Cara terbaik memancing ikan ketarap ialah dengan memegang joran. Ini kerana kita akan cepat merasa getuan dan bersedia untuk melakukan hook up bagi menghela ketarap jauh daripada lubangnya.
Pada permulaannya, ketarap akan memberi tekanan yang paling maksimum, jelas kelihatan joran akan membengkok. Kita tidak perlu merasa panik dan tunggu saja, di mana tidak perlu terburu-buru membuat karauan.
Sekejap saja tekanan semakin kendur dan mulalah mengarau kekili anda, pasti akan merasa seakan menarik seketul batu yang besar.
Ads
Daya juang ketarap memang kuat sebaik saja meragut umpan, tetapi sekejap saja ia akan mengangkat bendera putih. Tetapi yang penting, kita dapat mengawalnya daripada menyelinap ke dalam lubang atau struktur berbatu dan karang.
Sekiranya ikan terlebih dahulu menyelinap ke dalam struktur berbatu, lupakan niat anda ingin bergambar dengan spesies cantik berwarna-warni ini.
Ads
Perambut kasar 80lb atau lebih disarankan. Ini bukan kerana gigi kapak yang tajam, tetapi untuk mengelakkan perambut mudah putus sebaik saja bergesel dasar berbatu dan berteritip.
Panjang perambut cukuplah sedepa, paling elok sekiranya anda dapat meletakkan umpan anda betul-betul di atas struktur berkarang, dengan batu ladung diangkat sedikit ke atas.
Ads
Drag hendaklah dikunci mati, di mana kita tidak boleh bermain tarik tali dengannya. Memancing ketarap disarankan menggunakan joran yang agak keras dengan kekili berkualiti tinggi, agar sistem tegangan berfungsi dengan baik.
Pernah sebelum ini seorang pemancing menggunakan kekili murah. Sebaik saja dihentam ketarap, tali masih lagi keluar dari spool, walaupun sistem tegangan sudah di tahap paling maksimum. Mungkin ketarap besar sudah membaham umpannya. Ia satu kerugian yang amat dikesali.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Ikan merah atau yang lebih dikenal juga dengan red snapper, merupakan salah satu jenis ikan laut yang yang diburu oleh para pemancing. Ini kerana ikan merah memiliki rasa yang sangat lazat. Malah saiznya juga kadangkala mencapai 10kg!
Jika anda berhajat untuk memancing dan mengetahui cara memancing ikan merah yang tepat, info-info berikut diharap dapat membantu.
Cara memancing ikan merah ini dilakukan dengan memilih umpan yang tepat. Umpan ikan merah ini sangat mudah didapatkan kerana ia bolehdipancing dengan menggunakan umpan yang sudah busuk sekalipun. Beberapa umpan yang menjadi kegemaran bagi ikan merah diantaranya seperti berikut.
Sotong
Tidak kira sotong hidup atau sotong mati pasti akan menjerat ikan merah. Umpan sotong boleh dicangkuk seekor ataupun secara hirisan pada mata kail. Walaupun sotong hidup adalah pilihan terbaik, adakalanya sotong yang sudah lama dan berbau turut dihentamnya.
Hirisan Isi Ikan
Isi ikan merupakan kegemaran ikan merah. Isi ikan yang sering digunakan ialah isi ikan kembung, selar, selayang dan tongkol. Sepanjang pengelaman saya memancing ikan merah, hirisan ikan tongkol paling cepat menjerat ikan merah. Mungkin kerana isi ikan tongkol berbau lebih kuat berbanding isi ikan lain. Seperkara lagi, isi ikan merah lebih tahan lama dan perlu dicangkuk dengan kulitnya sekali.
Udang
Udang juga merupakan pilihan umpan untuk memancing ikan merah. Ikan merah tidak memilih sama ada umpan udang ini hidup ataupun mati. Malah, udang hidup yang dibeli di kolam pancing juga sangat berkesan untuk dijadikan umpan.
Gewang Jig
Sudah ramai kaki jigging terutamanya teknik jigging perlahan berjaya mendaratkan ikan merah. Sikap ikan ini yang tidak memilih umpan menyebabkannya membaham apa sahaja yang berada di depan matanya.
