Info Spesies – Spesies Channa striata (haruan)

Share

Terdapat 30 spesies ikan haruan di dunia dan 14 daripadanya terdapat di Malaysia. 4 jenis di Semenanjung Malaysia, 8 jenis di Sarawak dan 2 jenis di Sabah. Ikan haruanatau nama saintifiknya Channa Striata adalah satu keluarga bersama toman dan bujuk, dari famili Channidae dan genusChanna tetapi berlainan spesies.

 

Haruan adalah ikan tempatan atau asal (native) di Malaysia. Ia merupakan spesies asli hutan hujan tropika. Ia adalah sejenis ikan air tawar bersifat karnivor yang mampu hidup di dalam air payau.

 

Selain menggunakan insang, haruan juga boleh bernafas secara terus dengan udara atau dipanggil sistem pernafasan bimodal. Ia dilakukan apabila kandungan oksigen yang diambil melalui insang dan kulit menjadi kurang, haruan akan timbul di permukaan air untuk mendapatkan oksigen daripada udara. Atau lebih popular dengan istilah menghirup udara oleh kaki-kaki pancing.

 

 

Ikan haruan mempunyai badan berbentuk seperti tiub yang panjang dan kepala mendatar yang dilitupi sisik seperti perisai. Haruan juga mempunyai sirip belakang dan bawah yang lembut dan panjang. Mulutnya juga sangat besar dan mempunyai gigi yang halus tajam pada kedua-dua rahang atas dan bawah.

 

 

Badannya mempunyai sisik yang halus serta organ pernafasannya berada di kepala. Sirip belakang berada pada garisan tengah belakang ikan haruan manakala sirip bawah pula berada garisan tengah pada perut ikan haruan. Kebanyakan ikan haruan mempunyai bintik besar menyerupai mata pada tubuh dan sirip ekor, jalur pada sirip dada dan bintik-bintik kecil pada badan.

 

Ikan berkepala umpama ular atau snakehead ini memiliki isi daging yang tebal dan padu serta enak dimakan. Sesetengah orang tidak menggemarinya disebabkan bau hanyirnya, tapi bagi pecinta haruan masak lemak cili api atau goreng berlada, pasti akan kecur liur apabila dihidangkan menu ini. Ekoran permintaan yang tinggi di pasaran, membuatkan haruan senantiasa diburu. Harganya di pasar basah sentiasa stabil malah tidak pernah menurun.

 

 

Sumber proteinnya juga berkhasiat tinggi untuk kesihatan. Asid lemak omega-6, asid arachidonic banyak ditemui dalam daging ikan haruan, sementara itu asid lemak omega-3, asid eicosapentaenoic tidak ditemui. Ianya satu penemuan yang sangat menarik sebagai interaksi metabolik. Asid arachidonic sangat penting untuk membaik pulih dan membantu pertumbuhan otot serta rangka. Ikan haruan juga mempunyai asid amino yang sangat tinggi untuk membantu dalam proses penyembuhan luka.

 

HABITAT DAN LOKASI

 

‘Di mana ada air, di situ ada haruan.’ Ia bukanlah trivia atau fakta sebenar sebaliknya perumpamaan untuk menyatakan ikan haruan boleh ditemui hampir di setiap lokasi atau sumber air kecuali air masin. Haruan boleh ditemui di sungai, sawah padi, terusan, tali air, parit, bekas lombong tinggal, paya, kolam tadahan, kolam terbiar, dan juga ditemui dalam sistem perparitan seperti longkang dan lopak-lopak kecil berhampiran sumber air.

 

Haruan juga mampu beradaptasi dengan baik dalam air payau atau berpersekitaran agak masin yang dihuni oleh ikan siakap putih atau bulan. Seringkali juga pemancing yang memburu bulan atau tarpon berhasil mendaratkan haruan.

 

Haruan juga tidak memilih habitat yang khusus sebagaimana ikan kelah atau tengas yang sensitif pada persekitaran, justeru ia masih boleh ditemui di parit-parit kecil di tepi jalan atau longkang yang kondisi airnya cetek, kotor dan berbau. Sebagai ikan yang memerlukan udara, haruan perlu naik ke permukaan untuk mendapatkan udara.

 

 

Oleh itu, haruan lazimnya memilih di tempat yang cetek sekitar kurang daripada daripada 3 kaki dan dikelilingi tumbuhan akuatik dan reba sebagai perlindungan dan juga tempat menyerang hendap mangsa dengan menggunakan lontaran pantas badannya kerana haruan tidak memiliki keupayaan renang dengan pantas. Habitat dan kondisi air ini juga mempengaruhi corak warna pada sisiknya.

Published by
Amang