Bob Anglers? Apa tu? BOB merupakan akronim mesra merujuk kepada orang berbadan besar atau Badan Orang Besar. Sudah menjadi kelaziman seseorang yang berbadan besar akan mendapat panggil Bob. Dan lebih manis lagi dipanggil Bobby.
Nama panggilan ini ternyata jauh lebih baik dari gemuk walaupun hakikatnya memang gemuk. Namun dalam dunia pancing, orang-orang Bob atau Bobby ini memiliki satu kelebihan yang tidak dimiliki oleh pemancing yang berbadan biasa-biasa saja.
Malah satu kajian tidak rasmi tidak lama dulu mendapati lelaki berbadan besar atau Bob ini lebih dominan dalam hobi memancing. Sekiranya dahulu, lelaki yang mengalami masalah berat badan ini menyembunyikan masalah mereka di sebalik hobi yang kurang menonjol namun kini, para pemancing sudah boleh menerima malah mengakui kehebatan lelaki Bob dalam hobi memancing.
Apa keistimewaan Bob Anglers?
Dengan saiz yang besar dan tenaga yang padu, Bob Anglers tidak akan berhadapan dengan masalah untuk mendaratkan apa saja saiz ikan yang dipancing. Hal ini pastinya tidak dapat ditandingi oleh pemancing berbadan sekeping macam papan lapis. Silap-silap boleh terjun ke kolam atau laut apabila direntap ikan bersaiz kecil sekali pun.
Percaya atau tidak Bob Anglers merupakan pemancing yang kental. Apa saja jenis pancingan yang dilakukan oleh anglers lain boleh juga dilakukan oleh mereka. Jangan ingat pemancing gemuk ini tidak boleh meredah hutan atau meranduk sungai. Meskipun agak perlahan dari segi kepantasan namun mereka memiliki tenaga yang berganda.
Sebagaimana fizikal yang besar, hati Bob Anglers juga besar. Dalam erti kata lain mereka ini tidak kisah jika menjadi bahan body shaming atau apa saja cemuhan serta kecaman. Bahkan tidak kisah langsung jika beberapa kali kumpau. Mereka tidak akan serik untuk terus mencuba dan mencuba.
Dan yang paling pasti, kebanyakan Bob Anglers ini bersifat pemurah dan jauh dari sifat kedekut. Mereka tidak berkira untuk belanja kawan makan atau payung trip memancing. Dalam pada masa sama mereka juga cepat membantu menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada rakan-rakan yang memerlukan.