Nota tambahan:
Selain umpan anda juga harus menentukan ikatan mata kali yang sesuai untuk memancing ikan merah ini. Ada beberapa ikatan yang efektif untuk memancing ikan merah ini di antaranya seperti paternoster rig atau ikatan perambut apollo.
Ikatan apollo ini sesuai digunakan untuk memancing ikan merah yang memiliki ukuran yang berkisar antara 2 hingga 6 kg. Selain itu ikatan appollo ini mampu menangkap ikan lebih dari seekor ikan merah.
Selain menentukan umpan dan jenis ikatan perambut yang tepat, cara memancing ikan merah yang jitu adalah menentukan lokasi yang tepat untuk memancing ikan merah ini.
Ikan merah ini biasanya tinggal di lokasi yang terdapat lubang atau juga terdapat karang-karangan.
Selain karang semulajadi, ikan merah ini juga biasa tinggal di karang yang dibuat oleh manusia seperti pada bangkai kapal atau benda lainnya yang sengaja dijadikan karang atau tukun tiruan.
Seperkara lain yang perlu diperhatikan juga adalah ikan ini hidup berkelompok dan ia sangat sensitif. Sekiranya anda gagal mendaratkan seekor ikan merah ketika memancingnya atau rabut, maka ikan lainnya juga akan langsung pergi dari tempat tersebut.
Tengas merupakan penghuni utama di sungai-sungai banjaran pegunungan. Hidupnya memerlukan air yang sejuk, kepekatan oksigen yang tinggi malah menggemari sungai berjeram. Baginya, menyusur sambil diam setempat dalam arus deras bukanlah perkara sukar. Tabiat ini menjadikannya sangat bertenaga.
Tengas yang besar tidak akan muncul ketika siang hari. Tetapi apabila matahari terbenam, barulah makhluk ini keluar daripada tempat persembunyiannya di bawah batu-batu besar dan menyusuri kawasan cetek mencari makanan.
Apabila memancing tengas, kita perlu banyak ‘mengendap’ iaitu bergerak senyap, perlahan dan menyamarkan diri dengan persekitaran. Kaedah mengendap ini lebih penting berbanding pemilihan umpan. Tengas hidup dalam persekitaran yang terdapat makanan mengalir laju mengikut air, jadi spesies ini tidak begitu memilih makanan.
Namun walau apapun umpan terbaik yang digunakan, tengas tidak akan menyentuhnya sekiranya ia dapat melihat anda. Jadi, anda perlu berpakaian hijau, berselindung di sebalik batu atau pokok ataupun duduk di bawah bayangan sekiranya mahu mengendap tengas.
Berkenaan dengan umpan pula, tengas menggemari pelbagai umpan termasuklah pelet, biskut (campur sedikit kunyit sebagai pewarna) dan juga roti canai! Belalang, cengkerik, cacing dan lundi pasir juga merupakan kegemarannya lebih-lebih lagi dalam air keruh.
Umpan utama yang biasa digunakan oleh rakan-rakan saya ialah sejenis serangga yang dipanggil belalang togel, iaitu belalang hijau dengan perut yang bulat gemuk dan kaki belakang yang panjang. Tengas memang pantang nampak belalang ini, pasti disambarnya. Walau bagaimanapun, umpan terbaik apabila air keruh ialah perut ayam.
Jika anda ingin memancing tengas pada siang hari dan menjangkakan mampu mendapat ikan kecil tidak lebih dari 500gm, peralatan ringan dengan ketahanan 2-6lb sudah memadai.
Kekili mendatar jenis kecil dengan sistem tegangan yang licin paling sesuai. Joran yang panjang mungkin menyukarkan bagi yang kurang berpengalaman tetapi banyak kelebihan di sebaliknya.
Perairan tengas biasanya kecil dan sempit, oleh itu umpan perlu dilontarkan dengan cara menghayun (bukan melontar) atau hanya menjatuhkan terus ke dalam olak di belakang batu. Jadi joran yang panjang dapat menjalankan tugas ini dengan baik sekali.
Pengawalan hanyutan umpan dan tarikan ikan juga menjadi lebih mudah. Joran sepanjang 7-9 kaki juga boleh digunakan kerana ia sudah cukup lembut untuk mengawal tali halus. Gunakan tali perambut sepanjang 20 hingga 25 cm yang diikat pada cili dan batu ladung yang cukup kecil supaya hanyutan umpan kelihatan lebih semulajadi.
