Hebat diperkatakan sejak kebelakangan ini, bahawa pemancing suka berpuak-puak dan tidak bersatu. Tidak seperti zaman dahulu.
Benarkah dakwaan ini?
Bila ditanya pada rakan-rakan pemancing, ada yang kata benar, ada yang kata tidak. Malah, ada yang kata ini hanyalah isu remeh yang tidak perlu dibesarkan. Benar atau pun tidak, penulis menyerahkan kepada penilain tuan-tuan dan puan-puan yang sangat dihormati sekalian.
Cuma, kita boleh cuba mengenal pasti apakah ‘faktor’ atau ‘punca’ dakwaan ini, berdasarkan kajian saintis terkenal dunia, berkaitan psikologi dan sosiologi pemancing. Antaranya:
A: Pengkhususan rekreasi (recreation specialization) = Merupakan tahap pengkhususan seseorang dalam aktiviti memancing.
Contohnya: Pemancing ikan toman, boleh dikategorikan kepada: 1)pemancing biasa, 2)pemancing sekali-sekala, 3)pemancing mahir teknik, dan 4)pemancing mahir teknik dan lokasi. Ini berdasarkan kemahiran (skill) dan peralatan (equipment) yang digunakan untuk memburu toman.
Ini bermakna, lain pemancing lain tahap mereka. Walaupun pemancing biasa (kategori 1) mereka tetap juga pemancing toman. Begitu juga dengan spesies lain, dan teknik memancing yang lain.
‘Pengkhususan rekreasi’ pemancing perlu difahami, agar kita tahu, apa kelebihan dan kekurangan rakan pemancing kita.
B: Pembahagian pemancing (angler segmentation) = Pemancing boleh dibahagikan kepada kumpulan atau segmen tertentu, berdasarkan ‘sikap’ dan ‘tingkah laku’ mereka.
Contohnya: ‘Sikap menangkap ikan’ (catch attitude). Pemancing boleh dibahagikan kepada mereka yang suka: 1)menangkap ikan besar, 2)menangkap banyak ikan, 3)membawa balik ikan ke rumah, atau 4)tidak mengapa jika tidak mendapat ikan.
Betul, tidak dapat ikan pun dikira sebagai segmen memancing. Ada yang ‘kumpau’ tetapi masih gembira dengan trip memancing mereka.
Contoh lain: Tingkah laku ‘tangkap-dan-lepas’ (C&R) boleh dibahagikan kepada: 1)mengamalkan C&R, 2)tidak mengamalkan C&R.
Akan tetapi C&R bergantung kepada spesies, saiz, jumlah ikan yang ditangkap, lokasi, serta dengan siapa mereka memancing. Setiap pemancing mempunyai pendapat tersendiri tentang C&R.
Perbezaan dalam ‘pembahagian pemancing’ sangat perlu dihormati, kerana ianya boleh menjadi ‘sensitif’ bagi sesetengah individu.
C: Kontinum pemancing (angler continuum) = Merupakan ‘julat’ atau ‘lingkungan’ di kalangan pemancing.
Contohnya: Pengalaman memancing, boleh dibahagikan kepada: 1)kurang pengalaman (newbies), 2)sederhana pengalaman, 3)banyak pengalaman (otai / veteran).
Contoh lain: Pengelibatan memancing atau kekerapan pergi memancing, boleh dibahagikan kepada: 1)kurang penglibatan (cth: setahun sekali), 2)sederhana penglibatan, 3)tinggi penglibatan (cth: mereka yang memancing hampir setiap hari).
Contoh lain: Kemahiran memancing, boleh dibahagikan kepada: 1)tidak mahir, 2)sederhana mahir, 3)sangat mahir.
Ia boleh merangkumi pelbagai aspek, seperti kemahiran melempar gewang, kemahiran menyelenggara kekili, malah mengikat mata kail pun, boleh mempunyai kontinum tersendiri. Jadi, tanggapan bahawa orang yang tidak pandai mengikat mata kail, bukan pemancing, adalah kurang tepat.
