Ikan jenahak sememangnya menjadi buruan utama pemancing. Selain dari isinya yang bermutu ia biasanya memberi tentangan yang memuaskan walaupun kadangkala memberi kegagalan dan pengajaran kepada pemancing yang memburunya.
Jenahak tergolong dalam keluarga snappers termasuklah ikan merah, siakap merah, kanai, tanda, kekunyit atau mentimun.
Kebanyakan keluarga snappers adalah pemburu makanan atau pemangsa (predator) dan gemar menyerang hendap mangsanya yang terdiri dari anak ikan atau akua marin yang berkulit seperti ketam, udang dan siput.
Dengan sifat yang dimiliki olehnya, ia menjadikan spesies ini tergolong dalam spesies yang kuat melawan dan begitu agresif serta rakus.
Lebih-lebih ketika mata kail pemancing berada pada mulutnya. Dengan kata lain ia akan meronta semampu yang mungkin agar dapat meloloskan diri dari mata kail pemancing.
Sewaktu kecil spesies ini dikenali sebagai tetanda (ada tompok hitam) dekat dengan bahagian ekor sebesar ibu jari (fingermark snapper atau one spot snapper).
Tanda hitam ini amat jelas kelihatan ketika ia bersaiz kecil sekitar 20 cm iaitu semasa ia mencapai usia matang untuk membiak.
Warna ini akan pudar apabila spesies ini didaratkan dan dibiarkan terlalu lama tanpa sistem penyejuk terutama spesies yang besar lebih dari 3kg ke atas.
Perbezaan warna jelas ketara jika dibandingkan spesies yang besar dan kecil. Sikecil mempunyai tompok hitam yang terang (tetanda) dan yang besar mempunyai kilauan sisik
yang berkuning keemasan (jenahak) dan tompok hitam hanya kelihatan ketika ia masih hidup.
Apabila mati warna kuning keemasan saja yang jelas kelihatan (golden snapper). Jenahak boleh membesar sehingga 75 cm.
Jenahak boleh ditemui pada kedalaman air dari 10meter hingga 100meter atau lebih tepat lagi kawasan yang mempunyai lubuk.
Jenahak juga kadangkala berkeliaran di kawasan berpasir dan dasar mendatar untuk mencari mangsa.
Berbeza dengan sepupunya iaitu ikan tanda berjalur (Lutjanus Monostigma dan Lutjanus russelli) yang lebih tertumpu di kawasan berbatu karang.
Mereka jarang ditemui di kawasan muara sungai atau kawasan yang lebih terbuka.
Jenahak kurang aktif pada waktu siang kerana ia dikatakan sukar untuk memburu mangsa dikala matahari terpancar.
Jenahak lebih gemar mendiamkan diri pada waktu siang hari dan suka bersembunyi dicelah-celah batu karang maupun timbunan tukun di dasar air.
Jenahak lebih tertumpu kepada air yang dalam terutama jenis spesies yang bersaiz besar. Biasanya lagi dalam dalam lagi besar habuan untuk pemancing.
Hanya si kecil yang gemar bermain di air cetek untuk mencari makanan. Jenahak adalah hidupan marin yang boleh ditemui di kawasan berbatu, batu dan bunga karang, reba kayu, tukun dan kawasan kuala sungai yang agak dalam yang terbuka.
Sesuai dengan tabiatnya yang gemar menyambar mangsa, kawasan yang disebutkan tadi adalah yang mempunyai pelindungan kepada mangsa dan dari pemangsa.
Ini juga digunakan oleh spesies ini sebagai penangkis kepada pemancing untuk menaikkannya walaupun mata kail sudah berada dalam mulutnya.
Profil Jenahak
Nama Saintifik: Lutjanus Johnii
Keluarga: Lutjanidae (Snappers)
Nama Lain: Jenak, tanda, tetanda, jenahar, unga
Ciri Fizikal: Berwarna kuning keemasan dan bertanda hitam pada bahagian ekor.
Diet: Anak ikan, udang, sotong (cumit & kurita), ketam dan pelagik (alga & plakton)
Habitat: Kawasan muara dan pantai berkarang, sungai dan kawasan pokok bakau.
Taburan: Indo Pasifik, Laut China Selatan, Selat Melaka.
(Sumber: Pokmud’s)