Apabila tiba musim udang galah, ramai kaki penangkap udang sepit biru ini akan turun ke lubuk. Setiap kali ke lubuk udang galah, kebanyakan kaki penangkap udang ini sedia maklum mereka tidak keseorangan sebaliknya ditemani buaya. Maka, sikap waspada perlu ada.
Hal ini kerana udang galah biasanya menempel pada badan buaya untuk memakan lumut atau alga pada tubuh badan buaya. Pendek kata, ramai yang bersetuju dengan pendapat di mana ada udang galah, di situ ada buaya.
Oleh kerana itu pemancing udang galah tidak digalakkan membuang makanan berdarah seperti daging atau ayam di kawasan pancing udang. Dipercayai, ia seperti mengundang buaya datang ke tempat anda.
Jika anda berada di sungai yang dipercayai ada buaya, elak gunakan umpan tepung yang digaul dengan serbuk kunyit. Dipercayai buaya tidak suka bau kunyit dan buaya boleh mengamuk serta mendatangkan bahaya kepada pemancing.
Jangan sesekali menyebut nama buaya sepanjang anda berada di atas sampan atau di kawasan sungai. Ia sama seperti berada di dalam hutan dan menyebut nama harimau. Gantikan saja dengan sebutan lain seperti sang bedal atau sebagainya.