Ini Dia Hasil Kajian Psikologi Pemancing

Share

 

Di sini disenaraikan beberapa golongan pemancing yang mungkin wujud dikalangan mereka. Kategori pemancing ini dikategorikan berdasarkan kajian ‘psikologi pemancing’ yang telah dijalankan di negara maju. Kategori pemancing ini juga berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pemancing, tentang motif atau tujuan mereka keluar memancing. Berikut adalah kategori pemancing tersebut:

 

Kategori Rileks

Bagi mereka yang tergolong dalam kategori ini, tujuan utama mereka pergi memancing adalah semata-mata untuk ‘berehat’ atau rileks. Mereka tidak mahu memikirkan tentang perkara lain, selain berehat. Mereka menganggap memancing merupakan ganjaran, setelah penat bekerja membanting tulang mencari rezeki. Berehat boleh dikategori kepada dua, iaitu berehat ‘minda’ dan berehat ‘fizikal’. Berehat bertepatan dengan konsep memancing rekreasi iaitu ‘mencari rek-rea-si’.

 

 

Kategori Suka-Suka

Ada juga golongan pemancing yang dikategori sebagai mencari keseronokan. Tujuan utama mereka memancing hanyalah untuk berseronok. Tidak kira walau apa pun keadaan dan situasi memancing (di kolam, sungai, tasik, laut / dapat ikan atau tidak) mereka pasti akan mendapat keseronokan. Berseronok boleh dikaitkan dengan ‘hobi’, di mana aktiviti memancing merupakan hobi kegemaran mereka pada waktu lapang.

 

 

Kategori Silaturahim

Terdapat juga pemancing yang mahu meluangkan masa bersama rakan mereka. Mungkin rakan yang dimaksudkan adalah rakan yang sudah lama tidak berjumpa, rakan tempat kerja, rakan karib, atau rakan istimewa! Mereka membuat temu janji dan menyediakan peralatan memancing, lalu menuju ke destinasi memancing. Mereka akan meluangkan masa bersama, mungkin bertanya tentang perkembangan terkini atau mengimbau kenangan lalu sebagai rakan. Terbukti, aktiviti memancing dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama insan.

 

 

Kategori Kekeluargaan

Ada pemancing yang mahu meluangkan masa bersama isteri dan anak-anak ketika memancing. Kesibukan seharian bekerja dan anak bersekolah, menjadikan pemancing jarang dapat meluangkan masa bersama. Kebiasaannya, mereka dari kategori ini akan memilih tempat memancing yang mesra keluarga, yang mempunyai kemudahan seperti tempat berkelah, taman permainan, serta tandas awam. Sama ada mereka sekeluarga memancing bersama, atau setiap ahli keluarga melakukan aktiviti sendiri.

 

 

Kategori Solo

Pemancing yang tergolong dalam kategori ini merupakan mereka yang mahu meluangkan masa bersendirian. Tujuan mereka memancing adalah bagi mendapatkan ketenangan, jauh daripada kehadiran orang lain. Mereka tidak mahu diganggu dan hanya ingin menghayati saat mereka bersendirian. Biasanya, mereka akan memilih lokasi memancing yang agak tersorok dan tidak diketahui oleh orang ramai. Lumrah bagi manusia untuk bersendirian, mencari ketenangan ketika memancing.

 

 

Kategori Janji Mancing!

Ada juga golongan pemancing yang tidak mempunyai tujuan yang khusus. Mereka ini akan menyatakan ‘tak dapat ikan pun tak apa, yang penting aku memancing’. Tujuan utama bukanlah untuk mendapatkan ikan, malah dapat memegang joran dan mencampakkan umpan ke dalam air pun sudah memadai. Kebiasaannya golongan ini mempunyai set joran, walaupun ringkas, disimpan di dalam kereta. Mereka yang berada dalam kategori ini menganggap hobi memancing sebagai sangat penting dalam kehidupan mereka.

 

 

Published by
Amang