Info Tambahan Spesies Jenahak

Share

Jenahak merupakan satu spesies ikan yang cukup popular di kalangan pemancing. Selain rasa isinya yang sedap, ia juga mempunyai nilai komersial yang tinggi di pasaran. Tidak hairanlah ikan dari keluarga snapper yang bersisik keemasan dan bertanda hitam bulat di badannya itu sentiasa menjadi buruan para pemancing.

 

Bagi yang berjaya menaikkan spesies ini, khususnya yang bersaiz bagak, ia dianggap sebagai satu trofi peribadi. Berapa besar jenahak yang pernah korang dapat dapat?

 

Jenahak berwarna emas kebiasaannya diperolehi di lubuk-lubuk yang dalam dan jenahak yang mendiami lubuk yang cetek mempunyai warna yang lebih pudar.

jenahak air cetek
jenahak air dalam

 

Jenahak dikatakan memiliki waktu makannya tersendiri iaitu antara lewat malam hingga ke pagi, khususnya antara 12 -6 pagi. Namun kadang-kadang jenahak kerap juga dinaikkan pada waktu siang.

 

Jenahak lebih gemar memilih umpan segar dan masih hidup. Umpan terbaik adalah sotong cumit, kurita dan udang lipan. Bagaimanapun, umpan hirisan juga boleh menggoda jenahak. Kaedah lain seperti jigging juga boleh memikat jenahak, namun ia hanya sesuai di sesetengah tempat lokasi sahaja. Dalam erti kata lain jenahak kurang memakan jig.

 

 

Spesies berharga ini sering bergerak secara kumpulan kecil dan apabila ia mula makan, bersedia dengan serangannya sehingga ia mula berhenti makan. Amat penting, pastikan pada waktu keemasan ini, tidak berlaku kes tali putus atau rabut. Ini kerana jika ia berlaku, tiada lagi ragutan diterima kerana jenahak telah lari dari lubuknya.

 

 

Percaya atau tidak harga seekor jenahak (yang dipancing, bukan jenahak yang dijaring) sudah mencecah RM 60 sekilogram? Bayangkan jika berjaya memancing 10 ekor jenahak dengan purata 5 kg seekor…!

 

Published by
Amang