Ini Sebabnya Kenapa Kakap Putih Diburu Ramai Kaki Pancing

Share

 

Ikan kakap putih merupakan antara spesies yang sangat penting dalam industri akuakultur. Dalam akuakultur, spesies ini dibela secara komersial dalam skala yang besar untuk tujuan pemakanan. Secara global, ikan kakap putih dibela secara komersial di Australia, Arab Saudi, Malaysia, India, Indonesia dan beberapa buah negara lain.

 

Di Asia Tenggara sahaja, penghasilan ikan kakap putih  mencecah sehingga 30 000 tan setahun untuk tujuan komersial. Ikan kakap putih  mendapat permintaan yang sangat tinggi di restoran dan hotel-hotel untuk tujuan hidangan makanan terutama peminat makanan berteraskan laut.

 

 

Dalam pancingan sukan, ikan kakap putih  sangat popular dengan kekuatan dan aksi lompatannya. Di Malaysia sahaja, terdapat banyak kolam pancing air masin yang menjadikan kakap putih  sebagai spesies tarikan kepada pemancing. Ikan kakap putih  boleh dikategorikan sebagai ikan sukan yang hebat.

 

Aksi lompatan dan cubaan melepaskan diri daripada mata kail pasti mengujakan mana-mana kaki pancing, lebih-lebih lagi jika menggunakan peralatan yang sepadan.

 

 

Dalam konteks pancingan menggunakan rod dan tali, ikan kakap putih  merupakan spesies yang begitu popular di kalangan kaki pancing di Malaysia. Lompatan akrobatik ikan kakap putih  ketika dalam pertarungan merupakan aksi yang hampir pasti akan kelihatan. Malah aksi akrobatik itulah yang ditagih oleh kaki pancing walaupun aksi tersebut memungkinkan ikan tersebut berjaya meloloskan diri.

 

Selain lompatannya, larian dan sifat tidak mudah menyerah kalah menjadikan kakap putih  antara spesies popular di kalangan pancingan ikan sukan. Dan ia menjadi pakej ikan sukan yang lengkap setelah dijadikan juadah yang enak.

 

 

Dalam pancingan kakap putih , menjerat menggunakan umpan atau pancingan dasar merupakan cara yang terkenal sejak dari dahulu lagi. Umpan yang popular pastilah menggunakan umpan hidup. Bagi kaki kolam pula, penggunaan umpan udang mati juga merupakan alternatif yang sangat berkesan.

 

Udang mati biasanya dikopek kulitnya (disebut udang kopek) sebelum dicangkuk pada mata kail. Selain dibiarkan, anda juga boleh cuba menarik perlahan-lahan umpan mati ini bagi menarik minat kakap putih  membaham umpan.

 

 

Selain daripada umpan udang, beberapa alternatif umpan lain juga boleh dicuba. Antaranya menggunakan ikan selayang yang dipotong. Ikan hidup seperti anak tilapia, lampam, belanak dan puyu juga agak popular sejak kebelakangan ini untuk mendaratkan spesies kakap putih .

 

Selain pancingan dasar, teknik lain yang popular tentulah menggunakan teknik mengilat menggunakan gewang tiruan. Bagi penggunaan gewang, gewang pilihan yang sesuai bagi menggoda kakap putih  ialah gewang yang seakan ikan dengan kemampuan selaman dalam dan sederhana.

 

 

Penggunaan gewang juga sangat popular menjerat kakap putih  apatah lagi saat kakap putih  membaham gewang. Boleh pecah dibuatnya. Persembahan gewang pula perlu pelbagai dengan sedikit henjutan atau jerk ketika karauan.

 

Lebih elok, cari struktur berbatu dan berkayu sebagai lokasi untuk membaling gewang. Ikan kakap putih  akan menggunakan sisi pipinya yang tajam selain permukaan mulutnya yang kasar untuk memutuskan tali perambut.

 

Published by
Amang