Ikan tengas dan kejor merupakan panggilan tempatan bagi spesies ikan dari famili carp dalam genus Neolissochilus ialah dua spesies ikan yang hampir menyamai atau amat snonim dengan ikan kelah.
Sekali imbas ikan tengas atau kejor amat menyerupai ikan Kelah. Jika tidak mahir, anda boleh terkeliru antara kelah dan tengas atau kejor. Nama saintifik ikan tengas ialah Neolissochilus Hexagonolepis.
Ikan tengas ini juga biasa dipanggil sebagai tengas batu. Sementara ikan kejor atau tengas kejor ialah Neolissochilus Soroides. Ikan tengas daun pula diklasifikasikan sebagai Poropuntius Smedleyi.
Apabila memperkatakan tentang ikan kelah, lazimnya ia merujuk kepada ikan kelah merah yang taburannya di sekitar Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Di negara kita ikan kelah merah dikenali sebagai Tor tambra (nama binomial).
Sementara ikan kelah biru jarang ditemui dan secara geografi, taburannya biasa di kawasan Endau-Rompin.
Manakala ikan kelah hijau adalah panggilan nama merujuk kepada ikan tengas, iaitu satu spesies yang mirip mirip kelah, dan juga digelar sebagai false mahseer.
Perbezaan Ikan Kelah dan Ikan Tengas
Ikan Kelah
Ikan kelah bersisik rapat. Perbezaan ini sebenarnya agak ketara tetapi ramai yang tidak memerhatikannya.
Ikan kelah memiliki lebihan isi yang panjang pada mulut atau bibir. Ini merupakan identiti khas bagi ikan kelah.
Ikan kelah turut terdapat lebihan di cuping median yang tidak dimiliki oleh ikan tengas.
Jika ikan kelah diterbalikkan, anda boleh perhatikan garis di bawah bibir. Terdapat 3 garis pada bahagian bibir ikan kelah.
Ikan Tengas
Ikan tengas memiliki sisik yang lebih jarang berbanding ikan kelah.
Jika ikan tengas diterbalikkan, anda hanya dapat melihat 2 garis di bahagian bawah bibirnya.
Lebihan isi pada bibir ikan tengas amat pendek.