Untuk ikan kecil, gunakan mata kail bersaiz 16 hingga 10 (skala Mustad). Saiz yang kasar sesuai untuk umpan belalang dan cengkerik. Kebiasaannya, tengas kecil suka bermain di kawasan sempadan antara air deras dan olak tenang.
Cara yang banyak digunakan ialah dengan melontar umpan ke arah arus deras sambil tali dilepaskan beberapa meter ke hilir, kemudian karau.
Umpan akan hanyut ke olak tenang dan biasanya ragutan berlaku apabila umpan melewati sempadan yang disebutkan. Anda tidak perlu merembat joran dengan kuat kerana tengas sangat rakus menyambar umpan. Sentapan yang lembut sudah memadai.
Sekiranya anda ingin memburu spesies ini lebih-lebih lagi pada waktu malam, sebaik-baiknya gunakan tali yang kasar iaitu 8-12lb. Kaedah batu ladung hidup diperlukan, begitu juga dengan saiznya supaya sepadan dengan tali. Dengan ini, lontaran lebih mudah dilakukan dan penyampaian umpan kelihatan seperti semulajadi.
Spot kesukaan tengas pada malarn hari ialah pada bahagian ekor lubuk. Ikan ini lebih berani pada waktu malam kerana perairan yang agak tenang di bahagian tersebut menjadi medan perburuannya.
Anda perlu membiasakan diri dengan kawasan sebegini sebelum mengail kembali pada waktu malam lainlah sekiranya anda lebih gemar memancing pokok setiap kali lontaran! Memancing pada waktu malam di dalam hutan serta sungai berbatu amat membahayakan, jadi pastikan anda sentiasa berteman.
Di kalangan pemancing tempatan, pancingan lampam sungai boleh dikatakan mempunyai nilai sentimental. Ini kerana spesies ini merupakan spesies asal dan kerap kali dipancing bagi pemancing yang memulakan hobi hanyir ini sejak kecil. Memancing ikan lampam sungai tidak terlalu teknikal sebaliknya lebih ringkas dan santai.
Memilih umpan untuk menjerat lampam sungai juga tidak sukar. Cukup sekadar umpan ringkas dan mudah didapati. Antara umpan ampuh menjerat lampam termasuk cacing, cengkerik dan juga dedak biji atau palet. Jika di tasik utama, lampam sungai boleh dipancing menggunakan buah kelapa sawit.
Sama ada mencangkukkan beberapa mata kail kecil pada seulas kelapa sawit segar atau menggunakan sawit peram, kedua-duanya mampu menaikkan spesies ini. Terdapat juga pemancing yang menggunakan umpan roti atau dedak campuran untuk memancing lampam.
Umpan sebegini biasanya lebih sesuai di kawasan sungai. Jika menggunakan pelet, biasanya pemancing akan menabur palet agar sekumpulan lampam berkumpul sebelum mata kail yang dicangkukkan pelet dihulur untuk menipu spesies barb ini.
Set memancing lampam sungai juga cukup sekadar set pancing ringan dengan kekuatan tali sekitar 10lbs dengan perambut sekitar satu jengkal. Teknik pelampung dan dasar merupakan dua teknik popular memancing lampam.
Bagi penulis sendiri, pancingan lampam cukup santai dan boleh dikatakan minimalis kerana penggunaan set pancing asas atau ringkas sahaja. Apa yang menarik dan menimbulkan keseronokan ialah jika pancingan lampam dilakukan secara berkumpulan. Pastinya mampu menimbulkan keriuhan apatah lagi jika aktiviti ini dilakukan dari atas boat house.
Lampam sungai juga mudah cerdik seandainya kerap kali ia dipancing. Sehinggakan kaki pancing begitu geram untuk memancingnya. Habis umpan, tetapi lampam dicari belum dapat!
Selain itu, pancingan lampam sesuai dilakukan sebagai aktiviti kekeluargaan lebih-lebih lagi untuk mengajar anak-anak kecil mengenal hobi memancing. Walaupun bukanlah spesies ikan pemangsa, ikan lampam turut menyambar gewang tiruan yang digunakan untuk memburu spesies lain seperti sebarau atau haruan.
Secara tidak langsung ia menjadi penyeri atau pengubat hati kepada kaki casting yang gagal memperoleh ikan sasaran.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...