Justeru, penting untuk kita menghormati pemancing lain, terutama mereka yang berada dalam kontinum yang berbeza dengan kita.
D: Kumpulan pemancing dan sub-kumpulan pemancing
(angler groups and angler sub-groups) = Ini merupakan perkara biasa yang kita dengar, iaitu pemancing mempunyai kumpulan tersendiri.
Kumpulan ini bergantung kepada faktor seperti teknik (bottom vs casting vs jigging vs fly), lokasi (kolam vs sungai vs tasik vs pesisir pantai vs laut dalam), spesies (toman vs sebarau vs kelah vs sepat vs lampam), kolam (kolam air masin vs kolam air tawar vs kolam udang), menyertai pertandingan (suka pertandingan vs tidak suka pertandingan), dan banyak lagi kumpulan yang lain.
Selain faktor latar belakang seperti jantina, umur, tahap pendidikan, pekerjaan, dan pendapatan, juga boleh dijadikan kumpulan pemancing.
Kumpulan-kumpulan yang wujud menunjukkan diversiti atau kepelbagaian dalam dunia memancing. Sudah tentu, kita dididik agar meraikan kepelbagaian dalam hidup kita.
E: Motif tersembunyi memancing (fishing underlying motives) = Motif, motivasi, atau tujuan, bermaksud mengapa pemancing keluar memancing. Pemancing boleh dibahagikan kepada kumpulan tertentu, berdasarkan motif memancing mereka.
Contohnya: Pemancing yang keluar bersama keluarga, mempunyai motif berbeza dengan pemancing yang ingin menangkap banyak ikan. Teknik, pendekatan, dan usaha (effort) mereka akan jadi berbeza.
Contoh lain: Pemancing yang motifnya mahu kesunyian dan bersendirian, tidak mungkin boleh bersama dengan pemancing yang mahu bersama rakan untuk bersembang. Ini boleh menimbulkan konflik.
Begitu juga dengan motif lain seperti untuk mendapatkan rekreasi, untuk menikmati alam sekitar, untuk berseronok, dan lain-lain lagi.
Motif memancing sangat penting untuk difahami, agar kita tahu apa tujuan pemancing, selain untuk mendapatkan ‘strike’.
Hakikatnya
Ramai sahaja pemancing yang ‘cool’ dan ‘chill’ dengan rakan-rakan pemancing, walaupun terdapat perbezaan pendapat, latar belakang, kumpulan, sikap, serta kemahiran.
Ramai sahaja yang ‘okay’ dengan rakan-rakan baharu, walaupun mereka telah mencapai tahap tertinggi (otai, masta, sifu, mahaguru). Malah ada yang sudi menurunkan ilmu dan kemahiran, seikhlas hati.
Mungkin, ada seorang-dua yang agak ekstrim dan agak menonjol, yang boleh menjejaskan keakraban rakan-rakan pemancing lain. Saya kata, mungkin…
Penting
Adakah penting untuk memahami kepelbagaian serta perbezaan kumpulan pemancing?
Ya, penting. Kerana kita akan lebih mengenali siapa mereka ini, dan apa yang mereka mahukan.
Justeru, kepuasan memancing, selain dari ‘strike’ dapat dipenuhi. Serta, pembangunan perikanan rekreasi di Malaysia dapat diperbaiki.
Berdasarkan komen dan maklumbalas dari pelbagai kumpulan, segmen, dan motif yang wujud.
Terbaik
Perkara terbaik adalah pemancing harus bijak dalam menilai sesuatu isu atau perkara yang dibangkitkan, agar keharmonian sesama pemancing dikekalkan.
Toleransi, saling menghormati, dan berlapang dada, merupakan elemen pendamai, yang perlu ada dalam setiap diri pemancing. Sekaligus, dakwaan pemancing suka berpuak-puak dapat ditangkis sepenuhnya.
Salam ukhwah, dan selamat memancing semua!
Penulis:
Dr. Izharuddin Shah Kamaruddin
Pensyarah Kanan
Fakulti Pertanian
Universiti Putra Malaysia