloni organisma yang bekerjasama. Ia juga dikenali dengan nama ‘bluebottles’ kerana warna mereka yang bewarna ungu-biru.
Haiwan ini mempunyai ribuan sel penyengat dan panjang tentekelnya mampu mencapai seperti manusia dewasa dan sengatannya mampu menyebabkan badan anda mengeluarkan bintik-bintik merah, lumpuh dan akhir sekali boleh membawa kepada maut.
Sekiranya anda disengat, anda dinasihatkan bergegas untuk mendapatkan rawatan kerana simptom sengatan oleh haiwan ini dapat dilihat seawal 3 minit. Sehingga kini, masih tiada lagi penawar untuk racun ini dan pakar hanya mampu menyediakan ‘painkiller’ sahaja kepada pesakit untuk melegakan kesakitan.
Kemungkinan kemunculan haiwan berbisa itu ke pesisir pantai Terengganu disebabkan faktor musim monsun timur laut. Setakat ini penemuannya dilaporkan di Pantai Seberang Takir.
Orang ramai diminta sentiasa berwaspada dan laporkan kepada pihak berkaitan jika menemui obor-obor ini.
LAPORAN PEMANTAUAN
Rentetan: Paparan di akaun media sosial Facebook Kuala Terengganu Residen petang 23 Jan 2023 tentang kehadiran obor-obor jenis Portuguese Man o’War pihak Angkatan Pertahan Awam Daerah Kuala Terengganu / Kuala Nerus telah membuat pemantauan di Pantai Seberang Takir dengan Kekuatan 1 Pegawai Pasukan dan 3x Anggota dan telah menjumpai bangkai obor-obor tersebut yang terdampar di pesisiran pantai tersebut.
Hidupan ini juga disifatkan antara obor-obor yang berbisa dan sangat berbahaya yang mana boleh melumpuhkan mangsa dengan sengatannya selain boleh menyebabkan melecur pada kulit dan membawa maut.
Justeru itu, orang ramai turut dinasihati untuk tidak melakukan sebarang altiviti di persisir Pantai Seberang Takir buat masa ini dan mengambil langkah berhati-hati dengan hidupan berbisa ini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...