(oleh: pokmuds)
Ketika memancing di delta Sungai Klang memburu beberapa spesies keluarga gelama, saya di kejutkan dengan pendaratan ikan pari bermuncung panjang.
Saiz lebih besar dari ketuka. Namun dari segi tabiat permakanan dan gaya menelan umpan hampir menyamai tabiat pari kecil seperti ketuka.
Malah setiap kawasan yang saya sahkan adanya gelama pisang, ikan pari ini pasti muncul.
Ini jelas menunjukkan pari tanjung dan gelama pisang berkongsi laluan yang sama di kawasan delta tertentu Sungai Klang.
Kenapa ia sering berada di kawasan yang sama saya tidak pasti. Mungkin perlu kajian lebih mendalam terhadap terhadap sifat dan ekosistem kedua habitat muara sungai ini.
Profil spesies
Warna asas dari atas badannya coklat. Lebih gelap sedikit dari ketuka. Ketuka agak bersih warnanya pada badan bahagian atas.
Manakala bahagian bawah adalah cerah sebagai landasan untuk melepak di dasar berpasir dan berlumpur keras.
Badannya nipis mendatar dan isinya pula tidak menebal. Ia adalah sejenis ikan pari kecil yang nipis dan bijak menyamar di dasar perairan.
Kedudukan mulutnya adalah kira-kira ¼ dari panjang badan bermula dari muncungnya.
Bibir mulut kasar seperti gigi tumpul memenuhi serata bibir. Ciri-ciri utama yang jelas membezakan ia dengan pari kecil yang lain ialah kedudukan muncungnya memanjang sedikit bak seperti tanjung di sebuah pinggiran.
Ekornya kecil memanjang dengan sengat berkedudukan separuh dari panjang ekor tersebut manakala tetuka pula memiliki dua sengat.
Duri tajam atau sengat pari tanjung halus meruncing. Sengat ini dikhuatiri mudah patah dan tertinggal dalam badan mangsa.
Dari hampir 30 lebih spesies pari yang dikenal pasti, pari tanjung merupakan salah satu yang terkecil dalam keluarganya.
Saiz purata yang saya pancing seberat sekilogram dan terbesar pernah dipancing di Pelabuhan Klang ialah 4kg.
Mengikut catatan ikan pari ini boleh membesar sehingga 60cm panjang dan 50cm lebar.
Habit & habitat
Pari tanjung boleh dikatakan sering tertumpu di kawasan dasar berpasir dan berselut lembut kerana senang untuk ia menanamkan diri dari ancaman bahaya.
Selain itu warna kawasan sekitar atau warna dasar memainkan peranan penting buat pari tanjung untuk menyamar sebelum menyerang mangsa yang melewati kawasan samarannya.
Tabiat makannya seperti mana pari kecil yang lebih banyak memerap di lantai dasar dari meronda.
Ia jarang sekali bergerak menyusuri arus pasang di kawasan tebing bakau yang berair cetek.
Ini berdasarkan pengamatan saya belum pernah dapat pari tanjung di tebing sungai yang kering ketika air surut.
Pari tanjung bersifat pemalas di mana sering mendiamkan diri setelah menelan umpan.
Hanya getuan pada permulaan sahaja dikesan pada hujung joran, Kemudian tiada tanda-tanda tarikan susulan.
Apabila joran di angkat barulah terasa berat seketika sebelum kita rasa objek melayang dan berputar ketika mengili.
Trivia profil
- Nama saintifik: Dasyatis zugei
- Nama umum: pale-edged stingray, sharpnose stingray
- Nama tempatan: Pari nyiru, pari ketuka
- Keluarga: Dasyatidae
- Ciri utama: Muncung panjang, ekor halus dengan 1 sengat,
- Habitat: Kawasan Teluk Benggal, Asia Tenggara serta Laut China Selatan
- Tempatan: Delta Sungai Kelang, Manjung, pinggiran pantai Johor
- Diet: Krustasea kecil, anak ikan, perumpun