Tasik Chini merupakan salah satu destinasi pelancongan menarik di negeri Pahang.
Ia terletak kira-kira 250 km dari Kuala Lumpur dan 100 km dari Kuantan dan boleh diakses melalui jalan raya melalui Lebuhraya Karak atau Lebuhraya Segamat.
Tasik Chini yang terletak di Pahang Tengah merupakan tasik semulajadi kedua terbesar di Malaysia selepas Tasik Bera.
Keluasannya merangkumi kawasan seluas 5,026 hektar. Tasik Chini terbentuk daripada pertemuan 12 saliran air yang lebih dikenali sebagai ‘laut’ di kalangan penduduk setempat.
Pinggiran tasik berkenaan didiami oleh orang asli suku Jakun.
Sungai Chini, yang mengalir keluar dari tasik itu, mengalir ke dalam Sungai Pahang. Sungai berkenaan diempang untuk mengekalkan kedalaman tasik tersebut semasa musim kering.
Walau bagaimanapun, cara ini akan mengganggu ekologi semulajadi tasik itu dan menyebabkan kematian pokok-pokok pada pesisiran tasik disebabkan oleh kenaikan aras air.
Antara sejarah, mitos dan kisah misteri
Tasik Chini menawarkan persekitaran yang tenang dan damai disebalik misteri dan lagenda zaman berzaman yang tiada jawapan hingga kini.
Kononnya, pada zaman dahulu , tasik Chini adalah tapak sebuah kota besar Khmer yang kini telah tenggelam dan dijaga oleh makhluk misteri.
Dicanangkan, di sini ada sebuah kota lama iaitu Kota Tasik Daksina yang dikatakan tenggelam di dasar tasik.
Diceritakan juga ada perkampungan di bawah tasik chini itu di mana terdapat harta karun yang berupa emas.
Seekor naga menjaga harta karun itu dari diganggu oleh sesiapa pun. Ada juga yang mengatakan bahawa naga air itu suka memakan teratai di tasik tersebut.
Pokok teratai ini dikatakan bermusim dari bulan Jun hingga bulan September.
Pelbagai kisah misteri yang diceritakan dari masa ke semasa. Bagi sesiapa yang menginap di sana, sudah pasti ada pengalamannya sendiri.
Kisah hantu air, kisah naga berkelahi sesama sendiri, kisah naga air yang diberi nama Naga Seri Gumum yang cukup sinonim dengan Tasik Chini.
Jika ada masa dan ruang, cuba-cubalah bertanya kepada mereka yang sudah lama di situ.
Kaum Orang Asli Suku Jakun sudah lama menetap di situ. Ada di antara mereka yang mengekalkan tradisi nenek moyang kita dengan mengamalkan athiest dan ada yang sudah memeluk agama Islam.
Info Ringkas Tasik Chini