Tertarik melihat hasil pancingan menggunakan umpan buah lakum, saya terus saja terima pelawaan Cikgu Noh untuk memancing bersamanya di Perak.
Cikgu Noh merupakan seorang rakan pemancing di Lembah Kelang.
Suatu ketika dulu, kami sering memancing bersama terutamanya di kolam-kolam pancing komersial air tawar dan air masin, sebelum beliau berpindah ke Sri Ikandar, Perak.
Sememangnya sudah menjadi tabiat saya, selagi belum lihat dengan mata kepala sendiri, selagi itulah saya susah untuk percaya seratus peratus tentang sesuatu perkara.
Memang sukar untuk saya percaya bahawa buah LAKUM sangat mujarab untuk dibuat umpan memancing.
Maklum sajalah ia kurang diperkata dalam arena memancing tidak sebagaimana buah ara atau kelapa sawit yang mampu menjadi umpan yang ampuh.
Justeru tiba di Sri Iskandar, Cikgu Noh segera temukan saya dengan rakannya yang juga merupakan seorang pendidik iaitu Mohd Noor Idrus atau Cikgu Derus.
Cikgu Derus inilah yang gemar memancing menggunakan umpan buah lakum.
Sebenarnya ada cara mudah untuk buktikan keberkesanan buah lakum itu kepada saya namun Cikgu Derus memilih untuk mencuba di lubuk baharu yang belum pernah beliau pancing sebelumnya.
Cikgu Derus membawa kami ke satu lokasi yang mana Sungai Perak mengalir berdekatan rumah kenalannya.
Lokasi tersebut agak selesa juga. Ia lebih merupakan kebun kelapa sawit yang terletak di tepi Sungai Perak.
Namun hujan yang kerap turun kebelakangan ini mengakibatkan sungai menjadi keruh dan berarus laju.
Lebih menyulitkan keadaan apabila sampah-sampah yang dibawa arus mengena dan menyeret tali pancing kami.
Walaupun dalam keadaan yang kurang sesuai dan selesa untuk memancing itu Cikgu Derus berjaya juga membuktikan keberkesanan buah lakum apabila seekor patin lawang kecil dan lampam sungai berjaya didaratkan.
Kecewa dengan hasil di Sungai Perak, keesokan harinya Cikgu Derus membawa kami mencuba nasib di Sungai Kinta pula.
Sebelum ke lokasi, kami terlebih dahulu meronda kawasan sekitar bagi mencari buah ara dan buah lakum.
Sungai Kinta yang mengalir melalui kawasan Air Kuning menjadi lokasi hari kedua kami.
Sungai Kinta lebih kecil berbanding Sungai Perak namun sampah yang dibawa arus ternyata berganda.
Namun pemancing yang menunggu di tebing-tebingnya juga berganda. Maklum sajalah hari cuti.
Setelah menemui kawasan tebing yang tidak berpenghuni, kami segera melabuhkan pancing berumpankan buah lakum dan buah ara.
Suasana khususnya reaksi ikan di Sungai Kinta nyata lebih baik berbanding Sungai Perak.
Kelibat ikan patin yang kerap kali timbul melibas air meyakinkan Cikgu Derus salah satu pancing kami akan akan mengena.
Memandangkan patin kurang mengambil buah lakum maka kami menukar strategi memburu patin menggunakan umpan buah ara pula.
Dan ia ternyata berhasil apabila salah satu pancing Cikgu Derus mengena.
Setelah bersusah payah menghela mangsa yang tersangkut pada reba di dalam sungai, akhirnya Cikgu Derus berjaya juga mendaratkan seekor patin buah anggaran berat 9 kilogram dengan selamat.
Tidak lama selepas berjaya mendaratkan patin tersebut, kami sepakat sekata untuk menamatkan sesi memancing di Sungai Kinta itu berikutan ada petanda hujan lebat akan turun.
Sekiranya hujan lebat pastinya kami akan menghadapi masalah untuk keluar dari kawasan tersebut.
Meskipun misi sebenar mencari baung dan spesies lain menggunakan umpan buah lakum tidak kesampaian namun ia sedikit terubat dengan patin buah 9 kilogram yang berjaya didaratkan itu.
Malah, disebalik kegagalan memujuk baung berumpankan buah lakum itulah yang membuatkan saya bertekad untuk kembali lagi memburunya.