Air yang dimaksudkan ini bukannya bermaksud jenis air minuman sebaliknya merujuk kepada warna, paras dan pasang surut air laut. Memahami keadaan air amat penting kerana ia banyak mempengaruhi teknik pancingan dan ikan sasaran yang ingin diburu.
AIR BULU KERA
Air bulu kera ini merujuk kepada warna air khususnya di lubuk-lubuk sungai atau muara yang hampir menyamai warna bulu kera. Air bulu kera ini dikatakan air yang cantik kerana ia tidak terlalu keruh dan tidak juga terlalu jernih. Ia dianggap air yang cantik untuk memancing kerana banyak rekod tangkapan yang bagus berjaya didaratkan ketika air berwarna bulu kera ini.
Namun ia tidak menjamin korang tidak akan kumpau jika memancing pada waktu ini. Walaupun keadaan air yang cantik kadangkala tidak juga membuahkan hasil Ini bergantung kepada keadaan cuaca semasa dan suhu persekitaran
AIR MENYORONG KECIL
Air menyorong kecil ini merujuk kepada air laut ketika air pasang besar yang mula bergerak perlahan dan akan bani atau mati selepas 3 hari. Ketika ini air keruh mula jernih dan arus perlahan. Kebanyakan kawasan sesuai untuk memancing. Kebiasaannya waktu ini sesuai untuk memburu spesis kurau, senangin dan Jenahak di kawasan pantai dan kawasan dalam yang lain.
Waktu air menyorong kecil juga dianggap terbaik bagi pemancing yang ingin memburu spesies bersisik melalui teknik slow jigging terutamanya di Selat Melaka.
AIR BANI / AIR MATI
Air mati dan tidak berarus bermaksud, keadaan air begitu jernih dan sekiranya umpan di jatuhkan, arus tidak mampu menghanyutkan batu ladung walaupun bersaiz kecil. Malah ada ketikanya umpan tanpa batu ladung pun tak hanyut. Keadaan air seperti ini menyebabkan ikan kurang aktif. Hanya waktu air mula pasang atau air mula surut yang mempunyai arus sesuai untuk memancing. Sekiranya hujan, suhu air bertambah sejuk dan ini memburukkan keadaan. Kebanyakan spot sesuai berada di laluan tengah selat seperti laluan kapal dan kawasan tertentu yang lain.
Ketika ini, air jernih di kawasan anak sungai amat sesuai untuk teknik casting. Umpan perumpun atau udang hidup sesuai untuk menjerat tetanda dan siakap yang bergerak di dalam anak sungai. Aktiviti jigging ketika air mati ini juga boleh menyebabkan sesalan yang tak berkesudahan.
AIR MENYORONG BESAR
Air menyorong besar bermaksud, keadaan air mati yang mula berarus. Biasanya berlaku 3 hari sebelum air besar. Ketika ini ikan yang berada di kawasan zon pasang surut air mati mula aktif dan bergerak mengikut arus. Ketinggian air pasang boleh dilihat meningkat sedikit demi sedikit.
Kebiasaannya pada hari ketiga, nelayan akan keluar menjaring untuk memburu spesis ikan senangin yang mula bergerak bersama air pasang. Jika nelayan keluar menjaring senangin ia bermakna para jigger juga berpeluang untuk mencari senangin atau gubal ketika ini.
AIR BESAR
Air besar bermaksud, keadaan air pasang tinggi dan arus deras. Biasanya air bergerak bersama lumpur menyebabkan air menjadi keruh. Ia biasanya berlaku selama 7 hari sebelum air mengecil semula. Ketika ini air pasang akan menenggelamkan reba-reba kayu dan batu tebing di sekitar tebing selat.
Kebanyakan spesies berlindung ketika arus di kawasan tengah terlalu laju. Kebanyakan spesies predator malah ikan semilang juga amat aktif ketika ini. Kawasan muara dan anak sungai ketika air mula masuk, adalah yang paling sesuai. Kebanyakan ikan Pari kecil di bawah 2 kg biasanya banyak terdapat di kawasan pantai yang cetek.
AIR TAK ADA
Bagi yang tidak biasa dengan istilah air apabila tekong beritahu terpaksa turun awal atau lewat kerana air tak ada. Pemancing yang berstatus `pembaris’ akan bertanya pula ke mana perginya air? Takkan air laut boleh tak ada? Air tak ada lazimnya dikaitkan dengan air surut rendah di kawasan pangkalan atau jeti di mana bot parkir. Keadaan di mana bot tidak boleh masuk atau keluar kerana air surut rendah inilah yang dikatakan air tak ada.